BERGURU DENGAN ALLAH YA ALIM, YA HAKIM DAN YA RASHID MAMPU MENCIPTA KEAJAIBAN
Wanita yang disayangi,
Menjalani hidup di atas dunia ini memerlukan kepada ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan kepintaran. Sekiranya hidup dalam keadaan jahil, tentulah kita akan melalui jalan yang sesat dan salah dan sekiranya melakukan sesuatu tanpa ilmu dan kebijaksanaan, jadilah hasil kerja itu tidak sepertimana yang dikehendaki dan selalunya rosak dan mendatangkan masalah, begitu juga dalam kita melakukan ibadah kepada Allah, tanpa ilmu tentang ibadah itu sendiri dan bagaimana Rasulullah melakukannya, tentulah kita akan tersalah dan seringkali memasuki dalam perkara bidaah yang dilarang Allah. Begitu juga dalam membuat perubahan dan mentadbir dunia ini, manusia sudah dibekalkan dengan aqal yang mampu meresapi ilmu dan kebijaksanaan Allah yang dialirNya setiap saat dan ketika, Cuma manusia tidak menyedari dan tidak menyediakan diri untuk dialirkan ilmu Allah Ya Alim dan kebijaksanaan Allah Ya Hakim.
Sesungguhnya manusia yang merasa diri sudah cukup, tidak mampu menambah ilmu lagi dan dia tidak mampu untuk merendah diri belajar dari orang lain. Hanya orang yang mampu merendah diri dengan Allah Ya Alim, Ya Hakim dan Ya Rashid dengan mengakui akan kejahilan diri serta rela dan redha untuk dialirkan ilmu Allah Ya Alim, Kebijaksanaan Allah Ya Hakim dan Kepintaran Allah Ya Rashid akan dialirkan ilmu dan kebijaksanaan Nya. Allah mengajar kita dalam FirmanNya:
Ayat di atas menunjukkan manusia tidak mengetahui apa-apapun selain daripada apa yang diajar oleh Allah ya Alim ya Hakim dan dengan ayat ini Allah mengajar kita untuk merendah diri, menginsafi diri dan mengakui bahawa diri manusia ini sesungguhnya amat jahil dan tidak mengetahui tanpa ilmu yang dialirkan Allah.
Seringkali kita begitu susah untuk menghadiri majlis-majlis ilmu terutama ilmu agama yang mampu menunjuk jalan yang benar kepada kita. Kesibukan dunia seringkali menyebabkan kita tidak mampu menjadikan pencarian ilmu sebagai agenda hidup kita kerana ada yang lebih utama yang dikejar iaitu dunia, jawatan dan wang ringgit.
Tidak dinafikan jiwa yang dalam sering meronta inginkan ilmu dan kebijaksanaan Allah, tetapi hafsu tidak menyukainya kerana sifat nafsu itu sukakan kesenangan, keselesaan dan kemalasan. Kita seringkali kalah dengan hawa nafsu dan bisikan syaitan kerana hati belum benar-benar suci dan tulus kepada Allah. Oleh itu wanita yang dikasihi, untuk menjadikan jiwa cintakan ilmu, hendaklah jiwa ini dibersihkan oleh Allah Ya Affuw, Ya Ghaffar, Ya Tawwab, Ya Quddus dan Ya Jalil. Amalkan bicara dengan Allah seperti berikut:
“Ya Allah Ya Affuw Yang Maha Pemaaf, Ya Ghaffar Yang Maha Pengampun, Ya Tawwab Yang Maha Menerima Taubat, daku ini hambaMu yang banyak melakukan dosa dan kesalahan kepadaMu, kini mengakui dan menginsafi kesalahan dan kehinaan serta kekotoran diri dan dengan sifat Maha PengampunMu Ya Allah, daku kini menadah tangan memohon, merayu dan merintih kepadaMu akan keampunanMu dari segala dosa dan kemaksiatan yang daku lakukan selama ini.
Sekiranya Engkau tidak memaafkan dan mengampuni daku, tentulah daku ini termasuk hambaMu yang rugi di dunia dan akhirat. Daku juga ingin memohon kepadaMu Allah Ya Quddus Yang Maha Suci dan Ya Jalil Yang Maha Jernih agar kekotoran jiwa ini disuci dan dibersihkan, dan seterusnya Allah Ya Nuur, pancarkanlah cahayaMu dan alirkan kelembutanMu Ya Latif kepada jiwa ini agar ia mampu melihat dan menerima petunjukMu, bimbinganMu dan ilmuMu.”
