MENCARI KETENANGAN JIWA DENGAN BERTEMANKAN ALLAH YA SAMI’ DAN YA SALAM
Wanita yang disayangi,
Kehidupan yang sementara ini sering menipu daya kita. Seringkali kita ditipu dengan cinta manusia yang palsu dan sementara. Seringkali juga kita tertipu dengan harta benda yang kita rasakan boleh membahagiakan kita tetapi sebaliknya banyak membawa bencana. Kita juga sering ditipu dengan janji-janji palsu rakan-rakan yang hanya menjadi kawan ketika kita senang, tetapi ketika susah, kita ditinggalkan keseorangan, tiada kawan ingin menemani. Begitu juga hari ini institusi keluarga semakin parah, suami yang dulunya setia, kini sudah tidak lagi, sudah mula curang bila berjumpa wanita lebih cantik, lebih muda dan lebih menarik. Anak-anak pula mulanya sangat menyayangi ibu dan bapa, tetapi apabila mendapat kemewahan hidup, sudah lupa orang tua, terlalu sibuk untuk menjengok dan bertanya khabar. Demikianlah scenario biasa kehidupan manusia yang bergantung dengan manusia. Sesungguhnya Allah sentiasa mengingatkan bahawa kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan senda gurau, sedangkan kehidupan akhiratlah yang lebih kekal abadi.
Wanita yang dihormati,
Sesungguhnya begitulah sikap manusia yang terhijab dengan pandangan dan pengawasan Allah Ya Bashir Yang Maha Melihat dan Ya Roqib Yang Maha Mengawasi dan seterusnya lari dari fitrah Allah yang telah diciptakan manusia dengannya. Sesungguhnya Allah itu sangat pengasih lagi penyayang kerana Dia Ya Rahman Ya Rahim Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Allah itu sangat mencintai kerana Dia Ya Waddud Yang Maha Mencintai, Dia Ya Syakur Yang Maha Mensyukuri dan menghargai, Dia Ya Quddus Ya Jalil, Yang Maha Suci dan Jernih. Oleh itu cinta Ya Waddud sangat suci dan bersih, berkekalan dan berpanjangan daripada kita muda hinggalah kita tua, semasa kita sihat dan semasa sakit, semasa kita kaya ataupun ketika kita miskin, Dia mencintai kita di dunia sehinggalah ke akhirat. Itulah tulus dan sucinya cinta Allah Ya Waddud berbanding dengan cinta manusia. Begitu juga Allah Ya Rahman Ya Rahim sangat pengasih lagi penyayang, mudah memaafkan, tidak mengungkit-ngungkit kesilapan yang lepas, sentiasa menolong walaupun hambaNya seringkali melupakanNya, lalai kepadaNya dan tidak menyembahNya, Dia telah mencurahkan kasihsayangNya, rezekiNya, terus melindungi dan memelihara daripada bencana dan penyakit. Allah Ya Syakur sangat menhargai setiap apa yang hambaNya lakukan, dihitungNya dan dibalas setiap kebaikan walaupun sebesar biji zarah sekalipun. Oleh itu wanita sekalian, setelah kita mengenali siapa Allah dan siapa manusia, bagaimana sikap Allah dan sikap manusia, tentulah kita akan ingin mencari cinta Allah Ya Waddud, m endekati Allah Ya Rahman Ya Rahim, dan tentulah jiwa akan tenang apabila kita menyedari Allah Ya Syakur menghargai kita, walaupun manusia sekeliling kita tidak menghargai kita, apatah lagi seringkali berburuk sangka pada kita, mencemuh dan menfitnah kita, tetapi Allah Maha Mengetahui apa yang kita lakukan, Dia yang mengetahui siapakah yang benar-benar ikhlas melakukan kebaikan dan siapakah yang berpura-pura.
