~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Saturday, March 6, 2010

Mewujudkan Kebahagiaan keluarga melalui penghayatan Asmaul Husna (15)

YAKIN DAN REDHA DENGAN REZEKI ALLAH YA RAZAQ MEMBUAT JIWA KAYA


Wanita yang disayangi,

Dalam kehidupan yang mencabar pada hari ini, kita seringkali merasakan tidak cukup dengan apa yang ada yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Keperluan harian makin bertambah, tetapi rezeki Allah seringkali dirasakan tidak mencukupi menampung keperluan hidup. Sesungguhnya rezeki itu hanya datang dari Allah Ya Razaq dan pasti mencukupi keperluan kita, cuma kadang-kadang rezekiNya tidak sepertimana yang dikehendaki oleh hawa nafsu kita.


Wanita yang dikasihi,

Sesungguhnya hidup kita pada hari ini sudah banyak dibentuk oleh orang-orang kafir. Keperluan hidup seringkali dicipta oleh orang-orang kafir yang akan membuatkan hati kita sesak jika tidak memilikinya. Seperti television, kereta, perabot rumah dan sebagainya sudah dianggap sebagai satu keperluan hidup umpama sudah wajib dipunyai, jika tidak tidak dapat hidup atau merasa gelisah dan merasa sangat susah. Sesungguhnya wanita sekalian, keperluan kebendaan itu tidaklah sepenting keperluan ibadah kepada Allah dan melakukan kebaikan kepada manusia kerana benda atau material itu akan ditinggalkan ketika kita mati, tetapi amal ibadah dan amal soleh akan berterusan pahalanya hingga ke akhirat. Oleh itu sekiranya merasa tidak cukup kebendaan, didiklah hati untuk redha, didiklah jiwa untuk menerima cara hidup sederhana dan didiklah jiwa untuk sentiasa bersyukur kepada Allah atas nikmatNya yang melimpah ruah yang seringkali kita lupa iaitu nikmat menjadi orang Islam, nikmat mengenali iman dan nikmat udara dan nikmat kesihatan yang kurniakan Allah sehingga kita mampu bernafas lagi. Seringkali sifat membanding-bandingkan antara kita menjadikan diri sentiasa rasa tidak cukup dari segi material dan seringkali jiwa ini kesal dengan ketidakcukupan pemberian Allah sehingga lupa segala pemberian yang tidak nampak dengan mata kepala kita. Oleh itu sentiasalah melihat dengan mata hati agar hati akan redha, syukur dan tenang dalam menerima ketentuan Allah Ya Muqtadir dan rezeki Allah Ya Razaq.


Wanita yang disayangi,

Sesungguhnya rezeki yang paling baik adalah syurga di akhirat kelak kerana ianya merupakan nikmat yang teramat hebat dan kekal abadi, sedangkan nikmat dunia ini terlalu sedikit dan tidak kekal, semuanya akan musnah dan ditinggalkan.


Wanita yang dihormati,

Dalam kita menerima dan menikmati rezeki Allah juga, hendaklah kita jangan lupa dan kikir mengeluarkan sebahagian untuk disedekahkan kepada golongan yang memerlukan temasuk fakir miskin, anak yatim, jihad fil sabilillah dan sebagainya tanda rasa syukur.


Wanita yang dikasihi,

Marilah kita sentiasa menadah tangan mengharapkan rezeki Allah Ya Razaq semata-mata. Sesungguhnya yang memberikan rezeki itu hanyalah Allah Ya Razaq Yang Maha Memberi Rezeki. Makhluq hanyalah wakilNya dalam menyampaikan pemberianNya itu. Beberapa tips untuk mudah mendapat rezeki Allah Ya Razaq adalah seperti berikut:


1) Sebutlah nama Allah Ya Razaq sebanyak-banyaknya sambil berbicara dengan Allah Ya Razaq:


“Ya Allah Ya Razaq Yang Maha Memberi Rezeki, Engkaulah yang memberi rezeki kepada setiap yang berada di langit dan di bumi ini sesungguhnya. RezekiMu tidak pernah berhenti dan tidak bertepi. Namun kamilah hambaMu yang jarang kali merenungi dan mensyukuri setiap rezekiMu yang Kau alirkan buat diri kami sejak kami kecil hingga dewasa ini. Kami ingin memohon kepadaMu ya Allah hati yang sentiasa mensyukuri setiap nikmatMu, hati yang redha dengan setiap pemberianMu, hati yang mampu merenungi akan setiap anugerahMu walaupun ianya tidak mampu dilihat dengan mata kepala kami. Kami juga ingin memohon kepadaMu Ya Allah Ya Razaq Ya Muqitt, Allah Yang Maha Memberi Rezeki dan Maha Mencukupkan, cukupkanlah rezekiMu buat kami di dunia ini agar kami mampu mensyukuri nikmatMu, agar kami mampu mengabdikan diri kepadaMu dan kami mampu untuk menjalankan amanahMu di dunia ini. Kami juga ingin memohon kepadaMu rezekiMu yang di akhirat yang mana rezekiMu di akhiratlah yang lebih baik dan kekal abadi.”


