~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Sunday, October 10, 2010

Bicara Hati Pencari Kebenaran

ALLAH, ALLAHU RABBI, HUA RAHMAN HUA RAHIM, Sesungguhnya Engkau Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, dalam daku mengharungi jambatan kehidupan ini, sesekali timbul dalam jiwaku ini satu persoalan samada daku ini berjalan diatas jalanMu yang lurus atau melalui jalan lain tanpa ku sedari. Adakah daku ini sedang ditipudaya oleh syaitan durjana? Adakah daku ini terlalai dan terhijab? Ku renung ke dalam jiwaku, lebih dalam, lebih dalam lagi mencari satu jawapan yang jelas dan nyata. Kadang-kadang ku rasakan Engkau berada di hadapanku tanpa sebarang hijab, dan dalam masa yang lain pula, kadang-kadang daku tidak menyedari langsung akan kewujudanMu disisiku, sibuk dengan kesibukan makhluq dan dunia. Apakah semua ini tabiat jalan menujuMu atau daku sedang berjalan diatas jalan yang lain yang tidak akan sampai kepadaMu? Daku sedar Ya Allah, daku ini bukanlah maksum seperti nabi dan rasulMu yang sentiasa dipelihara olehMu setiap saat kehidupan mereka. Daku sedar Ya Allah, daku harus berjuang dan bermujahadah dalam mencari cinta dan kasihMu. Setiap kali daku tersungkur jatuh, gagal dan kalah dengan hawa nafsuku, setiap kali diri ini mencariMu, merintih keampunanMu Ya Affuw, Ya Ghaffar Ya Tawwab, merintih kekuatanMu Ya Aziz, Ya Qowiy, Ya Matin dan merintih petunjukMu Ya Haadi Ya Nuur. Dan setiap kali itulah daku akan mendapati Engkau hadir dekat denganku, sangat dekat dan tersangat dekat sehingga dapat kurasakan aliran kasih dan cinta suciMu Ya Rahman Ya Rahim Ya Waddud. Adakah untuk meraih kasih dan cintaMu daku harus melalui itu semua Allah? Daku tidak sanggup untuk melupakanMu walau sesaat pun, tidak sanggup untuk berpaling dari mengadap wajahMu walau sesaatpun dan tidak sanggup untuk bangun dari sujudku kepadaMu walau sesaatpun. Namun, inilah kehidupan yang Engkau bentangkan kepadaku, kehidupan yang penuh perjuangan, pengorbanan dan pertarungan. Seringkali ku rasakan Engkau sedang memerhati daku sedang bergelut dalam perjalanan ini, dan Engkau melihatku tersungkur, rebah, goyang, goncang dan kadang-kadang hampir pengsan dalam pergelutan ini. Dan ketika itu juga, terus dapat kurasakan Engkau menghulurkan tanganMu dengan penuh belas kasihan dan cinta suci menarikku kembali ke atas landasanMu. Subhanallah, Walhamdulillah Walaa Ilahaillallah, itulah saja ungkapan yang mampu ku ungkapkan tanda syukur dan penghargaan atas pertolonganMu Ya Allah.



Ya Allah YA Haadi, Yang Maha Memberi Hidayah, Petunjuk dan Bimbingan, setiap hari Engkau hidangkan kepadaku hamba2Mu yang sedang bergelut dengan ujianMu, mencari jalan keluar, mencari siapa diri ini, meraba-raba mencari jatidiri, merenung mencari kebijaksanaanMu dalam semua ini, setiap kali itulah Engkau mengalirkan kekuatan luar biasa kepadaku yang ku alirkan kepada hamba2Mu itu. Mungkinkah itu jawapan kepada persoalan yang ku tanyai tadi. Bahawa hidup ini adalah untuk berjuang, bergelut dan berperang dalam memastikan diri ini terus berjalan menujuMu. Setiap kali Engkau melepaskan kami dalam pergelutan itu, setiap kali itulah Engkau membekalkan kami dengan pelajaran dan kekuatan yang semakin bertambah. Dan dengan pelajaran dan kekuatan itulah kami terus berjalan dengan lebih pantas menujuMu Ya Allah. Subhanallah, Walhamdulillah Walaa Ilahaillallah, itulah saja ungkapan yang mampu ku ungkapkan tanda syukur dan penghargaan atas anugerahMu itu Ya Allah.



Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, daku masih mencari-cari agendaMu, mencari kebenaran dalam setiap saat kehidupan ini. Daku bimbang ada saat-saat kehidupan ini tidak bertepatan dengan kehendakMu dan redhaMu Ya Allah. Dengan kekuatan jiwa yang Engkau Ya Aziz, Ya Qowiy, Ya Matin, kini daku langsung tidak terkesan dengan kata-kata jahat manusia, fitnah, umpatan, tohmahan, kejian dan cacian. Namun, daku juga bimbang disitu ada terkandung arahanMu, nasihatMu dan peringatanMu. Oleh itu Ya Zahir, nampakkan kepadaku apa saja suruhanMu, agendaMu dan peringatanMu, pasti daku akan melakukannya, itupun dengan dayaMu jua, bukan dengan dayaku. Dalam perjalanan hidup ini juga, daku mula mengimbas kembali peristiwa2 lama yang sering membangkitkan penyesalan yang tidak terhingga kerana kehidupan yang penuh kepentingan diri, cinta jawatan, gelaran, dunia dan manusia walaupun dihiasi dengan sedikit perjuangan yang penuh beralasan. Daku sudah tidak mahukan semua itu Allah, tidak mahu, tidak mahu dan tidak mahu lagi Allah. Engkau Ya Sami’ Yang Maha Mendengar mendengar pengakuanku yang daku mengatakan daku tidak mahuuuuuuu itu semua Ya Allah. Daku bersyukur setinggi-tinggi syukur kepadaMu Ya Rahman Ya Rahim, Ya Quddus Ya Jalil, Engkau kini menjuahkan semua itu dariku. Yang adapun sedikit yang tinggal ini adalah untuk kegunaan kerja-kerja da’wah yang Engkau agendakan kepadaku kini, yang menjadi agenda hidupku yang sangat penting dan sangat utama.



Ya Allah Ya Wahhab Yang Maha Menolong, kehidupan yang sekian lama bermandikan dunia dan manusia membuatkan daku kini meraba-raba mencari jalan hidup baru. Ingin rasanya keluar dari dunia yang sedang ku jalani ini. Ingin kucari dunia lain yang kurasakan lebih dapat ku tumpukan kepada kerja-kerja da’wah dan perjuangan Rasulullah s.a.w. Ada seorang sahabatku yang sudah tinggi jawatannya sudahpun berhenti kerja dan menumpukan kepada kerja-kerja da’wah kerana kami merasakan kerja-kerja da’wah ini memerlukan ramai orang-orang terpelajar yang diberikan ilmuMu Allah Ya Alim, Ya Hakim dan Ya Rashid. Dan kami merasakan dalam pekerjaan kami sekarang, ruang untuk berda’wah itu sangat terhad dengan jadual kerja yang sangat ketat yang dikongkong oleh ahli-ahli dunia semuanya dan apatah lagi kami merasa sangat cemas kerana tak tahu berapa lagi baki umur yang tinggal untuk kami menyelesaikan tugas sebagai abdi dan khalifah Allah di bumi ini. Namun, kadang-kadang, suara hati ini menyatakan betapa sempitnya daku dalam memahami kebijaksanaan Allah dalam mengatur hidup hamba-hambaNya. Kini, daku hanya menunggu ketentuanMu Ya Qodir Ya Muktadir Yang Maha Berkehendak lagi Maha Menentukan takdir. Daku tidak mahu tergolong dalam golongan musta’jilun (golongan yang terburu-buru), jadi biarlah Engkau yang mengaturnya, daku rela dan redha apa sahaja ketentuanMu. Cuma, daku memohon kepadaMu, dalam daku menjalani dunia pekerjaan ini yang penuh dengan keduniaan dan kelalaian ini, ikatkanlah jiwaku sentiasa kepadaMu agar tali ikatan itu tidak akan memutuskan daku walaupun di mana saja dan apa sahaja yang ku lakukan. Agendakan hidupku dengan agendaMu yang penuh dengan ibadah, ketaatan, perjuangan dan amal-amal yang soleh.



Cukup dulu coretanku buat masa ini, semoga dipertemukan Allah Ya Wajid Yang Maha Menemukan satu hari nanti..



Salam ukhwah fillah kepada semua yang sedang mencariNya..

Monday, August 2, 2010

Syarah Kitab hikam

ALANGKAH AJAIBNYA BAGAIMANA NAMPAK WUJUD DI DALAM ‘ADAM (YANG TIDAK WUJUD), ATAU BAGAIMANA DAPAT BERTAHAN SESUATU YANG ROSAK BINASA ITU DI SAMPING ZAT YANG BERSIFAT KEKAL.


Alam ini kesemuanya adalah gelap gelita sedang yang meneranginya adalah kerana nampak Wujud Allah s.w.t padanya. Pada hakikatnya alam ini tidak wujud, Allah s.w.t jua yang wujud. Tetapi apa yang terlihat kepada kita adalah alam semata-mata sedangkan Allah s.w.t yang lebih nyata menjadi terlindung daripada pandangan kita. Allah s.w.t yang menzahirkan segala sesuatu, bagaimana sesuatu itu pula menghijabkan-Nya. Allah s.w.t yang tampak nyata pada segala sesuatu, bagaimana pula Dia terlindung. Allah s.w.t adalah Maha Esa, tiada sesuatu beserta-Nya, bagaimana pula Dia dihijab oleh sesuatu yang tidak wujud di samping-Nya.



