~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Wednesday, February 17, 2010

Mewujudkan Kebahagiaan keluarga melalui penghayatan Asmaul Husna (10)


MENIKMATI KETENANGAN HIDUP DENGAN MENYERAHKAN DIRI SEPENUHNYA

KEPADA ALLAH YA BAARI’

Wanita yang dikasihi,

Seringkali kita kaum wanita berada dalam kerunsingan, kebingungan dan keresahan. Banyak punca yang menjadikan demikian. Diantaranya ialah kita cuba untuk melakukan sesuatu di luar kemampuan, di luar batas, di luar keupayaan, di luar pengetahuan, di luar kemahiran kita dan seringkali juga kita ingin melakukan tugas orang lain sekiranya kita melihat ianya tidak dibereskan dan akhirnya kerja dan tugas kita terbengkalai begitu sahaja. sehingga mendatangkan satu masalah antara kita dengan orang lain. Seperti contoh kadangkala kita mengambil tugas suami untuk menyara keluarga sehinggakan kita melakukan secara berlebihan dan mengikut hawa nafsu dan akhirnya tugas kita memberikan layanan mesra kepada anak-anak dan suami terbengkalai sedangkan bebanan mencari nafkah itu adalah tanggungjawab suami. Tetapi sekiranya sekadar membantu di mana yang perlu diharuskan dalam suasana kehidupan sekarang yang mana kita dicengkam dengan masalah ekonomi yang meruncing, tambahan lagi dengan system kapitalisma yang menindas dan menganiaya golongan yang tidak mampu. Keharusan itupun dengan syarat kita kaum wanita mampu menjaga diri daripada perkara kemaksiatan dan dosa yang seringkali mengelilingi dan mempengaruhi kita dalam alam pekerjaan hari ini.

Wanita yang disayangi,

Marilah kita kembali merenungi akan tugas dan tanggungjawab kita yang telah ditentukan oleh Allah Ya Baari’ yang Maha Merancang dan Maha Mengatur. Dialah Tuhan yang sesungguhnya mengatur setiap sesuatu di alam ini. Dia mengatur perjalanan bulan, bintang dan matahari serta bumi mengikut masa dan orbit yang telah ditetapkan. Begitu juga Allah Ya Baari’ juga yang mengatur pergerakan hidup manusia termasuk agenda hidup manusia. Untuk memastikan kita mengikut agenda yang telah dirancang oleh Allah Ya Baari’, hendaklah jiwa kita mampu menyerah diri sepenuhnya kepada agendaNya. Allah Ya Baari’ mengatur agenda hidup manusia penuh dengan kebijaksanaan. AgendaNya kepada manusia diatur agar manusia berjalan di atas orbit Islam, Iman dan Ihsan.

Sekiranya manusia tergelincir daripada orbit ini, pastilah kehancuran akan berlaku dalam kehidupan manusia itu. Itulah sebenarnya yang berlaku kepada masyarakat kita hari ini yang mana kita berhadapan dengan masalah keruntuhan akhlaq yang membawa kepada jenayah dan masalah Negara. Ini kerana masyarakat sudah keluar daripada orbit atau landasan Islam, Iman dan Ihsan yang telah ditetapkan oleh Allah Ya Baari’ yang mana manusia berjalan mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan yang sentiasa ingin membawa manusia bersama-samanya ke neraka Allah.

Berikut adalah beberapa tips untuk menyerah diri kepada Allah Ya Baari’ dalam mengatur agenda hidup:

1) Setiap pagi selepas solat subuh, bacalah bicara hati berikut yang ditujukan kepada Allah dengan sepenuh hati dan penuh kesedaran:

“ Ya Allah Ya Baari’, Sesungguhnya Engkaulah Allah Yang Maha Mengatur Agenda Hidup manusia, daku ini hanyalah seorang hamba kepada Mu yang menyedari akan kelemahan diri dan ketidakupayaan diriku ini. Ya Allah Ya Baari’, daku ingin menyerahkan seluruh jiwa dan ragaku kepadaMu untuk Kau aturkan dan agendakan dengan agendaMu. Daku sedar tidak wajar seorang yang bergelar hamba mempunyai agendanya yang tersendiri dan daku sedar Kau telahpun menetapkan agenda hidupku namum selama ini daku tidak menyedarinya sehinggalah daku mengatur agenda hidupku sendiri. Daku juga menyedari sekiranya Engkau yang mengatur agenda, sudah tentulah ianya penuh dengan kebaikan, kebajikan dan ketaatan. Namun sekiranya Engkau membiarkan daku mengatur agenda hidup ku sendiri, tentulah daku akan mengikut hawa nafsu dan kepentingan diri. Oleh itu daku rela dan redha mengikut agendaMu Ya Allah Ya Baari’.”

