~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Wednesday, February 17, 2010

Mewujudkan Kebahagiaan keluarga melalui penghayatan Asmaul Husna (10)


MENIKMATI KETENANGAN HIDUP DENGAN MENYERAHKAN DIRI SEPENUHNYA

KEPADA ALLAH YA BAARI’

Wanita yang dikasihi,

Seringkali kita kaum wanita berada dalam kerunsingan, kebingungan dan keresahan. Banyak punca yang menjadikan demikian. Diantaranya ialah kita cuba untuk melakukan sesuatu di luar kemampuan, di luar batas, di luar keupayaan, di luar pengetahuan, di luar kemahiran kita dan seringkali juga kita ingin melakukan tugas orang lain sekiranya kita melihat ianya tidak dibereskan dan akhirnya kerja dan tugas kita terbengkalai begitu sahaja. sehingga mendatangkan satu masalah antara kita dengan orang lain. Seperti contoh kadangkala kita mengambil tugas suami untuk menyara keluarga sehinggakan kita melakukan secara berlebihan dan mengikut hawa nafsu dan akhirnya tugas kita memberikan layanan mesra kepada anak-anak dan suami terbengkalai sedangkan bebanan mencari nafkah itu adalah tanggungjawab suami. Tetapi sekiranya sekadar membantu di mana yang perlu diharuskan dalam suasana kehidupan sekarang yang mana kita dicengkam dengan masalah ekonomi yang meruncing, tambahan lagi dengan system kapitalisma yang menindas dan menganiaya golongan yang tidak mampu. Keharusan itupun dengan syarat kita kaum wanita mampu menjaga diri daripada perkara kemaksiatan dan dosa yang seringkali mengelilingi dan mempengaruhi kita dalam alam pekerjaan hari ini.

Wanita yang disayangi,

Marilah kita kembali merenungi akan tugas dan tanggungjawab kita yang telah ditentukan oleh Allah Ya Baari’ yang Maha Merancang dan Maha Mengatur. Dialah Tuhan yang sesungguhnya mengatur setiap sesuatu di alam ini. Dia mengatur perjalanan bulan, bintang dan matahari serta bumi mengikut masa dan orbit yang telah ditetapkan. Begitu juga Allah Ya Baari’ juga yang mengatur pergerakan hidup manusia termasuk agenda hidup manusia. Untuk memastikan kita mengikut agenda yang telah dirancang oleh Allah Ya Baari’, hendaklah jiwa kita mampu menyerah diri sepenuhnya kepada agendaNya. Allah Ya Baari’ mengatur agenda hidup manusia penuh dengan kebijaksanaan. AgendaNya kepada manusia diatur agar manusia berjalan di atas orbit Islam, Iman dan Ihsan.

Sekiranya manusia tergelincir daripada orbit ini, pastilah kehancuran akan berlaku dalam kehidupan manusia itu. Itulah sebenarnya yang berlaku kepada masyarakat kita hari ini yang mana kita berhadapan dengan masalah keruntuhan akhlaq yang membawa kepada jenayah dan masalah Negara. Ini kerana masyarakat sudah keluar daripada orbit atau landasan Islam, Iman dan Ihsan yang telah ditetapkan oleh Allah Ya Baari’ yang mana manusia berjalan mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan yang sentiasa ingin membawa manusia bersama-samanya ke neraka Allah.

Berikut adalah beberapa tips untuk menyerah diri kepada Allah Ya Baari’ dalam mengatur agenda hidup:

1) Setiap pagi selepas solat subuh, bacalah bicara hati berikut yang ditujukan kepada Allah dengan sepenuh hati dan penuh kesedaran:

“ Ya Allah Ya Baari’, Sesungguhnya Engkaulah Allah Yang Maha Mengatur Agenda Hidup manusia, daku ini hanyalah seorang hamba kepada Mu yang menyedari akan kelemahan diri dan ketidakupayaan diriku ini. Ya Allah Ya Baari’, daku ingin menyerahkan seluruh jiwa dan ragaku kepadaMu untuk Kau aturkan dan agendakan dengan agendaMu. Daku sedar tidak wajar seorang yang bergelar hamba mempunyai agendanya yang tersendiri dan daku sedar Kau telahpun menetapkan agenda hidupku namum selama ini daku tidak menyedarinya sehinggalah daku mengatur agenda hidupku sendiri. Daku juga menyedari sekiranya Engkau yang mengatur agenda, sudah tentulah ianya penuh dengan kebaikan, kebajikan dan ketaatan. Namun sekiranya Engkau membiarkan daku mengatur agenda hidup ku sendiri, tentulah daku akan mengikut hawa nafsu dan kepentingan diri. Oleh itu daku rela dan redha mengikut agendaMu Ya Allah Ya Baari’.”

2) Setelah dibaca doa di atas, Allah Ya Baari pasti akan memberikan idea kepada kita dalam bentuk ilham di dalam hati kita untuk kita atur hidup seharian kita. Maka mulakan pagi hari dengan membuat senarai semak (checklist) perkara yang perlu dilakukan setiap hari. Sudah pasti dengan bimbingan Allah, kita akan dibimbingNya untuk melakukan agenda yang sewajarnya kita lakukan bersesuaian dengan tujuan Allah menciptakan kita.

3) Setelah itu, jalanilah hidup seharian dengan penuh ketenangan dengan mengikut senarai tugas harian yang telah ditetapkan di awal pagi dan sekiranya berlaku perubahan yang tidak dirancang dan disangka-sangka, itulah perubahan agenda yang ditentukan oleh Allah Ya Baari’. Renungilah dan mohon petunjuk Allah Ya Haadi Yang Maha Memberi Petunjuk dan teruslah melakukan perubahan-perubahan itu sekiranya ianya perkara yang baik yang menepati syariat dan jauhkan dan elakkan sekiranya ianya perkara jahat yang dilarang oleh syariat kerana itu ujian Allah kepada kita. Dalam kita melakukan perubahan kepada senarai tugasan yang telah ditetapkan di awal pagi, hati hendaklah sentiasa redha dan rela melakukannya kerana itulah agenda Allah Ya Baari’ yang mana kita telahpun bersetuju dari awal lagi untuk menyerahkan kepadaNya agenda hidup seharian kita. Oleh itu sentiasalah merenungi dan melihat dengan mata hati akan agenda Allah Ya Baari’ agar kita akur dan taat kepada agendaNya.

4) Setelah selesai hidup seharian mengikut agenda Allah Ya Baari, bersyukurlah kepadaNya atas peluang yang diberikan kepada kita untuk mengikut agendaNya kerana ianya pasti disusuli dengan ganjaran yang setimpal.

Walaubagaimanapun wanita sekalian, penuhilah dirimu dengan ilmu Islam, penuhi dadamu dengan iman dan rasakan kehadiran Allah sentiasa disisimu mengatur hidupmu, melihatmu, mengawasimu dan mencatit setiap amalmu agar kita mampu berjalan di atas orbit Islam, Iman dan Ihsan dalam penyerahan diri kepada Allah Ya Baari’.