JIWA YANG TENANG MAMPU MELAHIRKAN WANITA BERPEMIKIRAN RASIONAL, INOVATIF DAN PRODUKTIF
Wanita yang dikasihi,
Seorang wanita sering dikaitkan dengan sifat tergopoh-gapah, mudah panik dan tidak sabar. Ini akan membuatkan fikiran berserabut dan tidak tenang, dan akan melahirkan tindakan-tindakan yang kurang rasional.
Oleh itu kita harus cuba sedaya upaya bertahan, bertenang dan bersabar ketika dalam keadaan bermasalah terutama ketika dilanda gelombang rumahtangga. Hanya jiwa yang tenang sahaja mampu membantu kita berfikir dengan baik mengikut landasan Islam, Iman dan Ihsan yang telah ditetapkan oleh Allah. Sesungguhnya Allah itu mempunyai nama Ya Salam Yang Maha Sejahtera dan tenang dan Dia mampu mengalirkan ketenangan kepada jiwa-jiwa yang risau dan runsing.
Berikut adalah beberapa Tips untuk mencapai jiwa yang sentiasa tenang:
1) Sentiasa Patuh kepada Perintah Allah dan Menjauhi LaranganNya
Setiap kesalahan dan dosa seorang hamba akan diiringi dengan rasa gelisah dan runsing. Ini adalah diantara cara Allah ingin menimbulkan penyesalan keatas dosa yang dilakukan serta balasan Allah diatas dunia ini untuk membawa manusia bertaubat kepada Allah. Oleh itu untuk mengelakkan diri daripada kerunsingan,, hendaklah kita menjauhi dosa dan larangan Allah dan sentiasa melakukan ibadah kepadaNya dengan bersungguh-sungguh.
Selain daripada mengelak diri daripada melakukan dosa terhadap Allah, sentiasalah lakukan kebaikan sesama manusia, nescaya disitu ada ketenangan yang menanti kita.
2) Sentiasa Bermohon kepada Allah Ya Salam agar dialirkan ketenanganNya
Hanya Allah Ya Salam yang mampu mengalirkan ketenangan ke dalam jiwa hamba-hamba yang dipilihNya. Sebut-sebutlah NamaNya sambil berbicara denganNya:.
“Ya Allah Ya Salam, Engkaulah Yang Maha Sejahtera lagi Tenang, alirkan ketenangan dan kesejahteraan ke dalam jiwaku yang sentiasa gelisah ini. Hanya Engkau yang mampu mengalirkan ketenangan itu.”
3) Bermohon Kekuatan daripada Allah Ya Aziz, Ya Qowiy dan Ya Matin Jiwa yang Kuat
Hanya Allah Ya Aziz, Ya Qowiy Ya Matin yang Mampu mengalirkan kekuatan ke dalam jiwa hamba-hambaNya ketika berada dalam kelemahan atas kesulitan yang dialaminya.
Sebut-sebutlah NamaNya sambil berbicara denganNya:
“Ya Allah Ya Aziz yang Maha Perkasa, ya Qawwiy yang Maha Kuat dan Ya Matin ya Maha Teguh dan Sempurna KekuatanMu, tiada yang lebih perkasa dan kuat melainkan Engkau Ya Allah. Diriku ini hanyalah hamba kepadaMu dan kerana itulah diri ini sentiasa merasa lemah dan tidak berdaya. HambaMu ini memohon kepadaMu Ya Aziz, ya Qawwiy dan Ya Matin kekuatan jiwa untuk ku hadapi segala rintangan dan ujian hidup ini kerana dengan kekuatanMu sahajalah daku dapat mengatasi segala masalah dan kesulitan didalam hidup ini.”
4) Bermohon Perlindungan dari godaan nafsu dan syaitan daripada sifat terburu-buru
Syaitan merupakan musuh manusia yang nyata dan sering menjadikan hawa nafsu sebagai tunggangannya dalam menyesatkan manusia. Mohonlah perlindungan Allah dari syaitan dan hawa nafsu agar hati tidak mudah gelisah, panic dan terburu-buru. Sebut-sebutlah NamaNya:
“Sesungguhnya tipudaya syaitan itu tidak pernah mengenal erti putus asa, dia akan terus mengganggu hambaMu ini, oleh itu bantulah daku Ya Allah Ya Hafiz Yang maha Melindungi, Ya Muhaimin Yang Maha Memelihara, lindungi dan peliharalah jiwaku ini daripada dimasuki syaitan yang sentiasa membisikkan perkara-perkara yang tidak baik.”
5) Berusaha menggunakan potensi aqal yang dikurnai Allah dengan bimbingan Allah bagi menyelesaikan apa sahaja kerunsingan yang ada.
Allah mengurniakan aqal kepada manusia untuk berfikir apakah yang baik dan apakah yang buruk sambil mengambil pengajaran atas apa yang berlaku kepada diri sendiri dan manusia disekeliling kita. Kita harus membuat perhitungan berdasarkan hukum yang digariskan oleh Islam atas setiap tindakan kita. Fikirkanlah akibat diatas setiap perbautan kita dengan melihat akibat-akibat yang telah Allah turunkan kepada golongan-golongan yang terdahulu.
Oleh itu wahai wanita sekalian, marilah kita bersama-sama mencapai jiwa yang tenang dengan mendekatkan diri kepada Allah, melakukan perintahNya, meninggalkan laranganNya, bermohon kepadaNya dengan menyebut-nyebut NamaNya serta sentiasa memikirkan dan mengambil pelajaran atas akibat setiap perkara yang berlaku yang akan melahirkan wanita inovatif dan produktif, sesungguhnya itulah ilmu Allah Ya Alim yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, semoga kita mencapai ketenangan yang abadi dan mampu melahirkan rumahtangga yang cemerlang.