~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Tuesday, February 9, 2010

Mewujudkan Kebahagiaan keluarga melalui penghayatan Asmaul Husna (8)


KEKUATAN JIWA MAMPU MEREMPUH SETIAP RINTANGAN HIDUP DAN BADAI RUMAHTANGGA

Wanita yang dikasihi,

Sesungguhnya kehidupan ini adalah pentas ujian. Oleh itu tiada siapa yang mampu mengelakkan diri daripada ujian, ianya pasti datang satu persatu. Lulus atau gagalnya kita bergantung kepada kekuatan jiwa dalam menghadapi setiap ujian. Ummat Islam hari ini sering dikaitkan dengan kelemahan, kedhaifan, kekurangan dan kemiskinan. Sesungguhnya bukanlah Islam itu yang lemah, dhaif dan kurang, tapi kitalah ummatnya yang diselubungi dan dibelenggu dengan kelemahan dan kedhaifan jiwa. Kelemahan jiwa akan menyebabkan seseorang tidak mampu berusaha, sentiasa bersikap dan berfikiran negative terhadap diri sendiri. Orang yang lemah jiwa seringkali tidak mampu meneroka potensi diri yang dikurniai Allah dan sering mudah putus asa apabila gagal dalam menghadapi ujian-ujian kehidupan dan tidak mahu terus bangkit dan berusaha ketika gagal.

Untuk mengatasi kelemahan jiwa ini, berikut adalah beberapa tips.:

1) Ingatlah bahawa ujian itu datang daripada Allah Ya Muqtadir Yang Maha Menentukan sesuatu takdir dan Ya Baari’ Yang Maha Mengatur Agenda.

Dia berhak membuat ketentuan-ketentuan buat hambaNya, Begitu juga Dia berhak mengatur agenda hidup hambaNya. Takdir dan agendaNya kadangkala kita sukai dan kadangkala tidak kita sukai. Tetapi ingatlah semua ketentuan dan agenda Allah buat hambaNya yang dipilih dikalangan orang-orang beriman sudah pasti untuk kebaikan hambaNya. Cuma kita seringkali tidak mampu melihat dengan mata hari akan kebaikan dan kasihsayang Allah itu. Sebagaimana ujian itu datangnya dari Allah, maka yang mampu membantu kita untuk melepasi ujian tersebut hanyalah Allah. Dia Ya Basith Yang Maha Melapangkan mampu melapangkan ketika kita disempitkan oleh Allah Ya Qobidh Yang Maha Menyempitkan. Dia Ya Rafi’ Yang Maha Meninggikan mampu meninggikan kita ketika kita direndahkan oleh Allah Ya Khofidh Yang Maha Merendahkan. Dia Ya Muiz Yang Maha Memberi Kemuliaan mampu memuliakan kita ketika kita dihina oleh Allah Ya Muzil. Dia Ya Fatah Yang Maha Membuka jalan mampu membuka jalan ketika sudah tiada jalan keluar lagi dan kita sudah buntu dengan masalah kita.

2) Ingatlah bahawa ujian itu adalah sementara. Hadapilah ia dengan kuat, sabar dan tabah. Sudah pasti kekuatan, kesabaran dan ketabahan Allah Ya Qowiy Yang Maha Kuat, Ya Sobur Yang Maha Sabar akan menjadikan kita mampu menghadapi apa sahaja yang mendatang di dalam hidup ini.

3) Ingatlah ujian itu tanda kasihsayang Allah untuk kita agar kita sentiasa ingat kepadaNya dan bertaqwa kepadaNya. Ketika manusia diuji oleh Allah, sudah tentulah Dia ingin agar hambaNya menadah tangan memohon kepadaNya akan bantuanNya dan jalan keluar dari segala masalah.

4) Ingatlah kegagalan adalah langkah yang perlu dilalui untuk sebuah kejayaan.

Seringkali kita melakukan kesilapan ketika kita tidak mengambil pengajaran daripada orang-orang terdahulu yang pernah melakukan kesilapan sebelum kita. Dengan kesilapan itu, maka Allah menguji kita sebagai pelajaran buat kita dengan tujuan untuk kita memperbaiki kehidupan kita masa akan datang serta tidak mengulangi lagi kesilapan-kesilapan tersebut.

5) Ingatlah untuk menjadi wanita bernilai ibarat berlian, perlu diuji dengan tekanan yang hebat.

Proses melahirkan insane cemerlang dunia akhirat memerlukan kepada tekanan dan ujian yang hebat. Tanpa tekanan dan ujian, sudah tentu potensi diri seseorang tidak dapat dikeluarkan dan dizahirkan. Oleh itu terimalah tekanan dengan redha dan sabar kerana tekanan dan ujian sangat penting bagi manusia agar manusia melonjakkan potensi dirinya yang telah pun diciptakan Allah semasa penciptaan roh manusia. Namun fitrah ini sering tenggelam dan tersembunyi, tidak mampu dizahirkan kerana pemikiran-pemikiran negatif yang terpahat dipemikiran manusia. Oleh itu, marilah kita bersihkan kekotoran yang terdapat dalam jiwa agar potensi diri yang dikurniai Allah ini mampu diserlahkan dan mampu member manafaat kepada manusia lain.

No comments: