1. Pendahuluan
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum,
Kepada anakku yang kusayangi, sesungguhnya Allah menciptakan kita bukan untuk hanya berseronok di atas dunia ini tanpa tujuan. Dia Ya Khaliq menciptakan kita dengan penuh kesempurnaan agar kita boleh menjalani dan menikmati kehidupan ini dengan rasa penuh bahagia dan redha seperti dinyatakan di dalam surah As-Syam ayat 7
Dan kesempurnaan jiwa itu sesungguhnya adalah sedikit sifat Asma ul Husna Allah s.w.t yang diilhamkan kedalam jiwa manusia yang mampu menjadikan jiwa itu kuat dan mantap di dalam mengharungi liku-liku dan badai kehidupan.
Sucikanlah jiwamu anakku, agar sifat-sifat Allah yang diilhamkan kepada jiwamu dapat dipancarkan keluar bagi menerangi hidupmu dan seluruh alam ini.
Layarilah bicara hati ini dengan penuh tunduk, tawadduk dan penuh kerendahan hati kepada Allah Yang Maha Agung dan Maha Tinggi, semoga dirimu dapat mencari jawapan kepada persoalan dan kekosongan hidupmu selama ini.
Sesungguhnya Engkau Ya Kholiq Yang Maha Pencipta telah menciptakan diriku daripada tanah yang hina dan kemudian dari air mani yang juga hina, dari tiada kepada ada. Engkau Ya Khaliq Yang Maha Pencipta dan Ya Malik Yang Maha Berkuasa dan Raja Yang Memiliki Segala Isi Langit dan Bumi telah ciptakanku dan sesungguhnya diriku hanya ciptaanMu dan hambaMu yang dulunya tiada dan kini ada.
Engkau Ya Wahhab Yang Maha Pemberi telah memberikanku segala kesempurnaan tubuh badan, pakaian, rezeki dan juga Engkau Ya Rahman Yang Maha Pengasih, Ya Rahim Yang Maha Penyayang telah mengurniakan Kasih dan SayangMu kepada ibu dan bapaku dan diriku, yang dengan rasa Kasih dan SayangMu itulah kami membina keluarga yang bahagia dan harmoni ini sehingga kehari ini.
Sesungguhnya diriku adalah seorang anak yang Engkau kurniakan sedikit Rahman (Pengasih) dan RahimMu (Penyayang) untuk ku curahkan kepada ibu dan bapaku demi melaksanakan tugas KhalifahMu di dunia ini. Engkau telah menugaskan diriku sebagai seorang anak agar memberikan kasih dan sayang yang tulus dan berbakti kepada ibubapaku kerana Engkaulah Ya Jalil Yang Maha Tulus dan Ya Quddus Yang Maha Suci.
Dengan sedikit Rahman dan RahimMu, JalilMu dan QuddusMu inilah, diriku bersama ibu dan bapaku mampu membentuk peribadi hamba dan khalifah dikalangan ahli keluarga kami dan dengan peribadi inilah kami mampu membina sebuah keluarga bahagia.
Dengan kekuatanMu Ya Aziz Yang Maha Perkasa, Ya Qawwiy Yang Maha Memiliki Kekuatan dan Ya Matin Yang Maha Sempurna Kekuatan dan Maha Teguh, diriku bersama keluargaku menghadapi segala cabaran dan ujian hidup yang sentiasa Engkau, Ya Rahman, Ya Rahim berikan. Kerana dengan menghadapi cabaran dan ujian inilah, kami sekeluarga akan bangkit sebagai satu keluarga yang padu dan kuat bagi membina dan membangunkan generasi hambaMu yang taat dan patuh kepadaMu.
Ya Allah Ya Alim Yang Maha Berilmu, sesungguhnya Engkau telah mencipta diriku sebagai seorang pelajar yang perlu mencari ilmuMu dan NurMu (Cahaya Petunjuk) yang terlalu banyak dan tidak bertepi. Dengan ilmuMu dan NurMu inilah diriku mampu menyuluh jalan yang Engkau telah bentangkan dan mampu berjalan diatasnya dengan bimbingan dan petunjukMu Ya Haddi Yang Maha Memberi Petunjuk. Ilmu yang Engkau Ya Alim anugerahkan kepadaku akan ku gunakan untuk melakukan kebaikan kepada manusia tanpa mengharapkan balasan manusia, tetapi yakin dengan balasan Allah
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Engkau juga telah menciptakanku bagiku berkenalan, berbuat baik serta nasihat menasihati antara kami agar kami semua taat dan patuh kepadaMu Ya Rabbi.
