~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Monday, December 15, 2008

Doa Kemantapan Iman



Ya Allah yang Maha Mulia dan maha Agung, sesungguhnya Engkaulah yang Maha sempurna itu yang menciptakan kami dengan penuh kesempurnaan dan memberikan kami nikmat iman yang sesungguhnya mampu menjadi benteng diri kepada segala permasalahan kami hari ini. Ya Allah, kami amat yakin Engkau sentiasa melihat apa yang kami lakukan, malaikat Mu sentiasa mencatit perbuatan baik dan jahat kami ya Allah. Tiada apa pun yang terjadi didunia ini tanpa pengetahuan dan perancanganMu ya Allah. Sesungguhnya Engkau sentiasa hidup, Tuhan yang tidak pernah tidur atau terlalai menguruskan makhluqMu ya Allah.


Ya Allah kami sedar Rasullullah kekasihMu banyak berkorban untuk memastikan kami menikmati Islam dan iman pada hari ini. Tanpa pengorbanan Junjungan Rasullullah yang tidak pernah mengenal erti penat dan lelah serta sanggup berkorban nyawa, tentulah kami tidak mengenal Mu ya Allah. Ya Allah, Engkau izinkanlah kami untuk mendapat syafaat baginda dihari pembalasan nanti, kerana harta dan kekayaan dunia ini sesungguhnya tidak mampu menyelamatkan kami ya Allah, hatta ibu dan bapa kami juga tidak mampu menyelamatkan kami ya Allah, hanya dengan syafaat nabi Mu dan rahmat serta belas ihsanMu ya Allah, yang mampu menyelamatkan kami dari azab Mu ya Allah yang tidak terperi. Ya Allah, bantulah kami menjadikan Rasullullah, kekasihMu sebagai idola dan contoh tauladan hidup kami ya Allah. Sifat penyayang baginda, sifat prihatin baginda, sifat bijaksana baginda, sifat hormat menghormati baginda, sifat pengorbanan dan kesabaran, sifat jujur dan bertanggungjawab baginda sesungguhnya melayakkan baginda menjadi kekasihMu dan kekasih hamba2 Mu ya Allah. Oleh itu ya Allah, himpunkanlah kami bersama2 para nabiMu dan hamba2Mu yang soleh yang Kau kurniakan nikmat kepada mereka.


Ya Allah, kami juga sedar Al-quran yang Kau turunkan adalah petunjuk dan panduan dariMu yang sekiranya kami menjadikannya sebagai pedoman kami, tentulah kami tidak akan sesat dan rugi. Ya Allah, jadikanlah kami ini orang yang cinta dan suka membaca ayat-ayatMu ya Allah yang penuh dengan peringatan dan iktibar. Jadikanlah kami ini hambaMu yang menjadikan al-quran sebagai pedoman hidup kami.


Ya Allah, kami juga sedar akan ketentuan qada’ dan qadarMu. Sesungguhnya apa sahaja yang Engkau takdirkan kepada kami adalah baik untuk kami. Jadikanlah kami hamba yang bilamana Engkau memberi nikmat kepada kami, kami menjadi hambaMu yang bersyukur dan bilamana Engkau memberi kesakitan, kesusahan, kemiskinan, kegagalan dan keperitan hidup, kami menjadi hambaMu yang redha diatas segala ketetapanMu yang mempunyai seribu hikmat dan kebaikan itu. Janganlah kami menjadi orang yang lupa diri dengan kekayaan hidup ini dan menyesal dan kesal dengan kesulitan dan dugaan hidup ini ya Allah. Kami sedar segala kemewahan dan kebaikan yg Engkau berikan adalah amanah yang perlu kami berikan dan sampaikan kepada orang lain, dan Kesusahan, kegagalan dan dugaan hidup ini Engkau berikan kepada kami agar kami sentiasa dekat kepadaMu, memohon bantuan dan kasihsayangMu ya Allah. Ampunilah dosa2 kami selama ini sekiranya kami lupa diri atas nikmatMu dan sekiranya kami mengeluh kesah dan kecewa atas ujian kesusahan dari Mu ya Allah. Jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa syukur dan redha dan sentiasa merendahkan diri sujud kepada Mu ya Allah, serta merendahkan diri sesama manusia.