HIDUP UNTUK MENJALANKAN AMANAH ALLAH – MERASAI SEMUANYA MILIK ALLAH
Wanita yang dikasihi dan dihormati,
Cabaran kehidupan hari ini yang terlalu mementingkan material sebagai survival kehidupan secara tidak langsung mewujudkan suasana cintakan dunia dan mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan masalah orang lain. Keperluan hidup yang berteraskan kepada kemewahan dunia telah memerangkap manusia ke dalam penyakit cinta dunia dan lupa peringat Allah tentang hakikat dunia.
Kecintaan kepada dunia melupakan manusia bahawa setiap pemberian Allah adalah amanah dan ujian samada ianya berbentuk harta, pangkat, wang ringgit, anak-anak, suami, rumah, kenderaan, perhiasan, barang kemas hatta tubuh badan seluruhnya. Manusia sering merasai semua nikmat yang mereka kecapi adalah hasil daripada kehebatannya dan usahanya semata-mata. Tetapi sesungguhnya setiap apa yang ada pada kita adalah kepunyaan Allah Ya Malik, Yang Maha Memiliki.
Dengan merenungi dan merasai semua yang ada pada kita adalah milik Allah Ya Malik dan Dia memberikan sebagai amanah dan ujian, sudah tentulah kita akan menjaga amanah ini dengan baik sebelum diambil kembali oleh tuannya iaitu Allah s.w.t. Dan setiap jiwa akan ditanyai akan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Oleh itu marilah kita sebagai seorang wanita merenungi akan amanah-amanah ini. Diantaranya ialah:
1) Suami – suami merupakan amanah dan milik Allah kepada seorang isteri. Suami perlu diberikan hak-haknya, dijagai harta bendanya, maruah dan nama baiknya serta anak-anaknya. Menjaga amanah ini menuntut kita taat kepada suami selagi tidak bercanggah dengan syara’. Binalah keluarga bahagia bersama suami dengan memperingatkannya tentang Allah, tujuan kita hidup diatas dunia ini, Islam dan Iman sebagai landasan hidup manusia.Suami juga adalah amanah Allah untuk bersama-sama melahirkan zuriat yang diciptakan oleh Allah Ya Kholiq Yang Maha Mencipta. Dan isteri juga harus menyedari suami itu milik Allah Ya Malik, bukanlah miliknya. Oleh itu hendaklah redha ketika Allah mengambil suami daripada kita samada melalui kematian, perceraian dan sebagainya.
2) Anak-anak – anak-anak merupakan amanah Allah yang akan dipersoalkan oleh Allah tentang pendidikannya dan agamanya. Adakah kita memperkenalkan Allah, Islam, Iman, matlamat kehidupannya didunia ini kepada anak-anak kita. Adakah kita membimbing anak-anak kita menjadi hamba kepada Allah, atau membiarkannya menjadi hamba kepada hawa nafsu dan dunia. Dan seorang ibu harus menyedari bahawa anak-anaknya bukan miliknya tetapi milik Allah Ya Malik Yang Maha Memiliki. Kita harus redha ketika dia mengambil anak-anak kita melalui kematian dan sebagainya.
3) Tubuh-badan – tubuh badan adalah amanah Allah s.w.t. yang akan ditanya apakah yang kita lakukan dengan aqal, penglihatan, pendengaran, tangan dan kaki. Adakah aqal dan penglihatan digunakan untuk merenungi ciptaan dan kehebatan Allah dalam mengatur ala mini? Adakah pendengaran kita gunakan untuk mendengar ayat-ayat Allah serta menghayatinya? Adakah tangan dan kaki digunakan untuk beribadah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh? Ataukah semuanya digunakan untuk melanggar perintah Allah, mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan. Gunakan sebaik mungkin tubuh badan yang dikurniakan sebelum Allah Ya Malik mengambilnya kembali.
Oleh itu wanita yang dikasihi sekalian, renungilah apa sahaja yang kita miliki dan syukurilah semua pemberian Allah itu dan sentiasa ingat bahawa semuanya itu milik Allah Ya Malik dan pasti akan diambil kembali olehNya, dan tunaikan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin agar kita terselamat di hari akhirat ketika tiada siapa yang mampu menyelamatkan kita melainkan Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment