~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Friday, September 26, 2008

Siapakah Diri Suamiku?


Assalamualaikum semua, kita sambung lagi bicara kita untuk menjadi isteri cemerlang dengan mengenal siapa suami kita..

Siapakah Diri Suamiku?

Ya Malik, Engkau Sesungguhnya Raja yang Maha Memiliki seluruh makhluq di alam ini dan suamiku adalah milikMu sepenuhnya. Dia adalah hamba kepadaMu ya Kholiq ya Malik. Dia bukan milikku ya Allah. Dia milikMu dan Engkau Ya Muqtadir Yang Maha Menentukan akan tetap menentukan urusan dan kesudahan suamiku.

Suamiku yang ku sayangi, Diriku sesungguhnya tidak memilikimu, dan tidak wajar bagiku merasa kau milikku dan merasa kau tidak akan diambil oleh Allah.

Suamiku yang ku sayangi, sesungguh kau diciptakan oleh Allah Ya Muhaimin Yang Maha Memelihara untuk mewakiliNya bagi melindungi isterimu ini. Kau diciptakan oleh Ya Haadi, Yang Maha Memberi Petunjuk agar kau mampu memberi petunjuk, memimpin dan membimbing isterimu ini kearah Jalan Allah. Kau juga diciptakan oleh Ya Mani’ yang Maha Mencegah dan Ya Roqib, yang Maha Mengawasi agar kau mampu menjaga, mengawasiku dan mencegahku daripada dosa agar diriku sentiasa taat kepada Engkau Ya Afuw Ya Maha Pemaaf.

Suamiku yang ku sayangi, sesungguhnya kau diciptakan oleh Ya Razak Yang Maha Memberi Rezeki, Ya Ghoniy Yang maha Kaya, Ya Mughni Ya Maha Memberi Kekayaan, Ya Nafi’ Yang Maha Memberi Manafaat untuk kau berusaha bagi mendapatkan kebaikan dan manafaat dunia ini untuk menampung kehidupan keluarga kita agar dengan kehidupan yang sejahtera dapat mewujudkan rasa aman dan bahagia bagi membolehkan kita sekeluarga mengabdikan diri kepada Ya Wahid yang Maha Esa dan kepada Ya Mutakabbir yang Maha memiliki segala kebesaran.

Suamiku sayang, Dia Ya Mumit yang Maha Mematikan mungkin akan mengambil nyawamu pada bila-bila masa. Dia Ya Waaliy yang Maha Mengatur segala urusan mungkin akan mengambilmu dan diserahkan kepada wanita lain dan sekiranya itu ketentuanNya yang Maha Menentukan, diriku tetap redha kepadaMu Ya Muqtadir seperti redhanya Nabi Ismail ketika ingin dikorbankan oleh ayahnya Nabi Ibrahim, kerana sesungguhnya redha kepada ketentuanMu adalah bukti kecintaan sepenuhnya kepada Engkau Ya Dzal Jalali Wal Ikram Yang Maha Memiliki Kebesaran dan Kemuliaan. Namun, diriku tidak perlu bimbang dan gusar sama sekali, kerana Engkau Ya Rahman Ya Rahim Ya Wadud sesungguhnya sentiasa ada disampingku, sentiasa mengatur urusanku dan melindungiku dengan sifat Ya Waaliy dan sifat ya MuhaiminMu.

Ya Rahman Ya Rahim, Kau mungkin mengambil suamiku daripadiriku hanya kerana ingin membuktikan kasih dan sayangMu kepada diriku, kerana diriku pasti akan menadah tangan memohon, merayu dan merintih kepadaMu Ya Hafidz yang Maha Melindungi, Ya Muhaimin ya Maha Memelihara agar membantuku dan melindungiku dan menyerahkan seluruh harapan dan pergantungan kepadaMu Ya Ghoniy Yang Maha Kaya dan diriku pasti akan memohon kepadaMu Ya Basith yang Maha Melapangkan hidup agar Engkau melapangkan hidupku. Sesungguhnya Engkau mencintai hambaMu yang menadah tangan memohon kepadaMu kerana Engkau mempunyai segala kebesaran dan kemuliaan itu.

Tetapi Ya Rahman, Ya Rahim dan Ya Wadud, diriku yakin dengan kasih sayang dan cintaMu yang melimpah ruah, Kau mampu mencurahkan sedikit cintaMu dari sifat Ya wadudMu kepada suamiku agar dia tetap menyayangiku didunia ini, walaupun diriku sudah tidak menawan lagi dimata kasarnya, kerana keindahan dan kecantikan itu sesungguhnya lahir daripada Engkau Ya Badi’ Yang Maha Mencipta Keindahan dan Ya Barr Yang Maha Baik dan Ya Halim yang Maha Penyantun. Diriku mohon kepadaMu agar kau curahkanlah sedikit sifat Badi’Mu, BarrMu dan HalimMu kepada ku agar diriku dapat mengindahkan dan menyantunkan diri dan akhlaqku disisi suamiku. Diriku memohon kepadaMu ya Hafidz dan ya Muhaimin agar dia tetap melindungiku dan tidak meninggalkanku di dunia ini. Dan diriku yakin, kau Ya Mujib yang Maha Mengabulkan akan mengabulkan doa dan rayuan hambaMu yang lemah dan tidak berdaya ini. Sesungguhnya Engkaulah Ya Matin, tempat yang paling teguh yang diriku bergantung sepenuhnya dan Engkaulah Ya Samad, tempat meminta dan tempatku curahkan dan luahkan permintaanku didunia ini.

Kita bersambung lagi..

Wednesday, September 24, 2008

Tips Menjadi Isteri Cemerlang Melalui Penghayatan Asma Ul Husna

Assalamualaikum sahabat,

Kini kita akan mula menggunakan Asma Ul Husna Didalam Kehidupan seharian kita. Saya mulakan dengan isteri kerana terlalu ramai isteri yang sedang menderita hari ini dan insyaAllah kita akan teruskan dengan Anak, Pekerja dan semuanya. Semoga Allah memanjangkan umur kita untuk berkongsi Ilmu dari Ya Alim.


Siapakah Diriku?

Sesungguhnya Engkau Ya Kholiq (Yang Maha Pencipta) yang telah menciptakan diriku daripada tanah yang hina dan kemudian dari air mani yang juga hina, dari tiada kepada ada. Engkau Ya Kholiq Yang Maha Pencipta dan Ya Malik Yang Maha Berkuasa dan Raja Yang Memiliki Segala Isi Langit dan Bumi telah ciptakanku dan sesungguhnya diriku hanya ciptaanMu dan hambaMu yang dulunya tiada dan kini ada.

Engkau Ya Wahhab Yang Maha Pemberi telah memberikanku segala kesempurnaan tubuh badan, pakaian, rezeki dan juga Engkau Ya Wadud Yang Maha Pencinta telah mengurniakan CintaMu kepada suamiku dan diriku, yang dengan rasa CintaMu itulah kami membina rumahtangga ini sehingga kehari ini.

Sesungguhnya diriku adalah seorang isteri yang Engkau kurniakan sedikit WadudMu (CintaMu) untuk ku curahkan kepada suamiku demi melaksanakan tugas KhalifahMu di dunia ini. Engkau telah menugaskan diriku sebagai seorang isteri agar memberikan cinta yang tulus yang telah Engkau, Ya Jalil Yang Maha Tulus dan Ya Quddus Yang Maha Suci ilhamkan kepada diriku.

Dengan sedikit WadudMu, JalilMu dan QuddusMu inilah, diriku melayarkan bahtera rumahtangga dan denganNya lah diriku menghadapi segala gelombang dan badai yang sentiasa Engkau, Ya Rahman. Ya Rahim berikan. Kerana dengan menghadapi gelombang dan badai inilah, kami akan bangkit dengan kekuatanMu Ya Aziz Yang Maha Perkasa, Ya Qawwiy Yang Maha Memiliki Kekuatan dan Ya Matin Yang Maha Sempurna Kekuatan dan Maha Teguh untuk membina satu rumahtangga yang padu dan kuat bagi melahirkan dan membina generasi hambaMu yang taat dan patuh kepadaMu.

