BERILAH KEMAAFAN KERANA IANYA MEMBAHAGIAKAN JIWA
Wanita yang disayangi,
Manusia ini sering melakukan kesilapan dan kesalahan dalam apa sahaja yang dilakukannya. Itu sifat ketidaksempurnaan manusia berbanding dengan Allah Ya Quddus Yang maha Suci lagi Maha Sempurna. Kelemahan dan kejahilan serta kehinaan manusia ini menuntut manusia untuk sentiasa menadah tangan kepada Allah Ya Affuw, Ya Ghaffur dan Ya Tawwab iaitu Allah Ya Maha Pemaaf, Maha Pengampun dan Maha Menerima Taubat.
Memohon keampunan dari Allah sangat penting kerana jiwa yang kembali kepada Allah dengan hati yang kotor sudah pasti tidak akan mendapat redhaNya dan tempat kembalinya adalah tempat kembali yang sangat buruk iaitu api neraka Allah yang menyala-nyala. Marilah sama-sama kita membersihkan jiwa daripada kekotoran dosa atas kesalahan-kesalahan yang kita lakukan agar kita mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Marilah kita berbicara dengan Allah sambil memohon belas kasih dan keampunanNya.
“Ya Allah Ya Affuw, Ya Ghaffur dan Ya Tawwab, Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pemaaf, Pengampun dan Penerima Taubat dan Engkau mengampuni dosa hamba2Mu seluas buih di lautan dan setinggi gunung. HambaMu ini sering melakukan dosa kepadaMu Ya Allah dan ingin memohon, merintih dan merayu kepadaMu akan kemaafanMu, keampunanMu dan terimalah taubatku. Daku sesungguhnya bertaubat dengan bersungguh-sungguh daripada setiap dosa dan kemaksiatan.”
Wanit a yang dikasihi,
Kemaafan bukan hanya perlu diminta daripada Allah, tetapi juga sesama manusia. Kita seringkali juga melakukan kesilapan kepada manusia lain samada kita sedar atau tidak. Kadang-kadang ketelanjuran lidah kita menyakitkan hati manusia lain dan kadang-kadang tingkah laku dan perbuatan kita menyebabkan manusia lain tersinggung. Oleh itu hendaklah kita memohon maaf dan dalam masa yang sama menyedari dan menerima hakikat manusia tidak sempurna dan sering melakukan kesalahan, maka maafkanlah kesalahan manusia lain terhadap kita. Selain memaafkan orang lain, haruslah kita berdoa agar Allah memberikan hidayah kepada seseorang yang telah melakukan kesalahan agar mereka menyedari akan kesalahan yang mereka lakukan.
Wanita yang dihormati,
Berikut adalah beberapa tips bagaimana menjadi seorang yang pemaaf dan bersih hati:
1) Bacalah sebanyak-banyaknya nama Allah Ya Affuw Yang Maha Pemaaf, sambil berdoa kepada Allah:
“Ya Allah Ya Affuw, Engkaulah Tuhan Yang Maha Pemaaf, Engkau begitu mudah memaafkan hamba2Mu walau apa pun kesalahan yang dilakukan. Daku ini hambaMu yang lemah sering kalah dengan bisikan hawa nafsu dan syaitan dan seringkali berat untuk memaafkan sesama kami walaupun kesalahan itu kadang kalanya terlalu sedikit. Oleh itu Ya Allah Ya Affuw, alirkanlah sifat Al-Affuw Mu kepadaku agar daku mampu memaafkan orang lain dengan mudah dan jadikanlah daku ini seorang yang pemaaf sepertimana Engkau mengurniakan sifat ini kepada RasulMu s.a.w.”
2) Sekiranya sahabat kita itu datang memohon maaf, maka teruslah maafkan dia kerana Allah mengabulkan permohonan kita. Sekiranya dia tidak datang, maafkanlah sahaja demi kerana Allah dan buangkan lah jauh-jauh perkara-perkara yang dilakukan terhadap kita agar ingatan dan dendam dapat dihancurkan.
3) Seterusnya jalinkan hubungan yang baik sekiranya berjumpa dengan bersalam dan bertanya khabar. Jangan diungkit dan diingat lagi segala kesalahan dia terhadap kita sebelum ini. Untuk memudahkan lagi kita melakukan ini, gunakan tips bicara hati dibawah:
“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, alirkan kasih sayangMu Ya Allah kedalam hati ku dan hati sahabatku ini agar kami mampu berkasih sayang sesama kami.”
4) Setelah itu apa sahaja yang didetikkan Allah, lakukanlah dengan penuh redha dan rela hati demi menjalinkan hubungan kasih sayang sesama kita.
InsyaAllah , dengan bergantung kepada Allah melalui sifat-sifat Asmaul HusnaNya, kita dapat berkasih sayang sesama kita, bermaafan dan menolong antara satu sama lain. Sesungguhnya itulah akhlaq Allah yang perlu kita contohi agar hidup kita bahagia dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment