~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Monday, October 20, 2008

Tips menjadi anak cemerlang (3)


Siapakah Ayahku?


Ayahku yang ku hormati, sesungguhnya ayah diciptakan oleh Ya Razak Yang Maha Memberi Rezeki, Ya Ghoniy Yang maha Kaya, Ya Mughni Ya Maha Memberi Kekayaan, Ya Nafi’ Yang Maha Memberi Manafaat untuk ayah berusaha bagi mendapatkan kebaikan dan manafaat dunia ini untuk menampung kehidupan keluarga kita agar dengan kehidupan yang sejahtera dapat mewujudkan rasa aman dan bahagia bagi membolehkan kita sekeluarga mengabdikan diri kepada Ya Wahid yang Maha Esa dan kepada Ya Mutakabbir yang Maha memiliki segala kebesaran.


Ayahku sayang, dikau bersama ibu diciptakan oleh Allah Yang Maha Pencegah, Maha Melindungi dan Maha Mengawasi agar kalian boleh mencegahku daripada melakukan dosa dan mendapat kemarahan Allah Yang Maha Berkuasa dan melindungiku daripada bahaya dunia dan akhirat. Segala nasihat dan teguranmu sesungguhnya adalah nasihat dan teguran Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang yang ingin agar aku tidak tergelincir daripada jalanNya. Aku sebagai hamba kepadaNya sewajarnya mengambil segala teguran dan nasihat Allah ini sebagai panduan hidup.


Ayahku yang ku sayangi, dikau bersama-sama ibu sesungguhnya diciptakan oleh Ya Haadi, Yang Maha Memberi Petunjuk agar kau mampu memberi petunjuk, dikau diberikan ilmu oleh Ya Alim agar dapat membimbing dan mendidik anakmu ini tentang asal usulku, kenapa daku dihidupkan di dunia ini, apa tugasku di dunia ini, siapa Tuhanku, bagaimana aku sepatutnya mengabdikan diri kepadaNya, ke mana kesudahanku, apakah nilai dunia ini berbanding akhirat, rukun-rukun Iman, rukun-rukun Islam dan bagaimana berjalan diatas fitrah Allah.


Walaupun begitu ayah, ketika dikau tidak mempedulikanku, tidak lagi melindungiku, Dia Ya Hafiz Yang Maha Pelindung dan Ya Muhaimin Yang Maha Pemelihara akan tetap melindungi dan memeliharaku dengan penuh sifat Pengasih dan Penyayang kerana Dia Ya Rahman dan Ya Rahim. Aku tetap akan bergantung sepenuhnya dengan Tuhanku kerana Dia Ya Aziz Yang Maha Perkasa, Ya Qawiy Yang Maha Sempurna KekuatanNya dan Ya Matin yang Maha Kukuh KekuatanNya yang denganNya daku tidak akan kecewa dan hatiku akan sentiasa tenteram.


Wednesday, October 15, 2008

Tips menjadi anak cemerlang (2)


SIAPAKAH IBUKU?

Ibu yang kusayangi, sesungguhnya kasih sayangmu, bimbinganmu, perlindunganmu dan keperihatinanmu kepada diriku selama ini tidak mampu ku balas kerana sesungguhnya semuanya itu adalah sifat Ya Rahman dan Ya Rahim Allah, yang Allah campakkan kepadamu ibuku agar kau menyayangiku dan melindungiku sejak kecil sehingga dewasa, tidak sedikitpun ada kekurangan yang kurasakan. Kau sentiasa menyayangiku dan merinduiku walaupun kadang-kadang daku membuat hatimu terluka. Kau sentiasa mendoakan kesejahteraan kepada diriku dunia dan akhirat dengan sifat Ya Salam Yang Maha Sejahtera yang dicampakkan kedalam hatimu.


Ibuku yang ku sayangi, sesungguhnya dikau diciptakan oleh Allah Ya Muhaimin Yang Maha Memelihara untuk melindungi dan membesarkan anakmu ini. Kau diciptakan oleh Ya Haadi, Yang Maha Memberi Petunjuk agar kau mampu memberi petunjuk, dikau diberikan ilmu oleh Ya Alim agar dapat membimbing dan mendidik anakmu ini tentang asal usulku, kenapa daku dihidupkan dindunia ini, ke mana kesudahanku, apakah nilai dunia ini berbanding akhirat, rukun-rukun Iman, rukun-rukun Islam dan bagaimana berjalan di atas fitrah Allah.


Kau juga diciptakan oleh Ya Mani’ yang Maha Mencegah dan Ya Roqib, yang Maha Mengawasi agar kau mampu menegur kesilapanku, menjaga, mengawasiku dan mencegahku daripada dosa agar diriku sentiasa taat kepada Engkau Ya Allah.