Ya Allah, Ya Malik, Sesungguhnya Engkau adalah Raja yang memiliki diriku ini. Diriku milikmu ya Allah, segala apa yang ada pada diriku ini, kecantikanku, kesihatanku, wangringgitku hatta ibubapaku, adik beradikku dan rakan-rakanku adalah milikMu sepenuhnya. Diriku sedar Engkau akan mengambil semuanya itu daripada diriku pada bila-bila masa, dan diriku tidak seharusnya merasa sedih dan kecewa kerana sesungguhnya ianya bukan milikku, Engkau Ya Maha Pemberi telah memberikannya kepada diriku sebagai amanah dan pinjaman untukku melaksanakan tugas khalifahMu didunia ini dan alat bagiku mengutip redhaMu bagi bekalan untuk akhirat nanti.
Ibu dan ayahku yang ku sayangi, kalian harus sedar, diriku bukanlah milik kalian. Diriku adalah milik Ya Malik dan Ya Kholiq, Yang Maha Memiliki dan Maha Pencipta. Oleh itu diriku tidak mampu untuk menghambakan diri kepadamu ibu dan ayah, kerana diriku hanyalah hamba kepada Tuhan yang menciptakanku dan Tuhan yang telah memberikan seluruh kasih dan sayangNya kepadiriku selama ini.
Ibu dan ayah yang ku sayangi, apa yang diriku lakukan kepadamu hanyalah kerana Dia Ya Rahman dan Ya Rahim dan Ya Wadud. Sesungguhnya ibu dan ayah yang ku kasihi, kasih sayangmu, cintamu, perlindunganmu, pemberianmu dan perhatianmu selama ini kepada diriku adalah sesungguhnya kasih dan sayang Ya Rahman dan Rahim, cinta Ya Wadud, perlindungan dari Ya Hafidz, Keperihatinan dari Ya Muhaimin kepadiriku. Oleh itu diriku harus membalas segala anugerah Allah itu dengan taat dan patuh kepadaNya dengan sepenuh hatiku.
Maafkanku ibu dan ayah yang ku sayangi, diriku tidak mampu mengasihimu melebihi Tuhanku kerana Dia menyayangiku setiap masa, ketika diriku comel dan cantik dan ketika diriku cacat. Ketika ibu dan ayah mungkin tidak menyukaiku, Dia Ya Rahman Ya Rahim tetap menyukaiku dan sentiasa membimbingku. Dia mencintai dan menyayangiku dan sentiasa mengurus diriku ketika ibu dan ayah terlalu sibuk dengan tugas harian dan mungkin akan melupaiku satu ketika nanti, ketika ibu dan ayah sudah tidak merasa diriku penting lagi kerana tidak mampu menjadi pelajar cemerlang yang ibu dan ayah idamkan, tetapi Dia Ya Wadud yang Maha Pencinta tetap mencintaiku dari dunia hingga akhirat walau bagaimana keadaanku sekalipun, walaupun diriku berjaya atau gagal dalam pelajaranku.
Namun ibu dan ayah yang ku sayangi, diriku tetap menyayangimu berdua kerana ibu telah sanggup berkorban untuk mengandung dan melahirkanku dengan bantuan Ar Rahman Yang Maha Pengasih dan Ar Rahim Yang Maha Penyayang serta Ya Aziz Yang Maha Kuat, dan ayah sanggup bersusah payah mencari rezeki dari Ya Razzak Yang Maha Pemberi Rezeki untuk membesarkan dan melindungiku dengan sifat Ya Muhaimin Yang Maha Melindungi selama ini.
Ibu dan ayah yang ku sayangi, sedarlah bahawa diriku hanya diutuskan oleh Allah di dunia ini untuk mengabdikan diri kepadaNya, memuji kebesaranNya dan Mensyukuri nikmatNya yang melimpah ruah. Daku harus membalas cinta kepadaNya dengan berbuat baik kepada ibu dan ayah, tetapi segalanya ku lakukan demi kerana Ya Rahman Ya Rahim.
Oleh itu Ibu dan ayah yang ku sayangi, sesungguhnya kita ini diciptakan oleh Ya Malik dan dipunyai olehNya dan kita akan kembali kepada Ya Mu’id Yang Mengembalikan dan Dia Ya Muhshi Yang Maha Menghitung akan menghitung setiap perbuatan kita didunia ini untuk diberikan balasan di akhirat nanti. Oleh itu ibu dan ayahku, marilah kita bersama-sama berjalan diatas permaidani makrifatullah dengan menyerah diri sepenuhnya kepada Dia Ya Rahman dan Ya Rahim sentiasa menyayangi dan mengasihi kita dan mengikut petunjuk Ya Haadi yang sentiasa memberi petunjuk dan membimbing kita.