2) Setelah dibaca doa di atas, Allah Ya Baari pasti akan memberikan idea kepada kita dalam bentuk ilham di dalam hati kita untuk kita atur hidup seharian kita. Maka mulakan pagi hari dengan membuat senarai semak (checklist) perkara yang perlu dilakukan setiap hari. Sudah pasti dengan bimbingan Allah, kita akan dibimbingNya untuk melakukan agenda yang sewajarnya kita lakukan bersesuaian dengan tujuan Allah menciptakan kita.

3) Setelah itu, jalanilah hidup seharian dengan penuh ketenangan dengan mengikut senarai tugas harian yang telah ditetapkan di awal pagi dan sekiranya berlaku perubahan yang tidak dirancang dan disangka-sangka, itulah perubahan agenda yang ditentukan oleh Allah Ya Baari’. Renungilah dan mohon petunjuk Allah Ya Haadi Yang Maha Memberi Petunjuk dan teruslah melakukan perubahan-perubahan itu sekiranya ianya perkara yang baik yang menepati syariat dan jauhkan dan elakkan sekiranya ianya perkara jahat yang dilarang oleh syariat kerana itu ujian Allah kepada kita. Dalam kita melakukan perubahan kepada senarai tugasan yang telah ditetapkan di awal pagi, hati hendaklah sentiasa redha dan rela melakukannya kerana itulah agenda Allah Ya Baari’ yang mana kita telahpun bersetuju dari awal lagi untuk menyerahkan kepadaNya agenda hidup seharian kita. Oleh itu sentiasalah merenungi dan melihat dengan mata hati akan agenda Allah Ya Baari’ agar kita akur dan taat kepada agendaNya.

4) Setelah selesai hidup seharian mengikut agenda Allah Ya Baari, bersyukurlah kepadaNya atas peluang yang diberikan kepada kita untuk mengikut agendaNya kerana ianya pasti disusuli dengan ganjaran yang setimpal.

Walaubagaimanapun wanita sekalian, penuhilah dirimu dengan ilmu Islam, penuhi dadamu dengan iman dan rasakan kehadiran Allah sentiasa disisimu mengatur hidupmu, melihatmu, mengawasimu dan mencatit setiap amalmu agar kita mampu berjalan di atas orbit Islam, Iman dan Ihsan dalam penyerahan diri kepada Allah Ya Baari’.

Friday, February 12, 2010

Mewujudkan Kebahagiaan keluarga melalui penghayatan Asmaul Husna (9)


MENGINGATI DIRI SEBAGAI CIPTAAN ALLAH YA KHOLIQ MEMBUAT JIWA TERPELIHARA


Wanita yang dikasihi,
Sesungguhnya kita ini adalah hanya suatu ciptaan yang mana penciptanya adalah Allah Ya Kholiq Yang Maha Pencipta.

Allah mencipta manusia mengikut fitrah Allah dan tetap pada fitrah Allah ialah dengan berpegang dengan agama Islam. Dan sesungguhnya agama Islam itu sangat sesuai dengan fitrah kejadian manusia kerana manusia adalah ciptaan Allah begitu juga dengan agama Islam yang dicipta oleh Allah untuk menjadi panduan dan landasan hidup manusia di dunia ini. Dengan mengingati diri ini adalah ciptaan Allah akan melahirkan manusia berikut:


6) Taat kepada Allah yang Maha Pencipta. Manusia sebagai ciptaan tidak sewajarnya mengada-adakan perkara yang tidak sesuai dengan fitrah penciptaan kita seperti sifat marah, keras dan tidak jujur. Sifat-sifat ini tidak sesuai dengan jiwa manusia kerana jiwa manusia sesungguhnya mudah memaafkan (al-affuw), lembut (al-latif) dan jujur (al-mukmin).


7) Menginsafi bahawa Allah Ya Kholiq mencipta manusia dengan penuh kesempurnaan dan dilengkapi dengan system hidup yang sesuai dengan sifat-sifat manusia yang diciptakanNya iaitu system hidup Islam. Rukun-rukun islam iaitu shahadah, solat, puasa zakat dan haji mempunyai nilai-nilai yang sangat baik bagi manusia untuk kehidupan manusia dari semua aspek termasuk aspek jasmani, intelektual, emosi dan spiritual. Keseimbangan unsur-unsur yang ada pada manusia ini perlu diwujudkan bagi memastikan kehidupan yang tenang dan bahagia sebagaimana yang dikehendaki Allah.