Wanita yang dihormati,
Marilah kita bertemankan Allah Ya Sami’ Yang Maha Mendengar kerana Dia sentiasa sudi mendengar setiap keluhan kita, setiap bicara kita, setiap rayuan dan permohonan kita. Dia Ya Sami’ bukan hanya mendengar, tetapi akan terus membantu dan mengabulkan permintaan kita. Ketika suami meninggalkan kita dan tidak mencintai kita lagi, Allahlah teman kita mengadu, berlindung dan mencari cintaNya, berbicaralah dengan Allah Ya Sami’, ceritalah segala-galanya kepada Allah dan mohonlah apa sahaja dariNya, janganlah kita sering berbicara dengan manusia kerana sesungguhnya manusia tidak mampu menolong apa pun kerana mereka juga seorang hamba dan apa yang ada pada mereka juga pinjaman daripada Allah Ya Malik Yang Maha Memiliki setiap apa yang ada di antara langit dan bumi ini. Berbicaralah dengannya seberapa lama yang kau inginkan kerana Dia Ya Sami’ tidak pernah jemu mendengar bicara kita, tidak seperti manusia yang seringkali susah untuk duduk mendengar masalah kita dan mudah jemu serta bosan. Dengan Ya Sami’ juga mintalah apa saja seberapa banyak yang kita kehendaki, berulang-ulang kali dan terus meminta satu persatu tak pernah habis permintaan dan masalah yang ingin bantuanNya. Sesungguhnya Dia akan tetap mendengar, tak pernah jemu dan berpaling daripada kita. InsyaAllah dengan berbicara kepada Allah Ya Sami’, jiwa akan menjadi tenang kerana semuanya sudah diluahkan kepada Yang Maha Mendengar dan Maha Menolong serta Maha Menghargai lagi Maha Memahami.
Wanita yang disayangi,
Dalam menghadapi masalah dengan manusia lain terutama dalam hubungan cinta sebagai suami isteri, hubungan kasih sayang ibubapa dan anak-anak dan hubungan persahabatan antara sahabat dan kawan-kawan, kita memerlukan Allah Ya Salam untuk mendapatkan ketenangan, kerana seringkali hubungan kita mencapai jalan buntu dan bermasalah sehingga fikiran menjadi kusut, jiwa resah dan tidak tenteram. Dengan bertemankan Allah Ya Salam Yang Maha Menenangkan, Dia akan mengalirkan rasa tenang ke dalam jiwa kita sehingga setiap masalah itu akan mendapat jalan keluar dengan bantuan Allah Ya Fatah Yang Maha Membuka Jalan. Hanya dengan jiwa dan fikiran yang tenang sahaja, kita mampu memikirkan jalan-jalan penyelesaian kepada setiap masalah hidup. Ketenangan juga akan memberikan kekuatan yang luar biasa yang sangat perlu dalam kita mengharungi kehidupan ini. Oleh itu sentiasa dekatkan diri dengan Allah Ya Salam agar diberi ketenangan yang berterusan dan seterusnya menyelesaikan masalah kita.
Beberapa tips mendekatkan diri dengan Allah Ya Sami’ dan Ya Salam:
1) Banyakkan menyebut nama Allah Ya Sami’ Yang Maha Mendengar dan Ya salam Yang Maha Menenangkan.
2) Berbicaralah apa sahaja masalah dengan Allah Ya Sami’ terutama diwaktu malam ketika suasana sunyi agar kita dapat kusyuk dan fokus.
3) Iringi bicara dengan solat tahajud, solat hajat dan solat taubat dengan doa-doa yang diajar Rasulullah s.a.w.
4) Renungi setiap perubahan dan pertolongan yang Allah berikan yang akan membawa kepada penyelesaian masalah hidup dan akhirnya memberi ketenangan jiwa.
5) Sekiranya diilhamkan untuk melakukan sesuatu kebaikan dan kebajikan, terus lakukan, jangan ditangguh lagi. InsyaAllah selepas pekerjaan anda, anda akan mendapat ketenangan yang diidamkan.
6) Seringkali juga ilham itu diberikan dalam bentuk hakikat sebenar kejadian atau ilmu tentang kenapa berlaku sesuatu ketentuan Allah kepada kita yang sesungguhnya memberikan kebaikan kepada kita, tetapi disebabkan ianya bertentangan dengan kehendak kita, maka kita tidak mampu menerimanya dengan redha.
7) Redha dan bersyukurlah kepada Allah atas setiap pertolonganNya dan ketenangan yang dikurniakanNya.
Wanita yang dihormati,
Hanya dengan mendekatkan diri dengan Allah Ya Sami’ Ya salam, jiwa mampu mendapatkan ketenangan yang hakiki. Janganlah mencari ketenangan sementara dengan melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah, atau perkara yang boleh memudaratkan diri kita dan orang lain. Semua itu tidak mampu membawa ketenangan, malah akan lebih menambah rumit masalah dan bertambah masalah lain pula. Oleh itu kekuatan jiwa dan kesabaran juga perlu dipohon daripada Allah Ya Qowiy Yang maha Kuat dan Ya Sobur Yang Maha Sabar.
No comments:
Post a Comment