~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Tuesday, February 24, 2009

Modul Pembinaan Insan (3)

Prinsip Penghambaan – Beriman Kepada Allah

Beriman kepada Allah akan melahirkan modal insan yang sedar akan dirinya sebagai hamba kepada Allah Ya Kholiq yang menciptakannya. Hidupnya diserahkan sepenuhnya kepada Allah. Matlamat hidupnya adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah, melakukan setiap perkara kerana Allah, bukan kerana inginkan harta, jawatan, gelaran dan kemahsyuran. Apabila seseorang pekerja bekerja kerana taat kepada Allah dan cinta kepada Allah Ya Wadud, maka ia akan bekerja bersungguh-sungguh kerana yakin Allah Ya Muhsyi akan menghitung setiap kebaikannya dan akan diberi ganjaran syurga yang tiada tolok bandingnya dengan nikmat dunia. Dia tidak akan menunggu-nunggu untuk diarah atau mencuri tulang atau memberi pelbagai alasan kerana tumpuannya kepada yang Maha Esa semata-mata. Pekerjaannya adalah sebagai alat baginya untuk mengabdikan diri kepada Allah dan menjalankan tugas khalifah Allah di bumi ini.

Prinsip Keikhlasan – Beriman Kepada Malaikat

Beriman kepada Malaikat akan melahirkan modal insan yang berprinsipkan kepada keikhlasan. Dia sedar dirinya dicatit oleh Malaikat Roqib dan Atiq yang sentiasa merakam setiap perbuatannya setiap saat tanpa tertinggal. Rakaman Allah bukan hanya perbuatan fizikal, tetapi ianya mampu merakam apa yang ada dihati. Dengan merasa kehebatan Allah ini, maka seseorang akan berusaha untuk menjaga setiap perbuatannya mengikut landasan yang ditetapkan oleh Allah.


Prinsip Kepimpinan – Beriman Kepada Rasul


Beriman kepada Rasul akan melahirkan modal insan yang berprinsipkan kepimpinan melalui contoh Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. merupakan seorang pemimpin yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang unggul iaitu kemampuan menjalinkan hubungan, kemampuan mempamirkan integriti, kemampuan membantu, kemampuan melahirkan pelapis dan kemampuan membangunkan polisi, sistem dan prosidur dan meninggalkan legasi atau warisan yang baik, mampu melaksanakan pengurusan secara kolektif dan mampu mewujudkan ketaatan dikalangan pekerja. Prinsip kepimpinan yang berasaskan contoh kepimpinan Rasulullah s.a.w. akan melahirkan seorang pemimpin yang unggul dan dapat membuat perubahan dan menggerakkan organisasi bagi mencapai visi dan misi organisasi.


Prinsip Pembelajaran – Beriman Kepada Kitab


Beriman kepada Kitab akan melahirkan modal insan yang berprinsipkan pembelajaran. Dia akan menjadi seorang yang sentiasa mengejar ilmu kerana dia sedar ilmulah yang akan menjadikan seseorang itu cemerlang dunia dan akhirat. Kitab-kitab Allah merupakan panduan hidup daripada Ya Kholiq Yang Maha Mencipta, yang mencipta manusia, dan Dia Maha Mengetahui apa yang diperlukan sebagai panduan hidup bagi manusia untuk selamat dan sejahtera di dunia dan akhirat. Oleh itu apa sahaja yang dilakukan oleh setiap pekerja yang berprinsipkan pembelajaran berasaskan Beriman kepada Kitab Allah akan menjadikan Al-Quran sebagai rujukan utama sebagai asas cara bekerja.


Prinsip Wawasan – Beriman Kepada Akhirat


Prinsip wawasan melalui rukun iman kelima iaitu beriman kepada hari akhirat yang akan melahirkan manusia yang sentiasa menghitung setiap perbuatan bagi memastikan ianya mendapat ganjaran jangkapanjang yang berbentuk pahala sebagai tiket untuk kesyurga yang penuh dengan kenikmatan yang abadi.


Prinsip Keredhaan – Beriman Kepada Qada’ dan Qadar


Prinsip keredhaan melalui rukun iman keenam yang akan melahirkan manusia yang redha dengan segala ketetapan Allah, syukur atas setiap kebaikan dan redha atas setiap kesulitan dan dugaan. Akan melahirkan insan yang mengenal diri sendiri, rendah diri sesama manusia apalah lagi sesama ahli organisasi dan hanya taat dan takut kepada yang Maha Pencipta dan Berkuasa.

No comments: