~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Saturday, December 26, 2009

MEWUJUDKAN KEBAHAGIAAN KELUARGA MELALUI PENGHAYATAN ASMA’UL HUSNA (4)


HATI YANG BERSIH DAN SUCI MAMPU MENJANA KEBAHAGIAAN RUMAHTANGGA

Wanita yang dirahmati Allah sekalian,

Sesungguhnya semua manusia ingin melakukan kebaikan kerana sememangnya kita dilahirkan dengan fitrah yang baik dan bersih.


Namun, kita menghadapi kehidupan yang penuh ujian kerana iman, cinta dan kasih kepada Allah s.w.t. itu harus dibuktikan Oleh itu sekiranya jiwa dikotori dengan dosa dan kemungkaran, mohonlah keampunan daripada Allah Yang Maha Pengampun dan Menerima Taubat.

Dalam mengharungi bahtera rumahtangga, hati yang bersih dan suci sangat perlu bagi melahirkan suasana positif, kasih sayang, menghargai dan menghormati antara ahli keluarga. Apabila hati kotor, maka kita akan berprasangka negative kepada suami dan anak-anak, maka akan timbullah syak wasangka dan bibit kebencian sesame ahli keluarga. Diantara tips untuk menjadikan hati yang bersih dan suci ialah:

1) Berprasangka positif

Hati yang bersih akan menjadikan kita mampu memikirkan kebaikan kepada suami dan anak-anak. Walaupun seringkali datang bisikan syaitan yang sering membisikkan perkara negatif terhadap suami dan anak-anak, tetapi tolaklah dengan memikirkan kebaikan mereka. Fikirkan juga kemungkinan-kemungkinan masalah yang sedang mereka hadapi dan bertanyalah dengan penuh kasihsayang dan kata-kata yang lembut agar kita mampu membantu mereka. Janganlah mudah membuat andaian-andaian tanpa berbincang dan usul periksa kerana prasangka buruk itu sesungguhnya daripada syaitan dan hawa nafsu.


2) Menerima kelemahan seorang manusia sebagai hamba yang tidak sempurna dan memaafkan kesalahan

Sifat insan itu tidak sempurna, yang sempurna itu hanyalah Allah Ya Quddus Yang Maha Suci yang menjadikan sesuatu dengan penuh kesempurnaan. Insan itu lemah dan sering melakukan dosa dan kesalahan dan kekuatan itu hanyalah milik Allah.


Oleh itu manusia semua perlu bergantunglah kepada kekuatan dan pertolongan Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah Maha Kuat (Ya Qowiy) dan Maha Memberi Pertolongan (Ya Wahhab). Apabila manusia tidak bergantung kepada Allah, maka akan terserlahlah kelemahan manusia, maka berilah peringatan kepada suami dan anak-anak kita untuk memohon ampun dan maaf serta bertaubat diatas kesilapan yang dilakukan dan nasihatilah mereka untuk tunduk dan patuh kepada Allah dan sentiasa ingat kepada Allah s.w.t. InsyaAllah dengan hati yang bersih ini, kita mampu member peringatan yang baik untuk suami dan anak-anak dan mereka akan menerimanya dengan baik.

3) Percaya dan yakin manusia boleh dibimbing dengan bantuan Allah s.w.t.

Sesungguhnya Allah Maha Memberi Petunjuk (Ya Haadi) kepada hambaNya yang sering melakukan kesalahan. Oleh itu mohonlah bimbingan dan petunjukNya agar dibimbing suami dan anak-anak kita ke jalan yang lurus dan yakinlah bahawa mereka mampu dibimbing dan diberi petunjuk oleh Allah. Serahlah kepada Allah untuk membimbing mereka, kerana hanya Allah sahaja yang mampu member petunjuk dan bimbingan, kita hanya memberikan nasihat semata-mata.


4) Fikirkan kebaikan yang banyak yang telah dilakukan oleh suami

Hati yang bersih juga adalah hati yang sentiasa merenungi dan ingat akan kebaikan-kebaikan yang banyak dan sudah sekian lama diberikan oleh suami atau anak-anak. Manusia sering lupa akan kebaikan sesama manusia apabila hati sedang marah atau sesuatu hajat tidak dapat ditunaikan. Syaitan akan mendekati seseorang ketika dia marah. Oleh itu disamping cuba sedaya upaya untuk mengatasi marah, seorang isteri dan ibu harus banyak berfikir tentang kebaikan dan jasa mereka terhadap kita. Suami juga banyak jasa dan kebaikan menjaga kita, memberikan nafkah dan cinta kasihsayang kepada kita selama ini. Begitu juga anak-anak, pandanglah kebaikan dan kekuatan potensi dirinya dan pupuk potensi itu. Janganlah hanya menunding jari kepada kelemahan-kelemahan mereka sahaja. Mereka juga ingin dihargai dan dihormati. Kesilapan dan kelemahan adalah proses pembelajaran kepada anak-anak dan perlukan nasihat dan bimbingan ibu dan bapa.

InsyaAllah dengan membersihkan hati dan jiwa, seseorang wanita mampu mengharungi ombak dan gelombang rumahtangga dengan penuh ketenangan dan ketabahan dan akhirnya lahirlah keluarga yang mempunyai jiwa yang tenang dan bahagia.