~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Wednesday, February 27, 2013

Kenapa kita rasa sedih direndahkan???



ALLAH AL-KHOOFIDH (الخافض)
YANG MAHA MERENDAHKAN

Allah Al-Khoofidh berhak merendahkan atau menghinakan makhluqNya sekiranya Dia     merasakan perlu bagi memberi peringatan kepada      hambaNya yang lalai. Allah juga mampu    menghinakan tempat kembali diakhirat di neraka disebabkan dosa-dosa. Orang yang dipandang hina oleh manusia mungkin dipandang mulia oleh Allah dan sebaliknya.

Manusia harus berhati-hati dalam mempergunakan amanah Allah dalam bentuk kemuliaan seperti harta, pangkat, anak-anak kerana Dia boleh     merendahkan pada bila-bila masa. Dan hamba Al-Khoofidh tidak akan menghina sesama makhluq apatah lagi manusia, terutama orang-orang miskin yang dimuliakan Allah.

Monday, February 25, 2013

YANG MAHA MENINGGIKAN



ALLAH AR-ROOFI' (الرافع)
YANG MAHA MENINGGIKAN

Allah Ar-Roofi’ mampu meninggikan seseorang ikut pilihanNya. Dia mampu meninggikan      seseorang samada semasa hidup atau selepas mati. Perjuangan manusia semasa hidup akan dinikmati oleh generasi akan datang dan       kemaksiatan akan menghinakan generasi akan datang.

Hamba Ar-Roofi’ sentiasa sedar bahawa ada kuasa yang sentiasa mengendalikan hidup kita dan apabila diuji yakin bahawa selepas        kesukaran pasti ada kemudahan. Apabila       dihina oleh manusia, yakin bahawa Allah Ar-Roofi’ akan meninggikan derjat selagi kita    bertaqwa kepadaNya.

Friday, February 22, 2013

ALLAH AL-MU'IZZ



ALLAH AL-MU'IZZ (المعز)
YANG MAHA MEMULIAKAN

Kemuliaan itu milik Allah Al-Mu’izz dan Dia memberinya kepada sesiapa yang Dia kehendaki., dan Dia memberi kepada utusanNya dan orang-orang yang beriman. Dan Dia boleh menarik balik kemuliaan itu dengan menghinakan. Orang-orang yang menjadi hamba dunia, pangkat dan wang tidak akan mendapat kemuliaan dari Al-Mu’izz.

Hamba kepada Al-Mu’izz mempunyai keyakinan diri, harga diri yang tinggi dan hidup berdikari menggunakan seluruh potensi yang ada pada diri   untuk kebaikan manusia sejagat. Dengan mempercayai pertolongan Allah Al-Mu’izz, kekuatan luar biasa akan terserlah dan kemenangan akan dicapai. Hamba Ya Mu’izz juga senang memuliakan orang lain serta menyebarkan cinta dan kasih sayang sesama manusia.

Tuesday, February 19, 2013

Hakikat penghinaan


ALLAH AL-MUDZILL (المذل)
YANG MAHA MENGHINAKAN

Allah Al-Mudzil berhak dan berkuasa menghinakan seseorang dan tiada siapa yang terlepas daripadaNya. Sekiranya dihina Allah, tiada siapa yang memuliakan seseorang. Allah menghina manusia yang melampau batas, zalim, mementing diri sendiri dan sombong. Allah menghina manusia ketika mereka menjauhiNya, melakukan laranganNya dan tidak menghiraukan perintahNya dan ketika manusia lebih takut kepada manusia daripada murka  Allah.

Hamba Allah Al-Mudzil akan sentiasa mendekatkan diri dgn Allah, mengerjakan perintahNya dan menjauhi laranganNya. Hamba Al-Mudzil juga adalah manusia yang merendah diri sesama manusia  dan mengganggap manusia itu sama dan tidak boleh membangga diri.

Monday, February 18, 2013

Kenali YANG MAHA MENDENGAR



ALLAH AS-SAMI' (السميع)
YANG MAHA MENDENGAR

Allah As-sami’ mendengar dan mengabulkan permintaan hamba-hambaNya, mendengar      keluhan serta puji-pujian kepadaNya. Allah juga mendengar setiap rahsia yang disembunyi oleh hamba-hambaNya. Dia mendengar suara lidah dan suara hati dan menghitungnya.hamba Allah As-Saami’ akan sentiasa berhati-hati dalam      bicaranya dan tindakannya kerana Allah mendengar  semuanya, tiada suatu pun dapat lari dari pendengaranNya.

