~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Sunday, February 22, 2009

Modul Pembinaan Insan (2)

Ihsan Sebagai Pengawal Dalaman Pekerja

Ihsan membawa erti merasa kehadiran Allah Ya Khobir yang sentiasa mengawasi makhluqnya. Implikasi daripada Ihsan akan melahirkan seorang pekerja yang mampu mengawal diri daripada sebarang dosa, maksiat, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dan sebagainya kerana dia merasakan Allah Ya Sami dan Ya Bashir sentiasa mendengar dan melihatnya. Samaada dia berseorangan dimana sahaja dia bekerja, bosnya tidak perlu mengawasinya dan tidak perlu bimbang akan dirinya samada dia jujur menjalankan tugas atau tidak, tetapi sesungguhnya dia menjadikan Allah Ya Hafiz Ya Maha Memelihara dan Ya Muhaimin Yang Maha Melindungi untuk memelihara jiwanya daripada godaan nasfu dan syaitan dan melindungi jiwa dan dirinya daripada sebarang marabahaya. Pekerja yang mampu menghayati ihsan akan berusaha untuk mengenal siapa Allah Ya Kholiq Yang Menciptakannya, berusaha untuk membesar dan mengagungkannya walau apa pun jawatan yang dipikulnya. Dia mampu merasa jawatan itu adalah amanah Allah dan merasa dirinya menjalankan tugas khalifah Allah di atas mukabumi.

Kesan Ihsan Kepada Guru KAFA

Sebagai contoh sekiranya dia seorang guru, dia adalah wakil kepada Ya Alim, Yang Maha Berilmu, Ya Hakim Yang Maha Bijaksana, dan Ya Rashid yang Maha Pintar dan Cerdas. Dengan bantuan Ya Alim, dia mampu memberi ilmu Allah kepada anak-anak murid dengan baik dan penuh keikhlasan, dengan bantuan Ya Hakim, dia menggunakan seluruh kebijaksanaan yang dikurniakan Allah untuk merangka kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan bagi memastikan pelajar mendapat hasil daripada pengajaran dan menjadi hamba kepada Allah dan khalifah Allah di dunia ini dan dengan bantuan Ya Rashid, guru dapat menggunakan kecerdasan aqal dan kepintaran untuk menjadikan anak-anak murid juga cerdas dan pintar.

Kesan Ihsan Kepada Pemimpin Organisasi

Sebagai contoh sekiranya dia seorang pemimpin, dia adalah wakil kepada Ya Baari Yang Maha Perancang, Ya Razaq Yang Maha Memberi Rezeki, Ya Alim Yang Maha Berilmu dan Ya Rashid yang Maha Cerdas. Dengan bantuan Ya Baari, dia mampu merancang visi dan misi organisasi, dengan bantuan Ya Hakim, dia menggunakan seluruh kebijaksanaan yang dikurniakan Allah untuk merangka strategi dan mekanisma bagi mencapai visi dan misi yang telah ditetapkan. Dan dengan bantuan Ya Rasyid, dia mampu menguruskan organisasi dengan cekap.


Rukun Iman Sebagai Prinsip Bekerja

Manusia diciptakan oleh Allah Ya Kholiq dengan dilengkapi prinsip hidup untuk pekerja yang perlu dijadikan panduan dan prinsip didalam setiap gerakkerja dimana sahaja berada samada di rumah atau pejabat. Setiap pekerja perlu menghayati setiap prinsip yang ditetapkan oleh Allah melalui Rukun Iman iaitu beriman kepada Allah, beriman kepada Malaikat, beriman kepada kitab, beriman kepada Rasul, beriman kepada Hari Akhirat dan beriman kepada Qada’ dan Qadar. Sesungguhnya kita manusia adalah ciptaanNya dan Dia Ya Kholiq(Yang Maha Pencipta) sudah tentu memutuskan prinsip hidup yang sesuai dengan ciptaanNya. Sudah terbukti prinsip-prinsip hidup yang dicipta oleh manusia tidak mampu mengendali hidup manusia.