2) Mohonlah berulang-ulang dengan diiringi solat dan sabar. Sesungguhnya Allah mengurniakan setiap rezeki dan kebaikan mengikut waktu yang sesuai yang hanya Allah yang mengetahuinya. Jangan sesekali putus asa, teruskan memohon sambil membuat kebaikan dan perintahNya dengan hati yang ikhlas dan sabar.

3) Kemudian, renungi setiap pemberian Allah samada melalui diri kita sendiri atau melalui orang lain yang menjadi wakil Allah Ya Razaq. Syukuri setiap pemberianNya walaupun tidak sepertimana yang kita harap dan gambarkan. Setiap pemberianNya sudah pasti ada kebaikan dan hikmah untuk diri kita.


Wanita yang dihormati,

Sesungguhnya bergantung kepada rezeki Allah Ya Razaq lebih utama dan lebih baik dari meminta-minta dengan makhluq yang juga merupakan hamba seperti kita yang sama-sama bergantung kepada Allah jua. Sekiranya bantuan datang dari seseorang tanpa diminta-minta, itulah bantuan dan rezeki Allah Ya Razaq Yang Maha memberi rezeki dan bantuan Allah Ya Wahhab Yang Maha Memberi bantuan. Jangan lupa kunci menjadi seorang hamba terletak pada rasa redha dan syukur kepada Tuhan yang Maha menciptakan dan Maha memberi, yang akhirnya membuat jiwa merasa cukup dan merasa kaya kerana rasa bahagia yang dialirkan Allah ke dalam jiwa kita.

Friday, March 5, 2010

Mewujudkan Kebahagiaan keluarga melalui penghayatan Asmaul Husna (14)


BERTEMANKAN ALLAH YA WAHHAB MENJADIKAN HIDUP MUDAH DAN SENANG


Wanita yang disayangi,
Sesungguhnya kehidupan ini dicipta Allah penuh dengan ujian dan ianya datang dan dibentangkan satu persatu sehinggalah kita menemui kematian yang merupakan penghujung kehidupan di dunia dan permulaan kehidupan yang kekal abadi di akhirat. Ujian-ujian ini dibentangkan dan disusun oleh Allah demi untuk mengetahui siapakah diantara hambaNya yang berjihad, bersyukur dan bersabar.


Wanita yang dikasihi,
Sesungguhnya kita ini hamba yang lemah dan tidak berdaya dan sangat bergantung harap kepada Allah yang Maha Kaya dan Maha Berkuasa. Dalam menempuh ujian-ujian kehidupan yang sangat mencabar, kita harus bergantung harap dan memohon pertolongan dari Allah Ya Wahhab Yang Maha Menolong dan Membantu. Sudah tentu sebagai seorang hamba, kita tidak akan mampu melakukan sendiri dengan keupayaan yang sangat terhad yang seringkali membawa kepada kegagalan. Oleh itu memohon pertolongan Allah sangat penting dan sangat perlu dan dengan sifatnya Yang Maha Membantu, sudah tentu pertolongannya akan datang dengan tidak disangka-sangka pada masa yang sesuai yang telah ditentukanNya.


Wanita yang dikasihi,
Marilah kita merendah diri di hadapan Allah dan mengakui akan lemah dan tidak berdayanya kita seperti diajar Allah kepada kita “Laa haulawala quwwata illa billa hil alim lil adzim” yang bermaksud tidak ada daya upaya melainkan dengan kekuatan, ketinggian dan keagungan Allah. Dengan mengakui akan diri ini hanyalah hamba yang tidak berupaya dan sentiasa menadah tangan memohon pertolongan Allah Ya Wahhab, sudah pasti Allah akan mendengar dan memakbulkan kerana Dia Allah Ya Sami’ Yang Maha Mendengar dan Allah Ya Mujib Yang Maha Mengabulkan. Allah juga mengajar kita agar kita bermohon diiringi dengan solat dan sabar.

