~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Thursday, December 11, 2008

Doa Keinsafan



(Dari seorang Hamba kepada Tuhan Yang Maha Agung)

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kami mula membaca, segala Rahmat bagi Tuhan kami, Rahmat dan Keselamatan, bagi Nabi Kekasih kami.


Wahai Yang Maha Pencipta yang Mengadakan dari yang tiada, Sesungguhnya Engkau yang menciptakan Kami, dan kami sedar yang sesungguhnya kami dahulunya tiada, dan Engkaulah menciptakan kami dengan penuh kesempurnaan dan mengajarkan kami sesuatu yang kami tidak mengetahui dan Wahai Yang Maha Pemberi dan Yang Maha Pembuka, Engkau memberikan kami segala jenis rezeki dengan yang kami sendiri tidak mampu untuk mengadakannya untuk kami gunakan didunia ini sebagai pengabdian kepadaMu dan menjalankan amanah sebagai Khalifah di bumi ini.


Wahai Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, kami sedar kami adalah hambaMu yang diwujudkan didunia ini hanyalah untuk taat dan patuh kepadaMu sepertimana taat dan patuhnya matahari, bulan dan bintang yang tidak pernah mengerti erti keengkaran dan kemungkaran. Namun Wahai Yang Maha Berkuasa lagi Maha Suci, selama ini kami seringkali engkar dan lalai dalam melaksanakan ketaatan kepadaMu walaupun Engkau telah memberi kesempurnaan didalam penciptaan kami ini. Wahai Yang Maha Melindungi dan Maha Terpuji, kini kami sedar yang kami wajib taat kepada perintahMu, kami sedar terlalu banyak dosa dan kemungkaran yang telah kami lakukan sehingga hari ini, namun Wahai Yang Maha Pemberi dan Maha Pengampun, bukanlah kami tidak mahu menyembahMu, Wahai Tuhan Yang Maha Mengetahui dan Maha Penyantun selama ini kami tidak mengetahui dan sering lalai kepadaMu. Kami sedar Sesungguhnya Engkau Yang Maha Agong lagi Maha Pengampun, oleh itu ampunilah dosa-dosa kami kerana ketelanjuran kami dan kejahilan kami. Wahai Yang Maha Memberi Petunjuk , berilah kami petunjukMu dan ilmuMu, agar kami mampu mendekatiMu, MencintaiMu dan Taat sepenuhnya kepadaMu.


Wahai yang Maha Mematikan dan Maha Hidup, kami sedar dan yakin kematian itu amat benar dan dekat. Wahai Yang Maha Membangkitkan lagi Maha Menyaksikan, sesungguhnya hari kebangkitan itu benar. Wahai yang Maha Melihat dan Maha Memutuskan Hukuman, sesungguhnya kami sedar bahawa balasan kubur itu benar, timbangan amal itu benar, syurga dan nerakaMu adalah benar sekali, tidak ada sedikit keraguan sekalipun ya Allah.


Wahai yang Maha Memberi Manafaat dan Maha Memberi Cahaya, kami sedar kebaikan dan kebajikan kami terlalu sedikit untuk melayakkan kami kesyurgaMu, namun Wahai yang Maha Mencegah dan Maha Memberi Derita,, sesungguhnya kami tidak mampu menanggung siksa azab nerakaMu yang tidak terperi yang mana azab paling ringan adalah apabila dipakaikan selipar neraka, maka menggelegak otak kami. Wahai Yang Maha Agong lagi Maha Pengampun, ampunilah, ampunilah, ampunilah, kurniakanlah kami rahmat dan kasihsayangMu dan izinkanlah kami berjumpa dengan Mu disyurgaMu ya Allah kerana itulah saat-saat yang paling bahagia yang dikurniakan kepada seorang hamba apabila kami dapat dipertemukan dengan Engkau, Wahai Yang Maha Esa dan Maha Diperlukan, Yang Maha Luhur lagi Maha Mulia, Yang Maha Besar lagi Maha Memelihara, Yang Maha Mencintai lagi Maha Mulia, Yang Maha Melimpahkan Kasih dan Maha Menguasai.