Hati akan hanya diisi dengan iman (percaya) atau ragu-ragu. Jika Nur Ilahi menyinari hati maka mata hati akan melihat dengan iman. Seandainya pandangan mata hati tidak bersuluhkan Nur Ilahi maka apa yang dipandangnya akan membawa keraguan dalam bentuk pertanyaan ‘bagaimana’. Pertanyaan ‘bagaimana’ itu merupakan ujian tentang Allah s.w.t. Ia boleh memberi rangsangan untuk menambahkan pengetahuan tentang Tuhan. Jika tidak dikawal ia akan mendorong kepada perbahasan yang tidak ada penyelesaian kerana bidang ilmu sangat luas, tidak mungkin habis untuk diterokai. Jika kita ikuti perbahasan ilmu, kita akan mati dahulu sebelum sempat mendapat jawapan penghabisan. Oleh itu letakkan garisan penamat kepada ilmu dan masuklah ke dalam iman. Iman menghilangkan keraguan dan tidak perlu bersandar kepada bukti dan dalil-dalil.



Pengalaman hakikat akan menghapuskan pertanyaan ‘bagaimana’. Apabila keraguan datang, ia akan disambut dengan jawapan, “Dengan Dia aku mengenal sifat-Nya, bukan dengan sifat-Nya aku mengenal Dia. Dengan Dia aku mengenal ilmu pengetahuan, bukan dengan ilmu pengetahuan aku mengenal Dia. Dengan Dia aku mengenal makrifat bukan dengan makrifat aku mengenal Dia”.



Apabila hati sudah diisi dengan iman pertanyaan ‘bagaimana’ akan menguatkan keinginan untuk mencungkil Rahsia Ilahi yang menyelubungi alam maya ini. Jika dia tidak mampu memahami sesuatu tentang Rahsia Ilahi itu maka dia akan tunduk dan mengakui dengan kerendahan hatinya bahawa benteng keteguhan Allah s.w.t tidak mampu dipecahkan oleh makhluk-Nya.



Monday, May 10, 2010

zahir vs batin

ALAM INI PADA ZAHIRNYA ADALAH TIPUAN DAN BATINNYA ADALAH PERINGATAN. NAFSU MEMANDANG KEPADA ZAHIRNYA YANG MENIPU DAYA, SEMENTARA HATI PULA MEMANDANG KEPADA BATINNYA YANG MEMBERI PERINGATAN.




Alam maya ini boleh dilihat melalui dua aspek, iaitu aspek zahir dan aspek batin. Aspek zahir memperlihatkan satu keadaan sementara aspek batin pula memperlihatkan keadaan yang lain. Bagi memudahkan pemahaman alam boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu alam rendah yang dikenali sebagai dunia dan alam tinggi yang dikenali sebagai alam malaikat (alam malakut). Alam dunia adalah tempat kediaman manusia dan juga musuh manusia iaitu syaitan. Manusia menjadi permata bagi dunia. Dunia ini diciptakan khas untuk ditempatkan manusia buat melaksanakan hukum ketentuan Allah s.w.t pada azali. Manusia dijadikan khalifah atau penguasa yang bertanggungjawab menjalankan perundangan Tuhan yang telah siap digubal dan dibentangkan. Dalam melaksanakan tugasnya manusia tidak dibiarkan dalam kebingungan. Tuhan sentiasa menghantarkan ayat-ayat-Nya, tanda-tanda dan petunjuk sebagai penyuluh jalan bagi manusia selaku pelaksana hukum Tuhan. Ayat-ayat, tanda-tanda dan petunjuk yang disampaikan kepada manusia adalah bersesuaian dengan sifat manusia dan alam dunia yang mereka diami. Utusan Allah s.w.t yang menyampaikan ayat-ayat, tanda-tanda dan petunjuk kepada manusia dipilih dari kalangan manusia sendiri dan bertutur dalam bahasa manusia. Manusia mendengar para Rasul membacakan ayat-ayat Allah s.w.t dalam bahasa yang mereka fahami. Rasul-rasul pada zahirnya bersifat sebagai manusia tetapi pada batinnya adalah juru-bicara Allah s.w.t, menyampaikan apa yang Allah s.w.t mahu sampaikan. Bahasa yang digunakan pada zahirnya adalah bahasa manusia tetapi pada batinnya adalah Kalam Allah s.w.t.