Ya Allah, Ya Mani’ Yang Maha Mencegah, Engkau telah menjadikan diriku seorang isteri yang Engkau tugaskan untuk menjadi wakilMu bagi mencegah suamiku daripada melakukan dosa dan lalai kepadaMu. Perasaan cemburu, sayang dan rindu yang Engkau Ya Rahman Ya Rahim berikan kepada diriku yang lahir dari sifat Ya WadudMu itu adalah semata-mata untuk mencegah suamiku daripada tergelincir daripada landasan fitrahMu. Diriku harus menggunakan perasaan itu sebaik mungkin agar tidak bercampur dengan bisikan nafsu dan syaitan yang hanya ingin memecahkan rumahtangga yang terbina daripada Ya Rahman, Ya Rahim dan Ya WadudMu Ya Allah.

Ya Allah, Ya Malik, Sesungguhnya Engkau adalah Raja yang memiliki diriku ini. Diriku milikmu ya Allah, segala apa yang ada pada diriku ini, kecantikanku, kesihatanku, hartaku, wangringgitku hatta suamiku dan anak-anakku adalah milikMu sepenuhnya. Diriku sedar Engkau akan mengambil semuanya itu daripada diriku pada bila-bila masa, dan diriku tidak seharusnya merasa sedih dan kecewa kerana sesungguhnya ianya bukan milikku, Engkau Ya Maha Pemberi telah memberikannya kepada diriku sebagai amanah dan pinjaman untukku melaksanakan tugas khalifahMu didunia ini dan alat bagiku mengutip redhaMu bagi bekalan untuk akhirat nanti.

Suamiku yang ku sayangi, kau harus sedar, diriku bukanlah milikmu sayang. Kita adalah milik Ya Malik dan Ya Kholiq. Oleh itu diriku tidak mampu untuk menghambakan diri kepadamu suamiku, kerana diriku hanyalah hamba kepada Tuhan yang menciptakanku dan Tuhan yang telah memberikan seluruh kasih dan sayangNya kepada diriku selama ini.

Suamiku yang ku sayangi, apa yang diriku lakukan kepadamu hanyalah kerana Dia Ya Rahman dan Ya Rahim dan Ya Wadud. Sesungguhnya suamiku sayang, kasih sayangmu, cintamu selama ini kepada diriku adalah sesungguhnya cinta dari Ya Wadud, kasihsayangmu adalah kasih sayang dari Ya Rahman dan Ya Rahim kepada diriku. Oleh itu diriku harus membalas cinta Allah itu dengan taat dan patuh kepadaNya dengan sepenuh hatiku.

Maafkanku suamiku sayang, diriku tidak mampu mencintaimu dan mengasihimu melebihi Tuhanku kerana Dia menyayangiku setiap masa, ketika diriku muda dan jelita dan ketika diriku tua dan tidak menawan lagi. Dia mencintaiku ketika kau suamiku akan melupaiku satu ketika nanti, ketika kau sudah tidak merasa diriku menawan dan menarik lagi, tetapi Dia Ya Wadud yang Maha Pencinta tetap mencintaiku dari dunia hingga akhirat walau bagaimana keadaanku sekalipun. Namun suamiku, diriku tetap menyayangimu kerana kau telah mengikut petunjukNya bagi mencintaiku dan melindungiku selama ini.

Suamiku sayang, sedarlah bahawa diriku hanya diutuskan oleh Allah kepadamu untuk kau membalas cinta kepadaNya dan Dia Ya Mani’ Yang Maha Mencegah telah menciptaku sebagai isterimu agar dapat membantumu memelihara dirimu daripada dosa dan lalai kepadaNya kerana Dia mahu kau sentiasa taat dan patuh kepadaNya, kerana dengan taat dan patuh kepadaNya sahajalah yang akan menjamin kebahagiaan hakiki di hari kemudian nanti.

Oleh itu suamiku sayang, sesungguhnya kita ini diciptakan oleh Ya Malik dan dipunyai olehNya dan kita akan kembali kepada Ya Mu’id Yang Mengembalikan dan Dia Ya Muhshi Yang Maha Menghitung akan menghitung setiap perbuatan kita didunia ini untuk diberikan balasan di akhirat nanti. Oleh itu suamiku, marilah kita bersama-sama berjalan diatas permaidani makrifatullah dengan bergantung sepenuhnya kepada Dia Ya Rahman dan Ya Rahim yang sentiasa menyayangi dan mengasihi kita.