Wanita yang dihormati,
Beberapa tips penghayatan Asmaul Husna yang boleh digunakan dalam mendapatkan pertolongan Allah.


1) Bacalah nama Allah Ya Wahhab sebanyak-banyaknya ketika ingin memohon pertolongan sambil berbicara dengan Allah:

“Ya Allah Ya Wahhab, sesungguhnya Engkau yang Maha Membantu dan Maha Penolong, daku ini hambaMu yang sangat lemah dan tidak berdaya merintih, merayu dan memohon kepadaMu akan pertolonganMu. Daku yakin dengan kekuasaanMu Allah Ya Jabbar, Kasih SayangMu Allah Ya Rahman Ya Rahim, kemuliaanMu Allah Ya Karim dan KekayaanMu Allah Ya Ghoniy dan seluruh jiwa berada di dalam genggamanMu Ya Malik, sudah tentu Engkau akan membantuku dalam menghadapi masalah hidupku ini.”


2) Renungilah pertolongan Allah yang datang samada melalui hamba2Nya atau melalui ilham ke dalam hati kita dan ikutlah petunjuk Allah dan lakukan arahanNya, nescaya akan datanglah bantuanNya tanpa disangka-sangka. Seringkali juga Allah Ya Wahhab menghantar wakilNya sebagai pembantu kita yang terdiri daripada manusia yang suka membantu dan dialirkan semangat ingin membantu dengan disertakan keupayaan untuk membantu. Tetapi sesungguhnya lihatlah dengan mata hati yang membantu itu adalah Allah Ya Wahhab, manusia hanyalah wakilNya sahaja. Pertolongan Allah juga seringkali tidak seperti yang kita minta dan sangka, kerana Dia lebih mengetahui yang terbaik untuk kita, sedangkan kita tidak mengetahuinya.


3) Setelah mendapat pertolongan Allah, ucaplah kesyukuran kepadaNya dengan cara menambahkan amal ibadah kepadaNya dan melakukan kebaikan kepada orang lain. Redhalah dengan pertolonganNya walaupun tidak seperti mana yang kita inginkan. Fikirkan kebaikan dan hikmah disebalik semua pertolongan Allah Ya Wahhab.



Wanita yang dihormati,
InsyAllah dengan sentiasa bergantung kepada Allah Ya Wahhab sambil menyebut-nyebut namaNya, bantuan Allah pasti akan tiba pada masa dan bentuk yang sesuai yang hanya Dia yang mengetahuinya dan menentukannya. Tugas kita sebagai seorang hamba hanyalah bermohon kepadaNya dengan bersungguh-sungguh dan penuh yakin ianya akan dimakbulkan. Susuli setiap permohonan dengan solat dan sabar demi mematuhi arahanNya dan tanda kita beradab dengan Allah s.w.t.

Saturday, February 27, 2010

Mewujudkan Kebahagiaan keluarga melalui penghayatan Asmaul Husna (13)


TUNDUKKAN NAFSU DAN KESOMBONGAN DENGAN BANTUAN ALLAH YA QOHHAR

Wanita yang disayangi,

Dalam hubungan kita dengan manusia, kita akan berjumpa dengan manusia yang sombong, ego dan suka meninggi diri. Punca seseorang menjadi demikian kerana tidak mampu menundukkan hawa nafsu dan bisikan syaitan yang sering membisikkan ilham kefasikan dan kejahatan di dalam hati manusia. Sekiranya kita tidak berlindung dengan Allah, maka kita mudah akan terkena penyakit ini dan penyakit sombon dan ego ini hanya akan membinasakan seseorang di dunia dan akhirat. Allah memberi amaran agar jangan berlagak sombong.


Wanita yang dikasihi,

Kesombongan yang paling utama yang perlu dijauhi ialah kesombongan kepada Allah yang menciptakan kita dan yang memberikan kasih sayang dan rezeki yang melimpah ruah yang tidak pernah berhenti dan tidak bertepi. Tanda seseoang itu sombong kepada Allah ialah ketika dia tidak mahu tunduk kepada perintahNya dan menjauhi laranganNya. Marilah kita sama-sama mengelakkan diri daripada sombong kepada Allah dengan bicara hati berikut:

“ Ya Allah Ya Qohhar Yang Maha Menundukkan, tundukkan jiwaku kepadaMu ya Allah agar jiwa ini mampu menjadi hamba kepadaMu dan melakukan ibadah kepadaMu serta mampu menjauhi segala laranganMu dengan hati yang ikhlas”

