~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Monday, March 5, 2012

DOA MUNAJAT KEMERDEKAAN JIWA


DOA MUNAJAT KEMERDEKAAN JIWA

(Rintihan Jiwa yang Terpenjara)

Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Ya Allah, Ya Malik, Tuhan Yang Maha Memiliki segala apa yang ada di antara langit dan bumi, hatta diriku, diri suami/isteriku, diri anak2ku, diri ibubapaku, diri kawan2ku dan diri jiran tetanggaku, aku sedar ya Allah, aku hanya ciptaanMu, yang Kau ciptakan dari tanah yang hina dan kemudian kau pinjamkan kepadaku ilmuMu, hartaMu, wang ringgitMu, rumahMu, keretaMu serta suamu/isteri, anak2, kawan2 yang semuanya adalah ciptaanMu sebagai amanah dan pinjaman kepada aku agar aku dapat mengabdikan diri kepadaMu dan juga melaksanakan amanah KhalifahMu di dunia ini. Ampunilah aku kerana selama ini sering lupa asal usulku ya Allah, aku lupa aku dicipta dari tanah dan tiada apa2 kecuali apa yang diamanah dan dianugerahkan olehMu ya Allah. Ampunilah aku ya Allah kerana aku sering mengaku semuanya itu hakku, sedangkan semuanya itu hakMu semata-mata ya Allah.

Ya Allah, Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Suci, aku seringkali membaca ‘Laailaha illallah’ yang membawa erti ‘Tiada Tuhan Yang Layak di Sembah Melainkan Engkau Ya Allah’, namun aku sedar ianya hanya di bibir mulutku sahaja, ianya tidak mampu ku ucapkan dengan hatiku kerana sesungguhnya dalam hatiku ini masih banyak lagi tuhan2 lain selain Engkau Ya Allah. Aku selama ini bertuhankan nafsuku kerana aku lebih menurutkan nafsuku daripadaMu ya Allah, ampunkan aku ya Allah. Selama ini aku bertuhankan dunia, wangringgit dan hartabenda ya Allah dan seringkali aku mengabaikan perintahMu dan melanggar laranganMu ya Allah. Aku juga ya Allah lebih mengutamakan kata-kata manusia, kehendak manusia, makhluq ciptaanMu jua ya Allah dan tidak mengutamakan Engkau ya Allah. Ampunilah, ampunilah, ampunilah ya Allah segala dosa2 aku selama ini kerana bertuhankan lain daripadaMu ya Allah. Sesungguhnya jiwaku selama ini menjadi hamba nafsu, hamba dunia dan hamba manusia ya Allah. Jiwaku tersepit, terpenjara dan menderita kerana mengabdikan dan menghambakan diri kepada mahkluqMu yang lemah dan tidak kekal ya Allah. Selama ini jiwaku dikurung, tidak bebas melakukan apa yang jiwaku inginkan iaitu mengabdikan diri semata-mata kepadaMu ya Allah. Aku sering melakukan sesuatu untuk manusia dan mengharapkan ganjaran dan pujian manusia, tetapi sebaliknya ya Allah aku hanya mendapat kekecewaan dan penderitaan. Sesungguhnya kasih dan cinta manusia itu tidak kekal, tidak abadi dan tidak suci.

Ya Allah, kini kami sedar cintaMu ya Allah Ya Waddud, Allah Yang Maha Pencinta, cintaMu kekal abadi, tak pernah padam dan Engkau sentiasa mengasihiku dan memeliharaku serta memberi rezeki kepadaku. Engkau sentiasa berada disampingku ketika orang lain meninggalkanku, Engkau sentiasa memberi kepadaku ketika orang lain tidak mempedulikanku, Engkau sentiasa melindungiku ketika orang lain sering menyakitiku. Ya Allah, kini jiwaku tenang dengan kesedaran dan hidayahMu ini ya Allah. Bimbinglah aku ya Allah ke jalanMu, kejalan taqwaMu ya Allah.

Ya Allah, merdekakan jiwaku daripada menjadi hamba kepada dunia, manusia dan nafsu ya Allah. Sesungguhnya jiwaku ingin kembali kepada fitrah kejadianku yang sebenar iaitu menjadi hamba kepadaMu Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pencinta. Semoga kemerdekaan jiwaku ini akan membuahkan satu kehidupan yang berlandaskan kehendakMu dan semoga jiwaku merdeka dan damai serta bahagia dunia dan akhirat.