Namun ibuku sayang, diriku ini hanyalah hamba kepada Ya Rahman dan Ya Rahim. CintaNya dan KasihNya kepada diriku tidak akan mampu ku tukarkan dengan cinta dan kasih manusia. Maafkanku ibu, kerana diriku tidak mampu menyayangimu dan mencintaimu lebih dari sayang dan cintaku kepada Tuhanku Ya Malik yang Menciptakanku dan Ya Wahhab Yang Maha Pemberi, yang memberiku segala apa yang ku kecapi di dunia ini.


Maafkanku ibu, kerana diriku terpaksa meninggalkanmu sentiasa demi melaksanakan tugas khalifah Allah untuk mencari ilmu ditempat yang jauh dan terpaksa meninggalkanmu demi menyiapkan diriku sebagai generasi yang mengenal siapa dirinya dan siapa Tuhannya dan dapat memimpin manusia ke arah pengabdian kepada Ya Maha Esa. Setiap arahan Allah akan pasti ku taati ibu, walaupun diriku tidak sempat menjengukmu sentiasa, kau masih ku sayangi sepertimana kau menyayangiku sejak masih kecil.


Tetapi sedarlah ibu, walau kau tidak merasa kasih sayangku, kasih sayang Allah Ya Rahman Ya Rahim kepada ibu tidak berbelah bagi, dan Dia tetap mendampingi ibu dan tidak pernah meninggalkan ibu walau sesaat sekalipun. Walaupun ibu merasa kadang-kadang anak ibu ini tidak menghargai jasa dan pengorbanan ibu, sedarlah ibu, Dia Ya Syakur amat menghargai jasa ibu membesarkan ku sehingga menjadi manusia yang berguna. Dia Ya Aliyy Yang Maha Tinggi Martabatnya tentu akan menaikkan martabat ibu kepada martabat yang tinggi atas pengorbanan ibu selama ini.


Ibu yang kusayangi, sekiranya ibu merasa sunyi, ingatlah kepada Ya Zohir, yang sentiasa menampakkan keagungan dan kewujudannya melalui setiap apa yang berlaku di dunia ini. Dia amat dekat kepadamu ibu, lebih dekat dari urat lehermu sendiri. Dia sentiasa berada disisimu menunggu-nunggu kau merayu dan merintih kepadanya ketika kau rasa kesunyian, ketika kau rasa tidak dipedulikan oleh anak-anakmu. Dia tetap mempedulikanmu ibu, usahlah ibu gusar, bimbang dan sedih. Dia Ya Mukmin akan memberi ibu rasa aman dan tenang.


Ibuku sayang, Dia Ya Mumit yang Maha Mematikan mungkin akan mengambil nyawa ibu pada bila-bila masa dan sekiranya itu ketentuanNya yang Maha Menentukan, diriku tetap redha kepadaMu Ya Muqtadir seperti redhanya Nabi Ismail ketika ingin dikorbankan oleh ayahnya Nabi Ibrahim, kerana sesungguhnya redha kepada ketentuanMu adalah bukti kecintaan sepenuhnya kepada Engkau Ya Dzal Jalalil Wal Ikram Yang Maha Memiliki Kebesaran dan Kemuliaan. Namun, diriku tidak perlu bimbang dan gusar sama sekali, kerana Engkau Ya Rahman Ya Rahim Ya Waddud sesungguhnya sentiasa ada disampingku, sentiasa mengatur urusanku dan melindungiku dan mengasihiku setiap masa dengan sifat Ya Waaliy dan sifat ya MuhaiminMu.


Oleh itu ibuku, dekatkanlah diri kepadaNya, kepada Ya Hasib, yang Maha mencukupkan, nescaya dia akan mencukupkan keperluanmu. Ibuku, ingatlah kita akan kembali kepada Ya Malik dan Ya Kholiq, Yang Memiliki kita dan menciptakan kita. Persiapkanlah diri ibu dengan amalan mulia agar kita akan berjumpa di akhirat kelak di bawah lindungan Allah. Diriku akan sentiasa mendoakan mu ibu bagi kesejahteraanmu di dunia dan di akhirat dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah yang dicampakkan di dalam hatiku dan semoga kita akan berkumpul disyurga Ya Wahhab Yang Maha Pemberi.