8) Menginsafi bahawa Allah ya Kholiq mencipta manusia dengan penuh keindahan, kecantikan dan kasih sayang. Oleh itu kita harus menghormati, mengasihi dan mengkagumi akan setiap ciptaan Allah serta merenungi akan keindahan, kehebatan, kesempurnaan disebalik setiap ciptaan Allah Ya Kholiq.


Wanita yang disayangi sekalian,
Marilah kita merenungi diri kita sebagai ciptaan Allah yang penuh kesempurnaan dan keindahan. Lihat sahajalah wajah kita yang cantik ini, dijadikan mata, hidung, telinga dan pipi serta diletakkan dengan penuh kesempurnaan dan kesesuaian, tidak ada cacat cela sedikitpun. Renungilah system pernafasan kita, system perkumuhan kita, system peranakan kita, semuanya diciptakan oleh Allah Ya Kholiq dengan system yang lengkap dan berkait dengan satu sama lain dengan penuh teliti dan bijaksana. Sesungguhnya Dia Ya Kholiq adalah pencipta dan pereka yang Maha Hebat yang tiada tandingannya di dunia ini.


Marilah juga kita merenungi cantiknya anak-anak kita, comelnya wajah mereka, sempurnanya ciptaan Allah ini. Kitakah yang menjadikan kecantikan itu ataukah Allah Ya Kholiq? Tentulah jawapan kita Allah. Kita hanya menjadi wakil Allah Ya Kholiq mengandungkan dan melahirkan anak itu melalui rahim kita, itupun penuh dengan penjagaan dan pemeliharaan dari Dia Ya Kholiq. Dan lihatlah disekeliling kita, rumah kita, kenderaan kita, pokok-pokok di sekeliling kita, gunung-ganang , bangunan yang tersergam indah yang semuanya sesungguhnya semuanya dicipta oleh Allah Ya Kholiq. Walaupun nampak dengan mata kepala manusia yang membangunkan bangunan-bangunan yang hebat dan indah, namun lihatlah dengan mata hati sesungguhnya Allah Ya Kholiqlah yang mengurniakan ilmu dan kemahiran membangunkan ciptaan itu.


Wanita yang dihormati,
Setelah kita mampu merenungi akan setiap ciptaan Allah Ya Kholiq, sudah tentulah hati ini akan mampu tunduk, merendah diri dan merasa diri lemah, tidak hebat dan tidak berupaya. Kehebatan dan keupayaan hanyalah milik Allah. Dan setelah dicipta, Dia juga yang akan memusnahkan ciptaanNya itu kerana sememangnya apa sahaja yang bergelar makhluq ciptaan pasti akan hancur satu hari nanti. Lihatlah diri kita yang semakin tua, semakin lemah yang membuktikan bahawa tubuh kita ini akan hancur dan akhirnya kehancuran yang sepenuhnya berlaku ketika kematian kita yang mana ianya akan hancur dimakan tanah, cacing dan ulat di dalam kubur tempat bersemadinya kita setelah nyawa berpisah dengan badan. Dan itulah ketika jiwa manusia akan kembali kepada Allah untuk menghadapi hari perhitungan dan perkiraan atas setiap perbuatan kita di atas dunia ini. Allah sentiasa mengingatkan kita tentang hari kematian kita.

Kematian setiap ciptaan Allah merupakan satu kebenaran yang pasti akan berlaku. Begitu juga segala amal dihitung dan catitan itu akan diserahkan ketika di akhirat kelak untuk penentuan pembalasan. Firman Allah mengingatkan kita akan hari perhitungan Allah ya Muhsii yang Maha Menghitung.

