ALLAH AL-'ALIIM (العليم)
YANG MAHA MENGETAHUI
Allah Al-‘Alim mengetahui setiap sesuatu yang berlaku, Dia mengetahui perkara-perkara yang ghaib yang di luar jangkauan manusia & Dia mengetahui apa yang akan berlaku. Tiada sehelai daun pun yang gugur tanpa pengetahuanNya. Ilmu Allah sangat hebat. Kehebatan ilmuNya terserlah dalam kesempurnaan penciptaan makhluqNya. Al-`Alim memberikan ilmuNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Hamba Allah Al-`Alim akan membuka fikirannya untuk dialirkan Ilmu Allah Al-`Alim untuk digunakan bagi kesejahteraan sejagat, rela menimba ilmu daripada Allah melalui makhluq-makhluqNya tanpa merasa dirinya hebat dengan sedikit ilmu yang Allah berikan. IlmuNya juga perlu disebarkan kepada orang lain agar dapat dimanafaatkan bersama.
Orang yang dikurniakan ilmu sewajarnya lebih takut kepada Allah kerana mengetahui kehebatan & sifat-sifatNya. Allah mengarahkan kita mencari ilmuNya bersungguh-sungguh & tanpa henti. Dalam mencari ilmu, kita harus merenungi, mengkaji, menganalisis dan mengamati serta mengambil pengajaran dari semua itu & seterusnya sujud kepada Allah apabila dapat melihat kehebatanNya melalui penciptaanNya.