~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Monday, December 8, 2008

DOA SEMPENA SEMBELIHAN QURBAN



Ya Allah..Ya Quddus kau yang Maha Suci, Kau sahaja yang mampu menyucikan jiwa yang dikotori dengan sifat2 kebinatangan yang sering menghinggapi jiwaku. Sucikan dan bersihkan Ya Quddus sifat tamak berlumba-lumba inginkan dunia, ingin mendapatkan sesuatu walau apa cara sekalipun sama ada haram atau halal. Sehingga seringkali daku mengambil hak orang lain menindas orang lain dan menzalimi orang lain demi kepentingan diri ku. Umpama lembu yang sedang disembelih di hadapanku. Hidupnya hanya tahu makan dan minum tanpa mengira sama ada ianya haknya atau tidak. Yang ia tahu hanya kekenyangan perut dan nafsu. Tiada akal untuk memikirkan haram dan halal. Hak orang atau hak sendiri. Tiada perasaan untuk belas kasihan atas penderitaan orang lain.


Ampunilah daku Ya Affuw Ya Ghaffar Ya Tawwab..Kau lah Yang Maha Mengampuni. KeampunanMu sangat bererti buatku, tanpa keampunanMu sia-sialah hidupku di dunia ini. Umpama lembu dan kerbau, yang tidak tahu arah dan tuju. Berjalan tanpa arah mengikut kaki dan tuannya. Sempena sembelihan ni daku ingin berikrar kepadaMu Ya Allah Ya Mutakabbir Yang Maha Besar dan Hebat. KepunyaanMu lah seluruh isi langit dan bumi. Ya Malik, Pada hari ini daku ingin menyembelih bantulah daku menyembelih sifat-sifat kebinatangan yang menghinggapi jiwaku. Yang disebabkan oleh bisikan syaitan dan hawa nafsuku. Sembelihlah juga cintaku kepada manusia dan dunia sepertimana nabi Allah Ibrahim sanggup menyembelih cinta terhadap anaknya. Demi perjuangan menegakkan agamaMu.


Daku sedar, cinta terhadapMu Ya Wadud yang layak bertakhta dijiwaku. Begitu juga cinta terhadap kekasihMu, Habibullah, Rasulullah S.A.W. seharusnya yang ku utamakan lebih daripada cintaku terhadap ibubapa, anak, suami/ isteri, rakan-rakan, saudara-mara dan kata-kata manusia yang kadang-kadang sering melalaikan daku kepada tanggungjawabku sebenar terhadapMu Ya Allah. Bantulah daku Ya Wahhab agar daku sentiasa didampingi oleh pejuang-pejuang agamaMu yang sentiasa akan mengingatkanku dari mana ku datang, siapakah diriku, untuk apa ku ada di dunia ini dan ke manakah akhirnya perjalanan hidupku ini.


Aku menyerahkan seluruh jiwa ragaku Ya Barii. Agar Kau agendakan dengan agendaMu kerana diriku tidak layak untuk menagendakan hidupku. Kerana daku hanya hamba dan ciptaanMu. Jadikanlah aku orang yang sentiasa memohon petunjukMu Ya Haadi dalam melakukan setiap perkara di dunia ini dan cukupkanlah keperluanku Ya Hasiib agar dapat aku laksanakan arahanmu dengan cara terbaikMu. Kekalkan hidayah ini sehingga ke akhirn hayatku dan kurniakanlah hidayahMu Ya Haadi kepada ibubapa, anak, suami/ isteri, rakan-rakan, saudara-mara.