YAKIN DAN REDHA DENGAN REZEKI ALLAH YA RAZAQ MEMBUAT JIWA KAYA
Wanita yang disayangi,
Dalam kehidupan yang mencabar pada hari ini, kita seringkali merasakan tidak cukup dengan apa yang ada yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Keperluan harian makin bertambah, tetapi rezeki Allah seringkali dirasakan tidak mencukupi menampung keperluan hidup. Sesungguhnya rezeki itu hanya datang dari Allah Ya Razaq dan pasti mencukupi keperluan kita, cuma kadang-kadang rezekiNya tidak sepertimana yang dikehendaki oleh hawa nafsu kita.
Wanita yang dikasihi,
Sesungguhnya hidup kita pada hari ini sudah banyak dibentuk oleh orang-orang kafir. Keperluan hidup seringkali dicipta oleh orang-orang kafir yang akan membuatkan hati kita sesak jika tidak memilikinya. Seperti television, kereta, perabot rumah dan sebagainya sudah dianggap sebagai satu keperluan hidup umpama sudah wajib dipunyai, jika tidak tidak dapat hidup atau merasa gelisah dan merasa sangat susah. Sesungguhnya wanita sekalian, keperluan kebendaan itu tidaklah sepenting keperluan ibadah kepada Allah dan melakukan kebaikan kepada manusia kerana benda atau material itu akan ditinggalkan ketika kita mati, tetapi amal ibadah dan amal soleh akan berterusan pahalanya hingga ke akhirat. Oleh itu sekiranya merasa tidak cukup kebendaan, didiklah hati untuk redha, didiklah jiwa untuk menerima cara hidup sederhana dan didiklah jiwa untuk sentiasa bersyukur kepada Allah atas nikmatNya yang melimpah ruah yang seringkali kita lupa iaitu nikmat menjadi orang Islam, nikmat mengenali iman dan nikmat udara dan nikmat kesihatan yang kurniakan Allah sehingga kita mampu bernafas lagi. Seringkali sifat membanding-bandingkan antara kita menjadikan diri sentiasa rasa tidak cukup dari segi material dan seringkali jiwa ini kesal dengan ketidakcukupan pemberian Allah sehingga lupa segala pemberian yang tidak nampak dengan mata kepala kita. Oleh itu sentiasalah melihat dengan mata hati agar hati akan redha, syukur dan tenang dalam menerima ketentuan Allah Ya Muqtadir dan rezeki Allah Ya Razaq.
Wanita yang disayangi,
Sesungguhnya rezeki yang paling baik adalah syurga di akhirat kelak kerana ianya merupakan nikmat yang teramat hebat dan kekal abadi, sedangkan nikmat dunia ini terlalu sedikit dan tidak kekal, semuanya akan musnah dan ditinggalkan.
Wanita yang dihormati,
Dalam kita menerima dan menikmati rezeki Allah juga, hendaklah kita jangan lupa dan kikir mengeluarkan sebahagian untuk disedekahkan kepada golongan yang memerlukan temasuk fakir miskin, anak yatim, jihad fil sabilillah dan sebagainya tanda rasa syukur.
Wanita yang dikasihi,
Marilah kita sentiasa menadah tangan mengharapkan rezeki Allah Ya Razaq semata-mata. Sesungguhnya yang memberikan rezeki itu hanyalah Allah Ya Razaq Yang Maha Memberi Rezeki. Makhluq hanyalah wakilNya dalam menyampaikan pemberianNya itu. Beberapa tips untuk mudah mendapat rezeki Allah Ya Razaq adalah seperti berikut:
1) Sebutlah nama Allah Ya Razaq sebanyak-banyaknya sambil berbicara dengan Allah Ya Razaq:
“Ya Allah Ya Razaq Yang Maha Memberi Rezeki, Engkaulah yang memberi rezeki kepada setiap yang berada di langit dan di bumi ini sesungguhnya. RezekiMu tidak pernah berhenti dan tidak bertepi. Namun kamilah hambaMu yang jarang kali merenungi dan mensyukuri setiap rezekiMu yang Kau alirkan buat diri kami sejak kami kecil hingga dewasa ini. Kami ingin memohon kepadaMu ya Allah hati yang sentiasa mensyukuri setiap nikmatMu, hati yang redha dengan setiap pemberianMu, hati yang mampu merenungi akan setiap anugerahMu walaupun ianya tidak mampu dilihat dengan mata kepala kami. Kami juga ingin memohon kepadaMu Ya Allah Ya Razaq Ya Muqitt, Allah Yang Maha Memberi Rezeki dan Maha Mencukupkan, cukupkanlah rezekiMu buat kami di dunia ini agar kami mampu mensyukuri nikmatMu, agar kami mampu mengabdikan diri kepadaMu dan kami mampu untuk menjalankan amanahMu di dunia ini. Kami juga ingin memohon kepadaMu rezekiMu yang di akhirat yang mana rezekiMu di akhiratlah yang lebih baik dan kekal abadi.”
2) Mohonlah berulang-ulang dengan diiringi solat dan sabar. Sesungguhnya Allah mengurniakan setiap rezeki dan kebaikan mengikut waktu yang sesuai yang hanya Allah yang mengetahuinya. Jangan sesekali putus asa, teruskan memohon sambil membuat kebaikan dan perintahNya dengan hati yang ikhlas dan sabar.
3) Kemudian, renungi setiap pemberian Allah samada melalui diri kita sendiri atau melalui orang lain yang menjadi wakil Allah Ya Razaq. Syukuri setiap pemberianNya walaupun tidak sepertimana yang kita harap dan gambarkan. Setiap pemberianNya sudah pasti ada kebaikan dan hikmah untuk diri kita.
Wanita yang dihormati,
Sesungguhnya bergantung kepada rezeki Allah Ya Razaq lebih utama dan lebih baik dari meminta-minta dengan makhluq yang juga merupakan hamba seperti kita yang sama-sama bergantung kepada Allah jua. Sekiranya bantuan datang dari seseorang tanpa diminta-minta, itulah bantuan dan rezeki Allah Ya Razaq Yang Maha memberi rezeki dan bantuan Allah Ya Wahhab Yang Maha Memberi bantuan. Jangan lupa kunci menjadi seorang hamba terletak pada rasa redha dan syukur kepada Tuhan yang Maha menciptakan dan Maha memberi, yang akhirnya membuat jiwa merasa cukup dan merasa kaya kerana rasa bahagia yang dialirkan Allah ke dalam jiwa kita.