Tuesday, February 9, 2010

Mewujudkan Kebahagiaan keluarga melalui penghayatan Asmaul Husna (8)


KEKUATAN JIWA MAMPU MEREMPUH SETIAP RINTANGAN HIDUP DAN BADAI RUMAHTANGGA

Wanita yang dikasihi,

Sesungguhnya kehidupan ini adalah pentas ujian. Oleh itu tiada siapa yang mampu mengelakkan diri daripada ujian, ianya pasti datang satu persatu. Lulus atau gagalnya kita bergantung kepada kekuatan jiwa dalam menghadapi setiap ujian. Ummat Islam hari ini sering dikaitkan dengan kelemahan, kedhaifan, kekurangan dan kemiskinan. Sesungguhnya bukanlah Islam itu yang lemah, dhaif dan kurang, tapi kitalah ummatnya yang diselubungi dan dibelenggu dengan kelemahan dan kedhaifan jiwa. Kelemahan jiwa akan menyebabkan seseorang tidak mampu berusaha, sentiasa bersikap dan berfikiran negative terhadap diri sendiri. Orang yang lemah jiwa seringkali tidak mampu meneroka potensi diri yang dikurniai Allah dan sering mudah putus asa apabila gagal dalam menghadapi ujian-ujian kehidupan dan tidak mahu terus bangkit dan berusaha ketika gagal.

Untuk mengatasi kelemahan jiwa ini, berikut adalah beberapa tips.:

1) Ingatlah bahawa ujian itu datang daripada Allah Ya Muqtadir Yang Maha Menentukan sesuatu takdir dan Ya Baari’ Yang Maha Mengatur Agenda.

Dia berhak membuat ketentuan-ketentuan buat hambaNya, Begitu juga Dia berhak mengatur agenda hidup hambaNya. Takdir dan agendaNya kadangkala kita sukai dan kadangkala tidak kita sukai. Tetapi ingatlah semua ketentuan dan agenda Allah buat hambaNya yang dipilih dikalangan orang-orang beriman sudah pasti untuk kebaikan hambaNya. Cuma kita seringkali tidak mampu melihat dengan mata hari akan kebaikan dan kasihsayang Allah itu. Sebagaimana ujian itu datangnya dari Allah, maka yang mampu membantu kita untuk melepasi ujian tersebut hanyalah Allah. Dia Ya Basith Yang Maha Melapangkan mampu melapangkan ketika kita disempitkan oleh Allah Ya Qobidh Yang Maha Menyempitkan. Dia Ya Rafi’ Yang Maha Meninggikan mampu meninggikan kita ketika kita direndahkan oleh Allah Ya Khofidh Yang Maha Merendahkan. Dia Ya Muiz Yang Maha Memberi Kemuliaan mampu memuliakan kita ketika kita dihina oleh Allah Ya Muzil. Dia Ya Fatah Yang Maha Membuka jalan mampu membuka jalan ketika sudah tiada jalan keluar lagi dan kita sudah buntu dengan masalah kita.

2) Ingatlah bahawa ujian itu adalah sementara. Hadapilah ia dengan kuat, sabar dan tabah. Sudah pasti kekuatan, kesabaran dan ketabahan Allah Ya Qowiy Yang Maha Kuat, Ya Sobur Yang Maha Sabar akan menjadikan kita mampu menghadapi apa sahaja yang mendatang di dalam hidup ini.

3) Ingatlah ujian itu tanda kasihsayang Allah untuk kita agar kita sentiasa ingat kepadaNya dan bertaqwa kepadaNya. Ketika manusia diuji oleh Allah, sudah tentulah Dia ingin agar hambaNya menadah tangan memohon kepadaNya akan bantuanNya dan jalan keluar dari segala masalah.

4) Ingatlah kegagalan adalah langkah yang perlu dilalui untuk sebuah kejayaan.

Seringkali kita melakukan kesilapan ketika kita tidak mengambil pengajaran daripada orang-orang terdahulu yang pernah melakukan kesilapan sebelum kita. Dengan kesilapan itu, maka Allah menguji kita sebagai pelajaran buat kita dengan tujuan untuk kita memperbaiki kehidupan kita masa akan datang serta tidak mengulangi lagi kesilapan-kesilapan tersebut.

5) Ingatlah untuk menjadi wanita bernilai ibarat berlian, perlu diuji dengan tekanan yang hebat.

Proses melahirkan insane cemerlang dunia akhirat memerlukan kepada tekanan dan ujian yang hebat. Tanpa tekanan dan ujian, sudah tentu potensi diri seseorang tidak dapat dikeluarkan dan dizahirkan. Oleh itu terimalah tekanan dengan redha dan sabar kerana tekanan dan ujian sangat penting bagi manusia agar manusia melonjakkan potensi dirinya yang telah pun diciptakan Allah semasa penciptaan roh manusia. Namun fitrah ini sering tenggelam dan tersembunyi, tidak mampu dizahirkan kerana pemikiran-pemikiran negatif yang terpahat dipemikiran manusia. Oleh itu, marilah kita bersihkan kekotoran yang terdapat dalam jiwa agar potensi diri yang dikurniai Allah ini mampu diserlahkan dan mampu member manafaat kepada manusia lain.