Dalam melaksanakan tugas membawa risalat, Rasul-rasul diperkuatkan dengan mukjizat. Mukjizat tersebut pada zahirnya merupakan perubahan yang luar biasa terjadi pada anasir alam, tetapi pada batinnya adalah pertunjukan kekuasaan Tuhan. Dalam kehidupan harian manusia melihat berbagai-bagai kejadian seperti curahan air hujan, tiupan angin, alunan ombak dan lain-lain. Mereka melihat kejadian alam pada zahirnya tetapi pada batinnya adalah perjalanan peraturan Allah s.w.t. Manusia juga pada zahirnya mengalami berbagai-bagai peristiwa tetapi pada batinnya adalah takdir Ilahi. Jadi, seluruh aspek kehidupan dalam alam dunia ini merangkumi aspek zahir dan aspek batin.


Aspek zahir memperlihatkan benda-benda alam dan aspek batin menyatakan hubung-kait segala sesuatu dengan Tuhan. Jika pandangan hanya tertuju kepada aspek zahir maka hanya benda-benda alam dan peristiwa yang kelihatan, tidak ada kenyataan tentang Tuhan. Pandangan yang hanya memperlihatkan alam akan mengwujudkan sikap bebas merdeka, tidak berasa bergantung kepada Tuhan, tidak berasa malu melakukan maksiat jika tidak dilihat oleh sesama manusia walaupun Tuhan melihatnya. Orang yang memiliki pandangan begini adalah orang yang memperturutkan hawa nafsunya yang sentiasa gelojoh dan berselera dengan benda-benda alam. Pandangan yang seperti ini menjemput syaitan supaya ikut sama memperindahkan benda-benda yang digemari oleh hawa nafsu itu. Pandangan nafsu yang membelakangi Tuhan akan dibungkus oleh pandangan syaitan. Allah s.w.t berfirman:



Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak mahu beringat dan insaf? ( Ayat 23 : Surah Jaathiyah )

Orang yang pandangan nafsunya dibungkus oleh pandangan syaitan akan mengalami keadaan yang lebih berat.


(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah meteraikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada pentutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar. ( Ayat 7 : Surah al-Baqarah )



Kesudahannya mereka sampai kepada keadaan:


(Orang-orang yang melakukan perkara-perkara tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya. (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)? ( Ayat 23 & 24 : Surah Muhammad )




Pendengarannya tidak dapat lagi mendengar kebenaran dan penglihatannya tidak dapat lagi melihat kebenaran. Inilah keadaan orang yang dilaknat oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t telah melaknatkan seorang hamba-Nya, maka berubah sifat hamba itu dari orang salih menjadi iblis dan gugurlah segala amalan yang pernah dikerjakannya. Jika Allah s.w.t melaknatkan seseorang bani Adam maka dia akan menjadi syaitan berbangsa manusia. Manusia syaitan akan mendorong manusia lain supaya mengikutnya pergi ke neraka. Supaya terselamat dari keadaan tersebut Rasulullah s.a.w menasihatkan dengan peringatan:



Sesungguhnya di dalam jasad anak Adam itu ada seketul daging. Jika baik ia nescaya baiklah semua anggotanya. Bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah, itulah kalbu (hati). ( Maksud Hadis )



Allah s.w.t berfirman:


Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). ( Ayat 9 – 10 : Surah asy-Syams )




Penyucian hati adalah penyelamat manusia dari tertipu oleh benda-benda alam dan kejadian yang zahir. Hati yang suci bersih dapat melihat terus ke dalam batin bagi setiap yang zahir. Bila dia mendengar bacaan ayat-ayat Quran hatinya mendengar ucapan Kalam Allah s.w.t. Bila dia melihat sesuatu peristiwa terjadi, hatinya melihat perjalanan takdir Allah s.w.t. Bila dia melihat sesuatu kegemparan hatinya melihat kekuasaan Allah s.w.t. Apa juga yang zahir yang dilihatnya akan membuat hatinya melihat manifestasi ketuhanan padanya. Tiada sesuatu yang terlepas daripada ikatan ketuhanan (Ilahi).


Pandangan terhadap ketuhanan bukan setakat alam dunia, malah rohaninya mencapai alam malakut dengan mata hatinya tetap tidak berganjak dari melihat kepada ketuhanan. Hatinya melihat bahawa malaikat tidak mempunyai kuasa walau sebesar zarah pun untuk berbuat sekehendaknya. Semuanya tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. Walaupun sekalian malaikat berkumpul untuk menolongnya dia tetap melihat bahawa Penolong sebenar adalah Allah s.w.t, Tuhan sekalian alam. Begitulah pandangan mata hati yang tidak dilindungi oleh yang zahir untuk dia melihat kepada yang batin.

dipetik dari: syarah al-hikam