~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Monday, February 22, 2010

Mewujudkan Kebahagiaan keluarga melalui penghayatan Asmaul Husna (11)


MEMANAFAATKAN KREATIVITI ALLAH YA MUSOWWIR DALAM

MENANGANI PELBAGAI CABARAN HIDUP.

Wanita yang dikasihi,

Kehidupan ini seumpama pentas seni yang mana manusia sebagai pelakon memainkan lakonan-lakonan yang disusun oleh Allah Ya Musowwir yang Maha Kreatif dalam penciptaan kehidupan di dunia ini. Kehidupan dunia ini merupakan permainan dan ujian yang dicipta Allah Ya Musowwir bagi menguji hamba2Nya dan untuk hidup dengan penuh kebahagiaan, perlulah memanafaat sifat Al-Musowwir yang dialirkan oleh Allah Ya Musowwir yang telahpun menjadi sebahagian daripada fitrah penciptaan kita untuk menangani segala masalah dan cabaran hidup di dunia ini. Ambillah pengajaran daripada penciptaan manusia dan alam, bagaimana kreatifnya Allah Ya Musowwir dalam merekabentuk tubuh manusia dan alam semesta ini. Lihatlah bagaimana susunan bulan, bintang dan matahari begitu teratur, cantik dan kena pada tempatnya, tidak berlanggar sesama sendiri, tapi bergerak dengan penuh harmoni. Begitu juga tubuh manusia yang Allah jadikan berbagai warna, bentuk dan rupa sehingga tiada seorangpun serupa diantara satu sama lain. Itulah kehebatan kreativiti Allah Ya Musowwir dalam penciptaan ciptaanNya di dunia ini.


Wanita yang disayangi,

Kehidupan yang penuh dengan ujian dan cabaran ini memerlukan pemikiran dan tindakan yang kreatif dalam mengatasinya. Biarkan Allah Ya Musowwir mengalirkan kreativitiNya ke dalam aqal kita agar kita mampu berfikiran kreatif dalam melakukan sesuatu. Ramai manusia yang menggunakan potensi diri ini dalam mencipta pelbagai barangan, alat dan penemuan untuk kebaikan hidup manusia seperti ciptaan teknologi telekomunikasi, ciptaan ubat-ubatan bagi pelbagai jenis penyakit, ciptaan pelbagai jenis kenderaan untuk keselesaan manusia dan sebagainya. Sesungguhnya mereka yang mampu mengeluarkan potensi Al-Musowwir dalam diri mereka mampu menghasilkan sesuatu yang tidak mampu dihasilkan oleh orang lain. Sekiranya manusia yang tidak menyembah Allahpun Allah berikan sifat Al-MusowwirNya, apatah lagi kita yang sentiasa menyembahNya sudah tentu kalau kita benar-benar memohon kepadaNya dan bergantung sepenuhnya kepadaNya sudah tentu akan dikurniakan sifat ini kepada kita.

Berikut adalah beberapa tips untuk menyerah diri kepada Allah Ya Musowwir untuk menghasilkan kreativiti dalam setiap perkara yang kita lakukan :

1) Setiap pagi selepas solat subuh, bacalah bicara hati berikut yang ditujukan kepada Allah dengan sepenuh hati dan penuh kesedaran:

“ Ya Allah Ya Musowwir, Engkaulah Tuhan Yang Maha Merekabentuk lagi Maha Kreatif. KreativitiMu dan kehebatanMu dalam penciptaan manusia dan alam ini tidak mampu kami fikirkan dan renungkan. Setiap ciptaanMu melambangkan kehebatan kreavitiMu yang tiada tandingannya di dunia ini. Daku adalah hambaMu yang lemah dan tidak berdaya, hanya bergantung harap kepadaMu. Kurniakanlah buat diri ini sifat Al-MusowwirMu agar daku mampu memikirkan pelbagai cara dan kaedah dalam menyelesaikan pelbagai masalah hidup ini yang juga datang daripadaMu. Sudah tentulah penyelesaiannya juga datang daripada Mu. Daku berserah diri kepadaMu Allah Ya Musowwir.”

2) Setelah dibaca doa di atas, Allah Ya Musowwir pasti akan memberikan idea yang kreatif kepada kita dalam bentuk ilham di dalam hati dan fikiran kita untuk kita lakukan setiap perkara dengan penuh kreativiti. Mulakan setiap mesyuarat, perbincangan, perniagaan, menangani masalah anak-anak dan rumah tangga, masalah pekerjaan dengan menyebut nama Allah Ya Musowwir, nescaya akan dialirkan kreativitiNya yang amat hebat diluar kemampuan aqal manusia memikirkan. Sudah pasti dengan bimbingan Allah, kita akan dibimbingNya untuk melakukan setiap perkara dengan penuh kreativitiNya bersesuaian dengan kehendak Allah Ya Musowwir.