Selain kesombongan kepada Allah, kita juga sering dilintasi rasa sombong dan ingin membangga diri sesama kita terutama ketika dikurniakan rezeki melimpah ruah oleh Allah Ya Razaq. Untuk mengelakkan rasa sombong, gunakan tips bicara hati berikut:

“Ya Allah Ya Qohhar Yang Maha Menundukkan, tundukkan kesombongan dan ego yang ada di hati ini kerana sifat sombong itu adalah selendangMu yang hanya Engkau sahaja yang layak memakainya. Daku ini hanyalah hambaMu yang sentiasa memerlukanMu dan bergantung kepadaMu. Apa yang ada pada diriku ini semuanya milikMu Ya Allah Ya Malik Yang Maha Memiliki dan Engkau memberi dan mengambil pada bila-bila masa sekehendakMu.”

Wanita yang disayangi,

Ketika kita berhadapan dengan orang yang sombong, seharusnya kita berserah diri kepada Allah Ya Qohhar yang Maha menundukkan, Ya Latiff Yang Maha Melembutkan dan Ya Malik Yang Maha Membalik-balikkan hati. Ikutilah tips berikut dalam kita menghadapi orang yang sombong dan ego:


1) Bacalah Allah Ya Qohhar yang Maha menundukkan, Ya Latiff Yang Maha Melembutkan dan Ya Malik Yang Maha Membalik-balikkan hati sebanyak-banyaknya sambil berdoa:

“Allah Ya Qohhar yang Maha menundukkan, Ya Latiff Yang Maha Melembutkan dan Ya Malik Yang Maha Membalik-balikkan hati, hambaMu itu sesungguhnya dalam genggamanMu, hatinya adalah milikMu dan Engkau mampu membalik-balikkan hatinya sekehendakMu. Daku ini hambaMu yang lemah tidak mampu berhadapan dengan kesombongan orang ini, maka mohonlah Engkau Ya Qohhar tundukkan ego dan kesombongannya, mohonlah Engkau Ya Latif, lembutkan hatinya yang keras itu dan mohonlah Ya Malik, balik-balikkan hatinya untuk bertolak ansur dan merendah diri agar kami dapat melakukan kebaikan sesama kami.”


2) Setelah dibaca, maka perhati dan renungilah perubahan dan perkara yang berlaku, syukurlah kepada Allah sebanyak2nya atas kurniaan dan bantuanNya. Seringkali Allah akan mengatur lidah kita untuk memperkatakan sesuatu yang akan menundukkannya, diaturnya kelembutan tingkah laku dan percakapan kita yang mampu melembutkan hatinya dan membalik2kan hati kita untuk bertolak ansur dan memaafkan.


3) Setelah dia mula tunduk dan lembut, maka layanlah dengan baik dan teruskan berdoa kepadanya:

“Ya Allah Ya Haadi Yang Maha Memberi Hidayah, Bimbingan dan Petunjuk, bimbinglah hambaMu ini agar dia menjadi seorang yang berakhlaq mulia. Alirkan kedalam dirinya sifatMu Al-Majid Yang Berakhlaq Mulia agar dia mampu berakhlaq mulia dan kami mampu bekerjasama dengan baik”.

InsyaAllah, dengan kita menyerahkan urusan kepada Allah, tentulah Allah mampu melakukannya terutama perkara-perkara yang tidak mampu dilakukan oleh manusia, hanyalah Dia yang Maha Mampu. Kita tidak mampu menundukkan ego, tetapi Dia Ya Qohhar mampu menundukkannya. Bukan setakat ego, matahari dan binatang buas pun Allah Ya Qohhar mampu menundukkan, apatah lagi hati-hati hamba2Nya yang Dia memilikinya.

Wednesday, February 24, 2010

Mewujudkan Kebahagiaan keluarga melalui penghayatan Asmaul Husna (12)


href="file:///C:%5CDOCUME%7E1%5CFIEYSA%7E1%5CLOCALS%7E1%5CTemp%5Cmsohtmlclip1%5C01%5Cclip_filelist.xml">href="file:///C:%5CDOCUME%7E1%5CFIEYSA%7E1%5CLOCALS%7E1%5CTemp%5Cmsohtmlclip1%5C01%5Cclip_colorschememapping.xml">

BERILAH KEMAAFAN KERANA IANYA MEMBAHAGIAKAN JIWA

Wanita yang disayangi,

Manusia ini sering melakukan kesilapan dan kesalahan dalam apa sahaja yang dilakukannya. Itu sifat ketidaksempurnaan manusia berbanding dengan Allah Ya Quddus Yang maha Suci lagi Maha Sempurna. Kelemahan dan kejahilan serta kehinaan manusia ini menuntut manusia untuk sentiasa menadah tangan kepada Allah Ya Affuw, Ya Ghaffur dan Ya Tawwab iaitu Allah Ya Maha Pemaaf, Maha Pengampun dan Maha Menerima Taubat.