Friday, October 10, 2008

Tips menjadi anak cemerlang (1)



1.      Pendahuluan

 

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum,

 

Kepada anakku yang kusayangi, sesungguhnya Allah menciptakan kita bukan untuk hanya berseronok di atas dunia ini tanpa tujuan. Dia Ya Khaliq menciptakan kita dengan penuh kesempurnaan agar kita boleh menjalani dan menikmati kehidupan ini dengan rasa penuh bahagia dan redha seperti dinyatakan di dalam surah As-Syam ayat 7

Dan kesempurnaan jiwa itu sesungguhnya adalah sedikit sifat Asma ul Husna Allah s.w.t yang diilhamkan kedalam jiwa manusia yang mampu menjadikan jiwa itu kuat dan mantap di dalam mengharungi liku-liku dan badai kehidupan.

Sucikanlah jiwamu anakku, agar sifat-sifat Allah yang diilhamkan kepada jiwamu dapat dipancarkan keluar bagi menerangi hidupmu dan seluruh alam ini.

 -Surah As-Shams ayat 9.

Layarilah bicara hati ini dengan penuh tunduk, tawadduk dan penuh kerendahan hati kepada Allah Yang Maha Agung dan Maha Tinggi, semoga dirimu dapat mencari jawapan kepada persoalan dan kekosongan hidupmu selama ini.

 

 2. Siapakah Diriku?

 

Sesungguhnya Engkau Ya Kholiq Yang Maha Pencipta telah menciptakan diriku daripada tanah yang hina dan kemudian dari air mani yang juga hina, dari tiada kepada ada. Engkau Ya Khaliq Yang Maha Pencipta dan Ya Malik Yang Maha Berkuasa dan Raja Yang Memiliki Segala Isi Langit dan Bumi telah ciptakanku dan sesungguhnya diriku hanya ciptaanMu dan hambaMu yang dulunya tiada dan kini ada.

 

Engkau Ya Wahhab Yang Maha Pemberi telah memberikanku segala kesempurnaan tubuh badan, pakaian, rezeki dan juga Engkau Ya Rahman Yang Maha Pengasih, Ya Rahim Yang Maha Penyayang telah mengurniakan Kasih dan SayangMu kepada ibu dan bapaku dan diriku, yang dengan rasa Kasih dan SayangMu itulah kami membina keluarga yang bahagia dan harmoni ini sehingga kehari ini.

 

Sesungguhnya diriku adalah seorang anak yang Engkau kurniakan sedikit Rahman (Pengasih) dan RahimMu (Penyayang) untuk ku curahkan kepada ibu dan bapaku demi melaksanakan tugas KhalifahMu di dunia ini. Engkau telah menugaskan diriku sebagai seorang anak agar memberikan kasih dan sayang yang tulus dan berbakti kepada ibubapaku kerana Engkaulah  Ya Jalil Yang Maha Tulus dan Ya Quddus Yang Maha Suci.

 

Dengan sedikit Rahman dan RahimMu, JalilMu dan QuddusMu inilah, diriku bersama ibu dan bapaku mampu membentuk peribadi hamba dan khalifah dikalangan ahli keluarga kami dan dengan peribadi inilah kami mampu membina sebuah keluarga bahagia.

 

Dengan kekuatanMu Ya Aziz Yang Maha Perkasa, Ya Qawwiy Yang Maha Memiliki Kekuatan dan Ya Matin Yang Maha Sempurna Kekuatan dan Maha Teguh, diriku bersama keluargaku menghadapi segala cabaran dan ujian hidup yang sentiasa Engkau, Ya Rahman, Ya Rahim berikan. Kerana dengan menghadapi cabaran dan ujian inilah, kami sekeluarga akan bangkit sebagai satu keluarga yang padu dan kuat bagi membina dan membangunkan generasi hambaMu yang taat dan patuh kepadaMu.

 

Ya Allah Ya Alim Yang Maha Berilmu, sesungguhnya Engkau telah mencipta diriku sebagai seorang pelajar yang perlu mencari ilmuMu dan NurMu (Cahaya Petunjuk) yang terlalu banyak dan tidak bertepi. Dengan ilmuMu dan NurMu inilah diriku mampu menyuluh jalan yang Engkau telah bentangkan dan mampu berjalan diatasnya dengan bimbingan dan petunjukMu Ya Haddi Yang Maha Memberi Petunjuk. Ilmu yang Engkau Ya Alim anugerahkan kepadaku akan ku gunakan untuk melakukan kebaikan kepada manusia tanpa mengharapkan balasan manusia, tetapi yakin dengan balasan Allah

 

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Engkau juga telah menciptakanku bagiku berkenalan, berbuat baik serta nasihat menasihati antara kami agar kami semua taat dan patuh kepadaMu Ya Rabbi.

 

Ya Allah, Ya Malik, Sesungguhnya Engkau adalah Raja yang memiliki diriku ini. Diriku milikmu ya Allah, segala apa yang ada pada diriku ini, kecantikanku, kesihatanku, wangringgitku hatta ibubapaku, adik beradikku dan rakan-rakanku adalah milikMu sepenuhnya. Diriku sedar Engkau akan mengambil semuanya itu daripada diriku pada bila-bila masa, dan diriku tidak seharusnya merasa sedih dan kecewa kerana sesungguhnya ianya bukan milikku, Engkau Ya Maha Pemberi telah memberikannya kepada diriku sebagai amanah dan pinjaman untukku melaksanakan tugas khalifahMu didunia ini dan alat bagiku mengutip redhaMu bagi bekalan untuk akhirat nanti.

 

Ibu dan ayahku yang ku sayangi, kalian harus sedar, diriku bukanlah milik kalian. Diriku adalah milik Ya Malik dan Ya Kholiq, Yang Maha Memiliki dan Maha Pencipta. Oleh itu diriku tidak mampu untuk menghambakan diri kepadamu ibu dan ayah, kerana diriku hanyalah hamba kepada Tuhan yang menciptakanku dan Tuhan yang telah memberikan seluruh kasih dan sayangNya kepadiriku selama ini.

 

Ibu dan ayah yang ku sayangi, apa yang diriku lakukan kepadamu hanyalah kerana Dia Ya Rahman dan Ya Rahim dan Ya Wadud. Sesungguhnya ibu dan ayah yang ku kasihi, kasih sayangmu, cintamu, perlindunganmu, pemberianmu dan perhatianmu selama ini kepada diriku adalah sesungguhnya kasih dan sayang Ya Rahman dan Rahim, cinta Ya Wadud, perlindungan dari Ya Hafidz, Keperihatinan dari Ya Muhaimin kepadiriku. Oleh itu diriku harus membalas segala anugerah Allah itu dengan taat dan patuh kepadaNya dengan sepenuh hatiku.

 

Maafkanku ibu dan ayah yang ku sayangi, diriku tidak mampu mengasihimu melebihi Tuhanku kerana Dia menyayangiku setiap masa, ketika diriku comel dan cantik dan ketika diriku cacat. Ketika ibu dan ayah mungkin tidak menyukaiku, Dia Ya Rahman Ya Rahim tetap menyukaiku dan sentiasa membimbingku. Dia mencintai dan menyayangiku dan sentiasa mengurus diriku ketika ibu dan ayah terlalu sibuk dengan tugas harian dan mungkin akan melupaiku satu ketika nanti, ketika ibu dan ayah sudah tidak merasa diriku penting lagi kerana tidak mampu menjadi pelajar cemerlang yang ibu dan ayah idamkan, tetapi Dia Ya Wadud yang Maha Pencinta tetap mencintaiku dari dunia hingga akhirat walau bagaimana keadaanku sekalipun, walaupun diriku berjaya atau gagal dalam pelajaranku.

 

Namun ibu dan ayah yang ku sayangi, diriku tetap menyayangimu berdua kerana ibu telah sanggup berkorban untuk mengandung dan melahirkanku dengan bantuan Ar Rahman Yang Maha Pengasih dan Ar Rahim Yang Maha Penyayang serta Ya Aziz Yang Maha Kuat, dan ayah sanggup bersusah payah mencari rezeki dari Ya Razzak Yang Maha Pemberi Rezeki untuk membesarkan dan melindungiku dengan sifat Ya Muhaimin Yang Maha Melindungi selama ini.

 

Ibu dan ayah yang ku sayangi, sedarlah bahawa diriku hanya diutuskan oleh Allah di dunia ini untuk mengabdikan diri kepadaNya, memuji kebesaranNya dan Mensyukuri nikmatNya yang melimpah ruah. Daku harus membalas cinta kepadaNya dengan berbuat baik kepada ibu dan ayah, tetapi segalanya ku lakukan demi kerana Ya Rahman Ya Rahim.

 

Oleh itu Ibu dan ayah yang ku sayangi, sesungguhnya kita ini diciptakan oleh Ya Malik dan dipunyai olehNya dan kita akan kembali kepada Ya Mu’id Yang Mengembalikan dan Dia Ya Muhshi Yang Maha Menghitung akan menghitung setiap perbuatan kita didunia ini untuk diberikan balasan di akhirat nanti. Oleh itu ibu dan ayahku, marilah kita bersama-sama berjalan diatas permaidani makrifatullah dengan menyerah diri sepenuhnya kepada Dia Ya Rahman dan Ya Rahim sentiasa menyayangi dan mengasihi kita dan mengikut petunjuk Ya Haadi yang sentiasa memberi petunjuk dan membimbing kita.