Thursday, February 4, 2010

PERASMIAN KELAS ASMAUL HUSNA

PERASMIAN KELAS ASMAUL HUSNA

TARIKH: 5 FEBRUARI 2010
MASA: 8.00- 10.00 malam (Isya' bersama)
TEMPAT: B27-1, JALAN DANAU LUMAYAN 1, DANAU LUMAYAN BIZ CENTRE,
56000 CHERAS, KL


PIC: 013-2965723 (Fi)

SEMUA DIJEMPUT HADIR. SILA SEBARKAN KEPADA AHLI KELUARGA & RAKAN-RAKAN.

"AWAL IBADAH ADALAH KEFAHAMAN"

Tuesday, February 2, 2010

Mewujudkan Kebahagiaan keluarga melalui penghayatan Asmaul Husna (7)


KEAMANAN RUMAHTANGGA AKAN TERWUJUD DENGAN WANITA YANG BERIMAN KEPADA ALLAH

Wanita yang dihormati,

Cabaran rumahtangga hari ini sangat hebat. Suasana kehidupan yang sudah lari daripada landasan Islam, Iman dan Ihsan telah menyebabkan keadaan rumahtangga yang tidak aman dan serting berlaku pergaduhan sehingga membawa kepada perceraian. Begitu juga cabaran membesarkan anak-anak dengan suasana kemungkaran yang berleluasa dan mengakibatkan kehidupan yang tidak aman. Beberapa tips untuk mewujudkan keamanan rumahtangga ialah:

1) Meningkatkan keimanan kepada Allah.

Sesungguhnya keamanan itu adalah milik Allah Ya Mu’min Yang Maha Mengamankan. Hanya dengan menguatkan hubungan dengan Allah dengan menyakini Allah lah satu-satunya Ilah yang selayaknya disembah dan tidak ada Ilah lain selain daripada Allah s.w.t, hati akan menjadi tenang dan hidup akan bahagia. Hati yang beriman akan menjadikan seluruh solat, ibadah, hidup dan mati hanya untuk Allah semata-mata dan bukan untuk kepentingan diri. Hati yang beriman juga akan meyakini akan kewujudanNya, meyakini sifat-sifatNya yang Maha Hebat, menyedari semua makhluq di dunia ini dibawah pengawasanNya serta meyakini akan hari perhitungan dan pembalasan dan meyakini bahawa Dial ah Raja dan Pemilik alam serta seluruh isinya.

2) Sentiasa menjaga batas-batas hokum yang ditetapkan oleh Allah Ya Hakam yang Maha Menghukum.

Kekeliruan dan kekusutan rumahtangga hari ini berlaku ketika suami dan isteri sudah lari daripada tanggungjawab masing-masing. Keadaan hidup yang menuntut kita mencari material bagi menyara kehidupan menyebabkan banyak tanggungjawab terabai. Suami yang begitu banyak menghabiskan masa diluar rumah menyebabkan isteri dan anak-anak terabai perasaan dan pendidikannya. Begitu juga isteri yang ramai bekerja hari ini yang kadang kala lebih sibuk daripada suami seringkali terpaksa mengabaikan proses pembesaran dan pendidikan anak-anak serta tanggungjawab kepada suami. Allah mengingatkan manusia bahawa kehidupan dunia yang terlalu sedikit berbanding dengan kesenangan di akhirat supaya manusia jangan lalai dan mudah tertipu. Firman Allah:


Kepenatan bekerja seringkali menjadikan kita tidak bertenaga untuk melayan suami kerana yang tinggal hanyalah sisa-sisa masa yang sudah tidak berkualiti lagi.Pergaulan yang bebas di tempat kerja juga tanpa batas-batas Islam telah membuka ruang kepada syaitan menggoda suami dan isteri untuk berlaku curang.

Oleh itu wanita sekalian, fikirkan dan renungkan adakah kehidupan kita hari ini mampu mewujudkan keluarga bahagia dan aman. Marilah sama-sama kita renungkan cara hidup yang sebenarnya yang harus kita lalui agar sentiasa mendapat rahmat Allah Ya Rahman Ya Rahim. Galilah kehidupan para isteri-isteri nabi dan itulah contoh tauladan yang terbaik.

“Ya Allah Ya Mu’min Yang Maha Mengamankan, kurniailah keamanan buat keluargaku agar dengan keamanan ini kami mampu untuk mengabdikan diri kepadaMu dengan sebenar-benar pengabdian.”