Memohon keampunan dari Allah sangat penting kerana jiwa yang kembali kepada Allah dengan hati yang kotor sudah pasti tidak akan mendapat redhaNya dan tempat kembalinya adalah tempat kembali yang sangat buruk iaitu api neraka Allah yang menyala-nyala. Marilah sama-sama kita membersihkan jiwa daripada kekotoran dosa atas kesalahan-kesalahan yang kita lakukan agar kita mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Marilah kita berbicara dengan Allah sambil memohon belas kasih dan keampunanNya.

“Ya Allah Ya Affuw, Ya Ghaffur dan Ya Tawwab, Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pemaaf, Pengampun dan Penerima Taubat dan Engkau mengampuni dosa hamba2Mu seluas buih di lautan dan setinggi gunung. HambaMu ini sering melakukan dosa kepadaMu Ya Allah dan ingin memohon, merintih dan merayu kepadaMu akan kemaafanMu, keampunanMu dan terimalah taubatku. Daku sesungguhnya bertaubat dengan bersungguh-sungguh daripada setiap dosa dan kemaksiatan.”

Wanit a yang dikasihi,

Kemaafan bukan hanya perlu diminta daripada Allah, tetapi juga sesama manusia. Kita seringkali juga melakukan kesilapan kepada manusia lain samada kita sedar atau tidak. Kadang-kadang ketelanjuran lidah kita menyakitkan hati manusia lain dan kadang-kadang tingkah laku dan perbuatan kita menyebabkan manusia lain tersinggung. Oleh itu hendaklah kita memohon maaf dan dalam masa yang sama menyedari dan menerima hakikat manusia tidak sempurna dan sering melakukan kesalahan, maka maafkanlah kesalahan manusia lain terhadap kita. Selain memaafkan orang lain, haruslah kita berdoa agar Allah memberikan hidayah kepada seseorang yang telah melakukan kesalahan agar mereka menyedari akan kesalahan yang mereka lakukan.

Wanita yang dihormati,

Berikut adalah beberapa tips bagaimana menjadi seorang yang pemaaf dan bersih hati:

1) Bacalah sebanyak-banyaknya nama Allah Ya Affuw Yang Maha Pemaaf, sambil berdoa kepada Allah:

“Ya Allah Ya Affuw, Engkaulah Tuhan Yang Maha Pemaaf, Engkau begitu mudah memaafkan hamba2Mu walau apa pun kesalahan yang dilakukan. Daku ini hambaMu yang lemah sering kalah dengan bisikan hawa nafsu dan syaitan dan seringkali berat untuk memaafkan sesama kami walaupun kesalahan itu kadang kalanya terlalu sedikit. Oleh itu Ya Allah Ya Affuw, alirkanlah sifat Al-Affuw Mu kepadaku agar daku mampu memaafkan orang lain dengan mudah dan jadikanlah daku ini seorang yang pemaaf sepertimana Engkau mengurniakan sifat ini kepada RasulMu s.a.w.”

2) Sekiranya sahabat kita itu datang memohon maaf, maka teruslah maafkan dia kerana Allah mengabulkan permohonan kita. Sekiranya dia tidak datang, maafkanlah sahaja demi kerana Allah dan buangkan lah jauh-jauh perkara-perkara yang dilakukan terhadap kita agar ingatan dan dendam dapat dihancurkan.

3) Seterusnya jalinkan hubungan yang baik sekiranya berjumpa dengan bersalam dan bertanya khabar. Jangan diungkit dan diingat lagi segala kesalahan dia terhadap kita sebelum ini. Untuk memudahkan lagi kita melakukan ini, gunakan tips bicara hati dibawah:

“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, alirkan kasih sayangMu Ya Allah kedalam hati ku dan hati sahabatku ini agar kami mampu berkasih sayang sesama kami.”

4) Setelah itu apa sahaja yang didetikkan Allah, lakukanlah dengan penuh redha dan rela hati demi menjalinkan hubungan kasih sayang sesama kita.

InsyaAllah , dengan bergantung kepada Allah melalui sifat-sifat Asmaul HusnaNya, kita dapat berkasih sayang sesama kita, bermaafan dan menolong antara satu sama lain. Sesungguhnya itulah akhlaq Allah yang perlu kita contohi agar hidup kita bahagia dunia dan akhirat.