Bagaimana Diriku Menggapai Cinta
Dengan menyerahkan seluruh cintaku buat Ya Wadud, diriku akan pasti mendapat cintaNya, cinta yang tidak ada tolok bandingnya. Ya Wadud akan pasti memasukkan perasaan cinta ini kedalam orang-orang di sekelilingku termasuklah ibubapaku dan bakal suami/isteriku kerana Dia ingin diriku merasai betapa indahnya cintaNya, walaupun sedikit. Apatah lagi cintaNya di akhirat nanti, sudah tentu tidak terjangkau oleh akalku yang cetek ini. Oleh itu diriku menggapai cintaNya dengan menanamkan cintaNya jauh dihati sanubariku dan diriku keluarkan cinta-cinta selain Allah dari hatiku, cinta manusia, makhluq, dunia dan nafsu itu diriku genggam sekuat-kuatnya di genggamanku sebagai amanah Allah. Diriku sedar cinta makhluq digenggamanku ini akan pergi meninggalkanku pada bila-bila masa dan ketika dia meninggalkanku, diriku akan melepaskannya dengan penuh rasa redha dan syukur kepada Tuhanku kerana kehilangan cinta sementara itu ada kebaikan buatku. Dan cinta Allah dihati akan ku jaga sebaik-baiknya yang akan menyuluh hatiku dengan An-Nurnya dan akan menyalakan bintang-bintang di hatiku umpama bintang-bintang di langit yang akan menjadi petunjuk jalan kepada diriku disepanjang kehidupan ini. Dengan cara ini, jiwaku pasti tenang kerana diriku pasti tidak akan kehilangan cinta yang begitu tulus, suci dan abadi daripada Ya Wadud, Ya Jalil dan Ya Quddus.