3) Setelah itu, jalanilah hidup seharian dengan penuh ketenangan dengan mengikut perkara yang telah dirancangkan. Seringkali idea kreatif Allah Ya Musowwir merupakan idea yang tidak pernah dilakukan oleh orang lain. Oleh itu untuk melaksanakan satu perubahan atau perkara baru, memerlukan kepada sifat berani mengambil risiko terutama dalam perniagaan. Tetapi sekiranya kita berjaya memecah tradisi, sudah tentulah kita orang pertama yang akan menguasai perniaagaan itu. Begitu juga dalam kemelut masalah keluarga yang sangat meruncing sekarang. Menjaga hubungan suami isteri memerlukan kepada kreativiti dalam mewujudkan hubungan yang sentiasa mesra dan penuh kasih sayang. Begitu juga masalah anak-anak memerlukan kepada kreativiti untuk menghasilkan pelbagai pendekatan yang sesuai dengan umur dan latarbelakang anak-anak.

4) Renungilah dan mohon petunjuk Allah Ya Haadi Yang Maha Memberi Petunjuk dan teruslah melakukan perubahan-perubahan itu sekiranya ianya perkara yang baik yang menepati syariat dan jauhkan dan elakkan sekiranya ianya perkara jahat yang dilarang oleh syariat kerana itu ujian Allah kepada kita. Dalam kita melakukan pelbagai perkara kreatif dalam setiap hal, hati hendaklah sentiasa redha dan rela melakukannya kerana itulah kehendak Allah Ya Musowwir yang mana kita telahpun bersetuju dari awal lagi untuk menyerahkan kepadaNya hidup seharian kita. Oleh itu sentiasalah merenungi dan melihat dengan mata hati akan bagaimana Allah Ya Musowwir mengatur kreativitiNya melalui kita dalam pelbagai perkara yang kita lakukan.

5) Dalam melakukan perkara baru yang kreatif, seringkali kita akan dilemahkan oleh suara-suara manusia yang tidak yakin dan kenal Allah. Mereka seringkali akan melemahkan semangat kita dan cuba menggagalkan setiap usaha kita. Mereka seringkali akan menyenaraikan pelbagai jenis masalah yang akan berlaku sekiranya kita melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan oleh orang lain. Untuk menghadapi keadaan ini, hendaklah kita bergantung penuh dengan kekuatan Allah Ya Aziz Yang Maha Perkasa, Allah Ya Qowwiy Yang Maha Kuat dan Allah Ya Matin yang Maha Teguh agar diperkasakan, diperkuatkan dan diperteguhkan jiwa. Dengan kekuatan jiwa ini, kita akan mampu menepis setiap kata-kata yang lemah, hinaan, cercaan dan kutukan orang-orang yang tidak yakin dengan Allah.

6) Setelah selesai sesuatu perkara yang telah dirancang dengan bimbingan Allah Ya Musowwir, hati hendaklah redha sekiranya hasilnya tidak sepertimana yang kita harapkan, dan sekiranya hasilnya Berjaya sepertimana yang kita harapkan, syukurlah kepada Allah atas kurniaan dan bimbinganNya. Ingatlah kejayaan kita bukan kerana hebatnya kita, tetapi semuanya atas izin dan kurniaan Allah kepada kita. Sekiranya gagal, sudah pasti ada pengajaran dan pelajaran yang ingin diberikan oleh Allah kepada kita, dan teruslah bermohon lagi, dan teruslah melakukan lagi dengan cara yang lebih baik hasil bimbingan Allah Ya Musowwir.

Walaubagaimanapun wanita sekalian, penuhilah dirimu dengan ilmu Islam, iman dan ihsan yang akan menjadi benteng bagi mengelakkan bisikan syaitan dalam kita menghayati Asmaul Husna Allah ini. Syaitan tidak akan jemu dan putus asa dalam menggagalkan setiap usaha kita dan ingin menjerumuskan kita bersamanya ke dalam api neraka Allah. Oleh itu sentiasa bermohon pertolongan dan perlindungan dari Allah Ya Hafiz yang Maha Memelihara dan Ya Muhaimin Yang Maha Melindungi agar dipelihara dan dilindungi kita setiap masa dalam kita menjalani kehidupan yang penuh mencabar ini.