Wanita yang dikasihi,
Marilah kita merenungi beberapa tips dalam kita belajar dengan Allah Ya Alim Yang Maha Berilmu dan Ya Hakim Yang Maha Bijaksana:
1) Sebutlah nama Allah Ya Alim, Ya Hakim dan Ya Rashid sebanyak-banyaknya sambil berbicara dengan Allah:
“Ya Allah Ya Alim Yang Maha Berilmu, Ya Hakim Yang Maha Bijaksana dan Ya Rashid Yang Maha Pintar, seluruh ilmu, kebijaksanaan dan kepintaran yang ada pada makhluqMu seluruhnya adalah sesungguhnya ilmu, kebijaksanaan dan kepintaranMu.
Daku ini hambaMu yang jahil dan tidak mengetahui kecuali sedikit yang Engkau ajarkan kepadaku. Daku ingin memohon kepadaMu akan ilmuMu Ya Alim, KebijaksanaanMu Ya Hakim dan KepintaranMu Ya Rashid kerana semuanya itu milikMu, agar dengan ilmu, kebijaksanaan dan kepintaranMu, daku mampu mengenaliMu dengan lebih dekat dan merasa kagum denganMu dan dengan itu mampu untuk menyembahMu dengan sebenar-benar merasa kerendahan diri.
Daku juga perlukan ilmu dan kebijaksanaanMu Ya Allah Ya Alim Ya Hakim untuk melaksanakan amanah khalifah yang Engkau berikan kepada diriku bagi mentadbir alam ini mengikut kehendakMu.”
2) Mohonlah berulang-ulang dengan diiringi solat dan sabar. Sesungguhnya Allah akan mengajarkan ilmuNya dengan pelbagai cara. Diantaranya dibukakan jalan kemudahan bagi kita untuk pergi ke majlis-majlis ilmu, dianugerahkan kitab dan buku-buku yang mengandungi ilmu yang diperlukan, dihantar seseorang yang mempunyai ilmu tersebut kepada kita dengan tidak disangka-sangka. Dan seringkali juga Allah mengilhamkan ilmu tersebut kepada seseorang hamba yang dipilihNya.
3) Kemudian, belajarlah bersungguh-sungguh ilmu tersebut dan fikirkan bersungguh-sungguh berbekalkan kebijaksanaan dan kepintaran Allah sehingga faham, mampu beramal dan mampu menyebarkan kepada orang lain.
4) Setelah mendapat ilmu yang ingin dipelajari, lakukanlah khidmat kepada masyarakat bagi membantu golongan yang memerlukan dengan mengajar mereka ilmu tersebut. Ingatlah sentiasa bahawa ilmu itu bukan ilmu kita tetapi ilmu Allah Ya Alim Ya Hakim, kita ini hanyalah khalifahNya dalam menyebarkan ilmu tersebut kepada hamba-hamba pilihanNya.
5) Amalkan tips di atas untuk mendapatkan ilmu tentang bagaimana menjadi isteri solehah, ibu mithali, anak yang bertanggungjawab, jiran yang baik dan prihatin, ahli masyarakat yang prihatin dan seterusnya bagaimana untuk memainkan peranan menyebarkan islam kepada masyarakat bagi meneruskan tugas Ar-Rasul s.a.w.
Wanita yang dihormati,
Sesungguhnya bergantung kepada Allah Ya Alim, Ya Hakim dan ya Rashid merupakan penyelesaian kepada masalah kejahilan, ketidaktahuan dan kebuntuan. Allah pasti akan mengalirkan ilmu dan kebijaksaanNya bagi sesiapa yang memohon kepadaNya dan yaqin bahawa Dia Memiliki apa sahaja ilmu yang diperlukan di dunia ini dan mampu memberikan kepada sesiapa sahaja. Dan akhirnya bersyukurlah kepada Allah kerana dengan ilmuNya itu kita semakin hampir denganNya dan mampu berjalan di atas jalan yang lurus yang dikehendaki oleh Allah.
No comments:
Post a Comment