~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Wednesday, August 3, 2011

Keluarga Bahagia (18)


MENCARI KELAPANGAN HIDUP DENGAN BANTUAN ALLAH YA BASITH

Wanita yang disayangi,

Kehidupan ini telah diatur peraturannya oleh penciptanya iaitu Allah Ya Kholiq Yang Maha Mencipta. Perjalanan hidup manusia digariskan Allah melalui Islam, Iman dan Ihsan. Namun ramai manusia yang tidak mampu mengikuti peraturan yang ditetapkan Allah. Tetapi sifat Allah Ya Rahman Yang Maha Pemurah dan Ya Rahim Yang Maha Penyayang akan sentiasa menjaga dan memelihara orang-orang yang beriman daripada tergelincir daripada landasan Islam, Iman dan Ihsan.


Diantara cara Allah mengingatkan hamba2Nya ialah ketika hamba2 yang diberikan kelapangan hidup, mereka lalai terhadap tanggungjawab yang diberikan Allah kepada mereka iaitu ingat dan bersyukur sentiasa kepada Allah, membantu golongan susah dan yang memerlukan, maka Allah Ya Qobidh Yang Maha Menyempitkan akan memberi teguran dan peringatan dengan kesempitan hidup dan diambil kembali kelapangan dan pemberian yang diberikanNya. Sebab itulah seringkali ketika kita lalai, Allah menyempitkan hidup kita agar dengan kesempitan Allah ya Qobidh itu akan membuat kita ingat kepada Allah dan kembali mendekatkan diri dengan Allah sambil bermohon kelapangan dari Allah kerana Dia bersifat dengan sifat Al-Basith Yang Maha Melapangkan. Sesungguhnya apabila Allah Ya Qobidh menyempitkan, tiada siapa yang mampu melapangkan hidup seseorang kecuali Allah Ya Basith Yang Maha Melapangkan. Peringatan Allah s.w.t. melalui FirmanNya:


Ayat di atas menunjukkan bahawa sesiapa yang tidak mempedulikan peringatan Allah, ayat-ayat Allah, larangan Allah, maka dijanjikan kesempitan hidup bagi mereka. Oleh itu wanita sekalian, marilah kita meneliti dan merenungi apakah selama ini kita mengikuti peringatan Allah atau sebaliknya. Sekiranya kita merasa kesempitan hidup, renungilah solat kita, kebajikan yang kita lakukan, kerja-kerja da’wah yang kita sumbangkan untuk penerusan perjuangan Rasulullah s.a.w. dan perbaikilah sambil bermohon kepada Allah Ya Basith Yang Maha Melapangkan agar dilapangkan hidup kita dan juga dilapangkan hati kita untuk menjadi hambaNya yang taat kepadaNya.

Wanita yang dikasihi,

Berikut adalah beberapa tips untuk mendapatkan kelapangan hidup daripada Allah Ya Basith:

1) Banyakkan menyebut nama Allah Ya Basith Yang Maha Melapangkan sambil berbicara dengan Allah:

“Ya Allah Ya Qobidh Yang Maha Menyempitkan, daku sedar akan kesilapanku kepadaMu kerana kejahilanku dan kerana daku mengikut hawa nafsuku. Smpunilah dosa-dosaku Allah Ya Affuw, Ya Ghaffar, Ya Tawwab, sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha Pemaaf, Maha Pengampun dan Maha Menerima Taubat. Daku ingin mengadu kepadaMu Ya Allah Ya Sami’ yang maha mendengar yang maha Engkau mendengar setiap aduan, keluhan, rintihan dan permohonan akan kesempitan jiwa yang ku rasakan yang teramat sangat, dan daku sedar ini adalah ujian, hukuman dan keadilanMu Ya Allah Ya Qobidh Yang Maha Menyempitkan, Ya Hakam Yang Maha Menghukum dan Engkau Ya Adl Yang Maha Adil. Daku rela dan redha di atas ketentuan takdirMu Allah Ya Muqtadir Yang Maha Menentukan.


Daku sedar tiada siapa mampu melapangkan jiwa ini melainkan Engkau Ya Basith Yang Maha Melapangkan. Daku merayu, merintih dan memohon kepadaMu Allah Ya Basith agar Engkau melapangkan jiwa dan hidup ini agar daku mampu bersyukur kepadaMu, mengagumi akan kebesaran dan kehebatanMu dan seterusnya menyembahMu dengan penuh kerendahan dan mampu menjadi khalifah di bumiMu ini.”

2) Renungi pertolongan Allah Ya Basith dengan melihat dengan mata hati setiap perkara yang berlaku. Seringkali kelapanganNya diberikan dengan kemudahan melaksanakan sesuatu tugas sehingga dimurahkan rezeki oleh Allah Ya Razaq. Seringkali juga datang bantuan daripada orang yang membayar hutang dan seringkali juga datang kelapangan yang tidak disangka-sangka daripada punca yang tidak disangka-sangka.

3) Setelah mendapat kelapangan dan ketenangan, maka banyakkan bersyukur kepada Allah dan banyakkan amalan ibadah yang mendekatkan diri kepadaNya dan lakukan dengan bersungguh-sungguh. Dan ingatlah untuk melakukan kebaikan dan menolong orang lain yang memerlukan ketika berada dalam kelapangan.

Wanita yang disayangi,

Sedarilah bahawa setiap masalah hidup ini hanya mampu diselesaikan oleh Allah kerana Dialah yang Maha Berkuasa di atas segala apa yang berlaku, setiap manusia berada di dalam genggamanNya kerana Dia Ya Malik Yang Maha Memiliki dan yang Maha Menggenggam. Dia juga Ya Jabbar Yang Maha Berkuasa lagi Maha Pemaksa. Dia juga Ya Qohhar Yang Maha Menundukkan lagi Maha Mengalahkan.


Seringkali Allah ingin memperkenalkan kepada hamba2Nya akan kehebatan kekuasaanNya yang mana tiada siapa yang mampu mengatasinya. Tetapi sifat pengasih dan penyayangNya Allah Ya Rahman Ya Rahim mengatasi segala-galanya, kasih sayangNya yang akan membuka jalan penyelesaian kepada segala masalah sekiranya kita kembali kepadaNya dan memohon denganNya dengan menginsafi akan kelemahan diri dan kehebatan Allah.