Thursday, January 21, 2010

Mewujudkan Kebahagiaan keluarga melalui penghayatan Asmaul Husna (6)


SENTIASA MENJADI PELINDUNG DAN PEMELIHARA KEPADA KELUARGA AGAR TIDAK MENDAPAT MURKA ALLAH

Wanita yang dikasihi,
Keadaan kehidupan yang begitu mencabar memerlukan wanita yang mampu menjadi pelindung dan pemelihara kepada kesejahteraan keluarga daripada mendapat murka Allah. Anak-anak tidak boleh dibiarkan melakukan apa yang mereka suka tanpa batasan. Allah mengingatkan bahawa anak-anak adalah ujian. Firman Allah s.w.t:

Seringkali pujuk rayu anak-anak untuk melakukan perkara yang bercanggah dengan Islam seperti menampakkan kecantikan diri dan tidak mahu menutup aurat, ingin keluar dengan kawan-kawan lelaki, ingin bermain internet tanpa had, ingin membaca majalah-majalah yang melalaikan atau seumpamanya. Sesungguhnya perbuatan ini akan membawa anak-anak kea rah kemungkaran yang lebih besar, dan setiap larangan Allah sudah tentu mempunyai kebaikan kepada manusia dan sudah tentu untuk melindungi manusia itu sendiri daripada bahaya dan bencana. Wanita yang menjadi pelindung dan pemelihara keluarga merupakan wanita yang mempunyai cirri-ciri berikut:
1) Tegas
Wanita yang tegas dalam menegakkan prinsip kebenaran mampu melindungi keluarga daripada bahaya dan bencana. Sifat yang tegas dengan diiringi dengan cara yang lembut mampu membuatkan hati anak-anak untuk mengikut nasihat. Namun cara yang keras akan membuatkan mereka lari. Firman Allah s.w.t.:



2) Berani, cekal dan kuat semangat
Keberanian dalam menghadapi risiko apabila cuba berpegang diatas prinsip kebenaran sangat-sangat penting, kerana tanpa keberanian, sudah tentu jiwa akan lemah dan takut untuk menghadapi akibatnya. Seringkali seorang yang tegas tidak digemari oleh orang lain, akan dipulau dan akan dibenci kerana hawa hafsu sememangnya tidak menyukai akan kebenaran. Walaubagaimanapun, sekiranya keberanian diiringi dengan pendidikan dan hujjah-hujjah yang jelas dan penuh keikhlasan, insyaAllah anak-anak akan dapat menerima juga walaupun kadang-kadang mengambil masa.

3) Sentiasa berlindung kepada Allah
Sesungguhnya hanya Allah Ya Hafiz yang maha memelihara dan ya Muhaimin yang Maha melindungi sahaja yang mampu melindungi manusia daripada keengkaran dan kemurkaan Allah serta bahaya bencana. Sebut-sebutlah namaNya sambil berbicara :

“ Ya Allah Ya Hafiz Ya Muhaimin, yang Maha Memelihara lagi Maha Melindungi, pelihara dan lindungilah anak-anakku daripada perkara yang mendatangkan kemarahanMu. Sesungguhnya daku tidak berdaya dan tidak mampu melainkan dengan pertolonganMu.”

4) Sentiasa bermohon kepada Allah Ya Ba’its agar dibakarkan semangat
Kekuatan dan semangat hanya mampu dialirkan oleh Allah Ya Ba’its kerana Dia yang mempunyai kekuatan dan semangat itu. Sebut-sebutlah namaNya selalu sambil berbicara denganNya:

“Ya Allah Ya Ba’its Yang Maha Membakar Semangat, bakarkan semangatku agar daku sentiasa bersemangat dan kuat untuk mengharungi ujian dan rintangan dalam mendidik anak-anakku. Sesungguhnya tanpa semangatMu tentulah jiwa ini merasa sangat berat dan sukar untuk melakukan apa sahaja usaha demi kebaikan anak-anakku.”

Wanita yang dihormati,

Semoga dengan ketegasan dan keberanian serta diiringi dengan kaedah lembut serta bijaksana dan penuh hikmah, kita akan mampu melindungi keluarga kita daripada pelanggaran kepada perintah Allah dan seterusnya mengelakkan diri daripada azab Allah. Maka akan wujudlah keluarga yang terpelihara dan terlindung daripada kemurkaan Allah dan seterusnya mendapat kasihsayang Allah dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.