Assalamualaikum sahabat,
Kini kita akan mula menggunakan Asma Ul Husna Didalam Kehidupan seharian kita. Saya mulakan dengan isteri kerana terlalu ramai isteri yang sedang menderita hari ini dan insyaAllah kita akan teruskan dengan Anak, Pekerja dan semuanya. Semoga Allah memanjangkan umur kita untuk berkongsi Ilmu dari Ya Alim.
Siapakah Diriku?
Sesungguhnya Engkau Ya Kholiq (Yang Maha Pencipta) yang telah menciptakan diriku daripada tanah yang hina dan kemudian dari air mani yang juga hina, dari tiada kepada ada. Engkau Ya Kholiq Yang Maha Pencipta dan Ya Malik Yang Maha Berkuasa dan Raja Yang Memiliki Segala Isi Langit dan Bumi telah ciptakanku dan sesungguhnya diriku hanya ciptaanMu dan hambaMu yang dulunya tiada dan kini ada.
Engkau Ya Wahhab Yang Maha Pemberi telah memberikanku segala kesempurnaan tubuh badan, pakaian, rezeki dan juga Engkau Ya Wadud Yang Maha Pencinta telah mengurniakan CintaMu kepada suamiku dan diriku, yang dengan rasa CintaMu itulah kami membina rumahtangga ini sehingga kehari ini.
Sesungguhnya diriku adalah seorang isteri yang Engkau kurniakan sedikit WadudMu (CintaMu) untuk ku curahkan kepada suamiku demi melaksanakan tugas KhalifahMu di dunia ini. Engkau telah menugaskan diriku sebagai seorang isteri agar memberikan cinta yang tulus yang telah Engkau, Ya Jalil Yang Maha Tulus dan Ya Quddus Yang Maha Suci ilhamkan kepada diriku.
Dengan sedikit WadudMu, JalilMu dan QuddusMu inilah, diriku melayarkan bahtera rumahtangga dan denganNya lah diriku menghadapi segala gelombang dan badai yang sentiasa Engkau, Ya Rahman. Ya Rahim berikan. Kerana dengan menghadapi gelombang dan badai inilah, kami akan bangkit dengan kekuatanMu Ya Aziz Yang Maha Perkasa, Ya Qawwiy Yang Maha Memiliki Kekuatan dan Ya Matin Yang Maha Sempurna Kekuatan dan Maha Teguh untuk membina satu rumahtangga yang padu dan kuat bagi melahirkan dan membina generasi hambaMu yang taat dan patuh kepadaMu.
Ya Allah, Ya Mani’ Yang Maha Mencegah, Engkau telah menjadikan diriku seorang isteri yang Engkau tugaskan untuk menjadi wakilMu bagi mencegah suamiku daripada melakukan dosa dan lalai kepadaMu. Perasaan cemburu, sayang dan rindu yang Engkau Ya Rahman Ya Rahim berikan kepada diriku yang lahir dari sifat Ya WadudMu itu adalah semata-mata untuk mencegah suamiku daripada tergelincir daripada landasan fitrahMu. Diriku harus menggunakan perasaan itu sebaik mungkin agar tidak bercampur dengan bisikan nafsu dan syaitan yang hanya ingin memecahkan rumahtangga yang terbina daripada Ya Rahman, Ya Rahim dan Ya WadudMu Ya Allah.
Ya Allah, Ya Malik, Sesungguhnya Engkau adalah Raja yang memiliki diriku ini. Diriku milikmu ya Allah, segala apa yang ada pada diriku ini, kecantikanku, kesihatanku, hartaku, wangringgitku hatta suamiku dan anak-anakku adalah milikMu sepenuhnya. Diriku sedar Engkau akan mengambil semuanya itu daripada diriku pada bila-bila masa, dan diriku tidak seharusnya merasa sedih dan kecewa kerana sesungguhnya ianya bukan milikku, Engkau Ya Maha Pemberi telah memberikannya kepada diriku sebagai amanah dan pinjaman untukku melaksanakan tugas khalifahMu didunia ini dan alat bagiku mengutip redhaMu bagi bekalan untuk akhirat nanti.
Suamiku yang ku sayangi, kau harus sedar, diriku bukanlah milikmu sayang. Kita adalah milik Ya Malik dan Ya Kholiq. Oleh itu diriku tidak mampu untuk menghambakan diri kepadamu suamiku, kerana diriku hanyalah hamba kepada Tuhan yang menciptakanku dan Tuhan yang telah memberikan seluruh kasih dan sayangNya kepada diriku selama ini.
Suamiku yang ku sayangi, apa yang diriku lakukan kepadamu hanyalah kerana Dia Ya Rahman dan Ya Rahim dan Ya Wadud. Sesungguhnya suamiku sayang, kasih sayangmu, cintamu selama ini kepada diriku adalah sesungguhnya cinta dari Ya Wadud, kasihsayangmu adalah kasih sayang dari Ya Rahman dan Ya Rahim kepada diriku. Oleh itu diriku harus membalas cinta Allah itu dengan taat dan patuh kepadaNya dengan sepenuh hatiku.
Maafkanku suamiku sayang, diriku tidak mampu mencintaimu dan mengasihimu melebihi Tuhanku kerana Dia menyayangiku setiap masa, ketika diriku muda dan jelita dan ketika diriku tua dan tidak menawan lagi. Dia mencintaiku ketika kau suamiku akan melupaiku satu ketika nanti, ketika kau sudah tidak merasa diriku menawan dan menarik lagi, tetapi Dia Ya Wadud yang Maha Pencinta tetap mencintaiku dari dunia hingga akhirat walau bagaimana keadaanku sekalipun. Namun suamiku, diriku tetap menyayangimu kerana kau telah mengikut petunjukNya bagi mencintaiku dan melindungiku selama ini.
Suamiku sayang, sedarlah bahawa diriku hanya diutuskan oleh Allah kepadamu untuk kau membalas cinta kepadaNya dan Dia Ya Mani’ Yang Maha Mencegah telah menciptaku sebagai isterimu agar dapat membantumu memelihara dirimu daripada dosa dan lalai kepadaNya kerana Dia mahu kau sentiasa taat dan patuh kepadaNya, kerana dengan taat dan patuh kepadaNya sahajalah yang akan menjamin kebahagiaan hakiki di hari kemudian nanti.
Oleh itu suamiku sayang, sesungguhnya kita ini diciptakan oleh Ya Malik dan dipunyai olehNya dan kita akan kembali kepada Ya Mu’id Yang Mengembalikan dan Dia Ya Muhshi Yang Maha Menghitung akan menghitung setiap perbuatan kita didunia ini untuk diberikan balasan di akhirat nanti. Oleh itu suamiku, marilah kita bersama-sama berjalan diatas permaidani makrifatullah dengan bergantung sepenuhnya kepada Dia Ya Rahman dan Ya Rahim yang sentiasa menyayangi dan mengasihi kita.
No comments:
Post a Comment