Wahai Yang Maha Pencipta, sesungguhnya segala yang berada dilangit dan dibumi adalah milikMu, hatta kami juga adalah milikMu, ibubapa kami adalah milikMu, rakan-rakan kami adalah milikMu, segala apa yg ada pada tubuh badan kami adalah milikMu semuanya Ya Allah, kepandaian yang Engkau anugerahkan, udara yang kami sedut, bumi yg teguh tempat kami berpijak, matahari yg sentiasa bersinar memberikan tenaga cahaya, buah-buahan yang lazat, wang ringgit yang Engkau berikan dan rumah serta kenderaan yang telah Engkau sediakan buat kami sebagai amanah yang seharusnya kami gunakan untuk beribadat kepadaMu, menjadi hambaMu yang taat, semuanya milikMu dan hakMu semata-mata.


Wahai Yang Maha Menghitung lagi Maha Memulakan, kadang-kadang kami terlanjur kerana mengikut hawa nafsu kami, kami tertipu dengan bisikan syaitan yang berupa jin dan manusia yang banyak membuatkan kami lupa dan lalai, lupa dari mana kami datang, siapa yang menciptakan kami, untuk apa kami dicipta oleh Mu ya Allah dan kemana kesudahan kehidupan ini. Sesungguhnya ya Allah, kami sedar kami hanya hambaMu yang tidak punya apa kecuali yang Engkau kurniakan kepada kami untuk kami taat kepada perintah Mu dan menjauhi daripada larangan Mu. Wahai Yang Maha Kuat lagi Maha Kukuh, sesungguhnya kami amat lemah dan selalu lalai dan memerlukan bantuan dan bimbinganMu, maka bimbinglah kami Wahai Yang Memberi Petunjuk, tunjuki kami jalanMu, tolonglah kami, jadikanlah kami ini hambaMu yang taat, anak yang soleh, pekerja yang cemerlang, guru yang bertanggungjawab dan cemerlang dunia dan akhirat dan manusia yang berguna dan beramanah.


Wahai Yang Maha Mengembalikan lagi Maha Menghidupkan, sesungguhnya kami semua akan kembali mengadap Mu satu hari nanti dan sesungguhnya pertemuan dengan Mu adalah benar, syurga dan neraka itu benar, hari kiamat itu benar, kematian dan siksa kubur itu benar. Wahai Yang Maha Cepat Tindakannya, sesungguhnya kami tidak mampu menanggung siksa azab Mu yang amat pedih dan kami juga sedar kami tidak layak menjadi ahli syurga Mu, tetapi kami yakin kepadaMu Wahai Yang Maha Dermawan dan Penerima Taubat, lagi Maha Pengampun, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, ampunkanlah dosa-dosa kami dan sesungguhnya kami bertaubat kepadaMu dengan sebenar-benar taubat. Ampunilah juga dosa kedua ibubapa kami, adik beradik kami, sanak saudara kami, guru-guru kami dan sabahat andai kami dan rahmatilah kami semua. Kami ingin mengucapkan terima kasih kami kepada Nabi kami kekasih kami yang telah berkorban agar kami dapat menikmati nikmat Islam dan Iman ini pada hari ini.


Wahai Yang Maha Melihat lagi Maha Memutuskan Hukuman, hari ini kami benar-benar insaf dan sedar akan siapa diri kami, kenapa kami berada disini dan kemana akhirnya kehidupan ini. Oleh itu Wahai Yang Maha Memberi Petunjuk lagi Maha Perkasa dan Maha Pemberi, berilah kekuatan kepada kami agar kami dapat menjadi hambaMu yang sejati serta melaksanakan perintahMu sebagai wanita/lelaki yang solehah/soleh yang menghormati suami/isteri kami, anak yang soleh yang menghormati ibubapa kami dan guru-guru kami, mengasihi anak-anak kami, saudara mara kami, rakan-rakan kami dan masyarakat kami. AMIN.