Tuesday, September 2, 2008

Apakah Persiapan Allah kepada Manusia Untuk Melaksanakan tugas khalifah?

Assalamualaikum sahabat2, anak2 dan adik2. Semoga kuatkan azam untuk memenuhkan bakul dengan pahala dan redha Allah sepanjang bulan yang mulia ini.

Saya ingin menyambung bicara tentang apakah persiapan Allah kepada manusia agar manusia mampu melaksanakan amanah khalifah di mukabumi ini. Manusia sesungguhnya adalah hamba yang tidak mempunyai apa2 pun. Allah lah yang mengurniakan dengan mengilhamkan kepada jiwa jalan ketaqwaan. Jalan ketaqwaan itu adalah sedikit sifat2 Asma ul Husna Allah agar manusia dapat melakukan kebaikan di dunia ini. Sesungguhnya manusia diilhamkan oleh Allah dengan sifat Ar-Rahman (Pengasih) dan Ar-RahimNya (Penyayang) kepada seorang ibu yang memberi kasih sayang Allah itu pula kepada anak2. Oleh itu Allahlah yang layak dibalas dan dipuji sesungguhnya atas kasihsayang itu, bukan ibu kerana kasihsayang itu bukan milik ibu tetapi milik Allah, dan ibu menggunakan amanah itu untuk menjalankan tugas khalifah yang diamanahkan iaitu menjaga dan memelihara anak2nya. Begitu juga Allah memberikan sifat Ar-RazakNya kepada majikan2 yang memberikannya pula kepada pekerja2nya dalam bentuk gaji. Sesungguhnya majikan itu telah menzahirkan sifat Ar-Razak (Pemberi Rezeki) Allah. dan sesungguhnya gaji itu datangnya dari Allah dan Allahlah yang selayaknya disyukuri dan diucapkan terima kasih, bukan majikan. Majikan hanya mengutip pahala2 dariNya dengan memberikan gaji kepada pekerjanya. Begitu juga ilmu yang diberikan guru adalah sifat Al-Alim Allah, Yang Maha Berilmu, bukan ilmu yang berasal dari guru sesungguhnya. Oleh itu siapa yang harus kita syukuri dan ucapkan terima kasih? Tentulah pemilik ilmu itu bukan! Iaitu Allah Ya Alim.
Begitulah kita melihat dengan mata hati apa yang diberikan oleh manusia disekeliling kita yang merupakan hamba dan khalifah Allah Yang Maha Adzim (Agung). Tidak sedikitpun datangnya dari manusia, tetapi semua milik Allah. Pemberian sifat dan anugerah Allah ini adalah amanah untuk melakukan kebaikan sesama manusia, bukan untuk menjadi milik sendiri, bukan untuk kepentingan diri sendiri, bukan untuk bermewah2an dan bukan untuk dibazirkan dan disia-siakan. Setiap amanah hatta tubuhbadan kita juga akan ditanya oleh PemilikNya Ya Malik bagaimana ianya digunakan untuk mengutip pahala2 dan redha ALlah yang sesungguhnya Maha Pemurah.
Namun tidak semua manusia mampu melihat bahawa didalam dirinya terdapat sifat2 Allah yang dipinjamkan Allah untuk menguruskan alam ini, sepertimana Allah meminjamkan sifat An-Nur kepada matahari untuk memberi cahaya kepada manusia. Begitulah ALlah memberi sifat2 seperti Al-Adl (Adil), Al-Mukmin (Jujur), Al-Muhaimin (Memelihara/Menjaga), Al-Khaliq (Merekacipta), Al-Baari (Merancang), Al-Musowwir (Kreatif) dan lain2 lagi yang terdapat dalam 99 sifat dan nama Asma ul Husna Allah.

Renung-renunglah sahabat2, siapa kita? Apa yang dimiliki oleh kita ini milik siapa? Untuk apa Allah memberinya? Tanya suara hati, dimana sifat jujur, sifat adil, sifat tegas, sifat lembut, sifat pemaaf, sifat perkasa, sifat kreatif yang dipinjamkan Allah kepadamu..
Jika tidak mampu melihat dan merasa, mohonlah dengan Allah Yang Maha Pemberi (Ya Wahhab).

Sekian dulu buat coretan hati kali ini.Semoga beroleh damai dijiwa...
Wassalam