SIAPAKAH IBUKU?
Ibu yang kusayangi, sesungguhnya kasih sayangmu, bimbinganmu, perlindunganmu dan keperihatinanmu kepada diriku selama ini tidak mampu ku balas kerana sesungguhnya semuanya itu adalah sifat Ya Rahman dan Ya Rahim Allah, yang Allah campakkan kepadamu ibuku agar kau menyayangiku dan melindungiku sejak kecil sehingga dewasa, tidak sedikitpun ada kekurangan yang kurasakan. Kau sentiasa menyayangiku dan merinduiku walaupun kadang-kadang daku membuat hatimu terluka. Kau sentiasa mendoakan kesejahteraan kepada diriku dunia dan akhirat dengan sifat Ya Salam Yang Maha Sejahtera yang dicampakkan kedalam hatimu.
Ibuku yang ku sayangi, sesungguhnya dikau diciptakan oleh Allah Ya Muhaimin Yang Maha Memelihara untuk melindungi dan membesarkan anakmu ini. Kau diciptakan oleh Ya Haadi, Yang Maha Memberi Petunjuk agar kau mampu memberi petunjuk, dikau diberikan ilmu oleh Ya Alim agar dapat membimbing dan mendidik anakmu ini tentang asal usulku, kenapa daku dihidupkan dindunia ini, ke mana kesudahanku, apakah nilai dunia ini berbanding akhirat, rukun-rukun Iman, rukun-rukun Islam dan bagaimana berjalan di atas fitrah Allah.
Kau juga diciptakan oleh Ya Mani’ yang Maha Mencegah dan Ya Roqib, yang Maha Mengawasi agar kau mampu menegur kesilapanku, menjaga, mengawasiku dan mencegahku daripada dosa agar diriku sentiasa taat kepada Engkau Ya Allah.
Namun ibuku sayang, diriku ini hanyalah hamba kepada Ya Rahman dan Ya Rahim. CintaNya dan KasihNya kepada diriku tidak akan mampu ku tukarkan dengan cinta dan kasih manusia. Maafkanku ibu, kerana diriku tidak mampu menyayangimu dan mencintaimu lebih dari sayang dan cintaku kepada Tuhanku Ya Malik yang Menciptakanku dan Ya Wahhab Yang Maha Pemberi, yang memberiku segala apa yang ku kecapi di dunia ini.
Maafkanku ibu, kerana diriku terpaksa meninggalkanmu sentiasa demi melaksanakan tugas khalifah Allah untuk mencari ilmu ditempat yang jauh dan terpaksa meninggalkanmu demi menyiapkan diriku sebagai generasi yang mengenal siapa dirinya dan siapa Tuhannya dan dapat memimpin manusia ke arah pengabdian kepada Ya Maha Esa. Setiap arahan Allah akan pasti ku taati ibu, walaupun diriku tidak sempat menjengukmu sentiasa, kau masih ku sayangi sepertimana kau menyayangiku sejak masih kecil.
Tetapi sedarlah ibu, walau kau tidak merasa kasih sayangku, kasih sayang Allah Ya Rahman Ya Rahim kepada ibu tidak berbelah bagi, dan Dia tetap mendampingi ibu dan tidak pernah meninggalkan ibu walau sesaat sekalipun. Walaupun ibu merasa kadang-kadang anak ibu ini tidak menghargai jasa dan pengorbanan ibu, sedarlah ibu, Dia Ya Syakur amat menghargai jasa ibu membesarkan ku sehingga menjadi manusia yang berguna. Dia Ya Aliyy Yang Maha Tinggi Martabatnya tentu akan menaikkan martabat ibu kepada martabat yang tinggi atas pengorbanan ibu selama ini.
Ibu yang kusayangi, sekiranya ibu merasa sunyi, ingatlah kepada Ya Zohir, yang sentiasa menampakkan keagungan dan kewujudannya melalui setiap apa yang berlaku di dunia ini. Dia amat dekat kepadamu ibu, lebih dekat dari urat lehermu sendiri. Dia sentiasa berada disisimu menunggu-nunggu kau merayu dan merintih kepadanya ketika kau rasa kesunyian, ketika kau rasa tidak dipedulikan oleh anak-anakmu. Dia tetap mempedulikanmu ibu, usahlah ibu gusar, bimbang dan sedih. Dia Ya Mukmin akan memberi ibu rasa aman dan tenang.
Ibuku sayang, Dia Ya Mumit yang Maha Mematikan mungkin akan mengambil nyawa ibu pada bila-bila masa dan sekiranya itu ketentuanNya yang Maha Menentukan, diriku tetap redha kepadaMu Ya Muqtadir seperti redhanya Nabi Ismail ketika ingin dikorbankan oleh ayahnya Nabi Ibrahim, kerana sesungguhnya redha kepada ketentuanMu adalah bukti kecintaan sepenuhnya kepada Engkau Ya Dzal Jalalil Wal Ikram Yang Maha Memiliki Kebesaran dan Kemuliaan. Namun, diriku tidak perlu bimbang dan gusar sama sekali, kerana Engkau Ya Rahman Ya Rahim Ya Waddud sesungguhnya sentiasa ada disampingku, sentiasa mengatur urusanku dan melindungiku dan mengasihiku setiap masa dengan sifat Ya Waaliy dan sifat ya MuhaiminMu.
Oleh itu ibuku, dekatkanlah diri kepadaNya, kepada Ya Hasib, yang Maha mencukupkan, nescaya dia akan mencukupkan keperluanmu. Ibuku, ingatlah kita akan kembali kepada Ya Malik dan Ya Kholiq, Yang Memiliki kita dan menciptakan kita. Persiapkanlah diri ibu dengan amalan mulia agar kita akan berjumpa di akhirat kelak di bawah lindungan Allah. Diriku akan sentiasa mendoakan mu ibu bagi kesejahteraanmu di dunia dan di akhirat dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah yang dicampakkan di dalam hatiku dan semoga kita akan berkumpul disyurga Ya Wahhab Yang Maha Pemberi.
No comments:
Post a Comment