Hamba Allah As-Sami’ menjadi pendengar yang baik kepada pandangan dan teguran orang di  sekitarnya dan juga keluhan hati mereka.

Thursday, February 14, 2013

ALLAH MAHA MELIHAT



ALLAH AL-BASIIR (البصير)
YANG MAHA MELIHAT

Allah Al-Basiir Maha Melihat. Dia melihat setiap perbuatan manusia dan menghitung setiap perbuatan tersebut. Tiada sesuatupun yang boleh lari daripada pandangan dan    perhatian Allah. Manusia yang mengenali    Allah Al-Basiir akan sentiasa berwaspada atas apa sahaja tindakan dan aktiviti yang ingin  dilakukan kerana sudah pasti Allah melihat walaupun manusia lain tidak melihat.      

Manusia yang mengamalkan sifat Al-Basiir akan sentiasa melihat nasib dan masalah orang lain dan membantu manusia            menyelesaikan masalah hidup.

Tuesday, February 12, 2013

Kenali lah Allah Al - Hakam



ALLAH AL-HAKAM (الحكم)
YANG MAHA MENETAPKAN

Allah Al-Hakam mempunyai ketetapan hukum terhadap manusia. Allah menetapkan hukum untuk kebaikan manusia dan agar manusia mengikut jalan yang benar. Tiada siapa yang boleh menghalang dan mengengkari hukuman Allah. Manusia harus menerima apa sahaja hukum Allah sebagai anugerah dan nikmat, bukan    bencana.

Manusia harus membaca keputusan Hukuman Allah   sebagai satu ujian sebagai proses pembersihan dosa-dosa manusia, menerima penderitaan sebagai pengubatan dan redha di atas segala ketentuan Allah. Penghayatan kepada sifat

Allah Al-Hakam akan melahirkan manusia yang redha, tenang dan berusaha tanpa putus asa bagi mengatasi segala kesulitan dan bencana yang dikurniakan oleh  Allah Al-Hakam.

Monday, February 11, 2013

ALLAH MAHA 'ADIL



ALLAH AL-'ADLU (العدل)
YANG MAHA ADIL

Allah Al-Adl bersifat Maha Adil kepada makhluqNya. Seseorang tidak akan dirugikan dan dibalasi mengikut apa yang kita kerjakan. Jalan keburukan yang dilalui oleh manusia akan dibalas dengan adil oleh Allah Al-Adl. Manusia harus menerima pengadilan Allah    dengan penuh rasa nikmat kerana kasih sayangNya menyelamatkan kita daripada bencana. Keadilan     Allah tidak mampu ditafsirkan oleh manusia.           

Seringkali apa yang disukai Allah tidak disukai   manusia dan apa yang dibenci Allah disukai manusia. Oleh itu sentiasa ingat bahawa setiap pengadilan    Allah itulah yang paling adil dan baik untuk manusia dan terima dengan redha penuh rasa nikmat. 

Manusia harus menghayati sifat Al-Adl agar berlaku adil kepada semua orang tanpa memilih atau     memihak kepada orang-orang tertentu serta tidak mengikut hawa nafsu dalam memberi keadilan.

Thursday, February 7, 2013

Siapakah ALLAH AL-LATHIIF?



ALLAH AL-LATHIIF (اللطيف)
YANG MAHA LEMBUT

Allah Maha Lembut membawa erti hasil ciptaanNya maha halus, setiap takdir keatas manusia penuh kebaikan dan hikmah dan Allah melihat sesuatu dengan penuh lembut dan halus. Allah Al-Latif juga melayan hamba-hambaNya dengan penuh kelembutan dan kasih sayang.           Kelembutannya dapat dirasai ketika dimaafkan segala   kesalahan kita ketika kita memohon ampun, dimakbulkan segala keperluan ketika kita memohon, diselamatkan dari bala bencana ketika kita memohon perlindungan, kata-kata yang lembut oleh manusia sekeliling kita apabila    dialirkan kelembutanNya.

Penghayatan di dalam diri sebagai seorang khalifah mampu menjadikan seseorang itu bersikap lemah lembut sesama manusia kerana fitrah manusia sukakan       kelembutan dan tidak selesa dengan kekasaran.      Kelembutan itu dapat digambarkan melalui kata-kata yang sopan, tingkah laku yang sopan dan sikap suka   memaafkan, menerima kelemahan dan bertolak ansur.