~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Wednesday, December 10, 2008

KETIKA SEDANG SAKIT


KETIKA SEDANG SAKIT


Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Sesungguhnya Engkau Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, kasihanilah hambaMu ini ya Allah. HambaMu ini merayu dan merintih, berikanlah ketentuan yang baik buatku, ampunilah segala dosa-dosaku dan aku bertaubat kepadaMu atas segala dosa2ku, sesungguhnya Engkau Ya Affuw Ya Maha Memaafkan, Ya Ghoffur Yang maha Pengampun dan Ya Tawwab Yang Maha Menerima Taubat.



Ya Allah Ya Aziz, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa, Ya Qawiy Engkaulah Yang Maha Kuat dan Ya Matin Engkaulah Yang Maha Teguh dan Mantap, hanya kekuatanMu sahajalah yang mampu aku gunakan untuk melawan kesakitan ini dan dengan kekuatanMu sahajalah aku mampu melawan musuh yang sedang menyerangku ini. Berikanlah kekuatanMu kepadaku Ya Allah agar hambaMu yang sedang menderita ini mampu melawan kesakitan ini. Sesungguhnya tipu daya syaitan dan manusia itu sangat lemah dan palsu. KekuatanMu yang Maha Hebat itu sudah tentu tidak tergambar olehku dan aku yakin Engkau Ya Aziz mampu mengalahkan pensihir yang sedang mensihirkanku ini. Ya Allah Ya Qahhar, Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Menundukkan, hambaMu ini merintih dan merayu agar Kau tundukkanlah kekuatan sihir ini agar ia mampu keluar daripada tubuhku ini, sesungguhnya Ya Malik, semuanya adalah milikMu, Kau mampu melakukan apa sahaja yang Engkau mahu kerana sesungguhnya Engkau Ya Muqtadir Yang Maha Menentukan.



Ya Allah Ya Wahhab Yang Maha Pemberi, berikanlah hambaMu ini kesihatan dan kesejahteraan agar aku mampu menyembahMu dan menjalankan tugas Khalifah yang Engkau amanahkan kepadaku, Ya Allah Ya Mujib, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengabulkan, kabulkanlah doa, rayuan dan rintihan hambaMu ini yang sedang menderita. Sesungguhnya Engkau Ya Rahman Ya Rahim.



Tuesday, December 9, 2008

Doa Keinsafan PELAJAR...



Doa Keinsafan

(Dari seorang Hamba kepada Tuhan Yang Maha Agung)


Ya Allah ya Khaliq yang menciptakan Kami, sesungguhnya kami sedar yang sesungguhnya kami dahulunya tiada, dan Engkaulah menciptakan kami dengan penuh kesempurnaan dan mengajarkan kami sesuatu yang kami tidak mengetahui dan memberikan kami segala jenis rezeki dengan sifat ya RazzakMu, yang kami sendiri tidak mampu untuk mengadakannya untuk kami gunakan didunia ini sebagai pengabdian kepadaMu dan menjalankan amanah Khalifah di bumi ini.



Ya Allah kami sedar kami adalah hambaMu yang diwujudkan didunia ini hanyalah untuk taat dan patuh kepadaMu sepertimana taat dan patuhnya matahari, bulan dan bintang yang tidak pernah mengerti erti keengkaran dan kemungkaran. Namun kami ya Allah selama ini seringkali engkar dan lalai dalam melaksanakan ketaatan kepadaMu walaupun Engkau telah memberi kesempurnaan didalam penciptaan kami ini ya Allah. Ya Allah, kini kami sedar yang kami wajib taat kepada perintahMu, kami sedar terlalu banyak dosa dan kemungkaran yang telah kami lakukan sehingga hari ini, namun Ya Allah, bukanlah kami tidak mahu menyembahMu ya Allah, tetapi selama ini kami tidak mengetahui ya Allah dan sering lalai ya Allah. Kami sedar Sesungguhnya Engkau Ya Affuw, Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, oleh itu ampunilah dosa-dosa kami, ketelanjuran kami dan kejahilan kami. Berilah kami ilmuMu ya Alim, Yang Maha Berilmu agar kami mampu mendekati Mu, Mencintai Mu dan Taat sepenuhnya kepada Mu.



Ya Allah, Ya Mumit, Tuhan yang Maha Mematikan, kami sedar dan yakin kematian itu amat benar dan dekat, Ya Ba’its, Yang Maha Membangkitkan, sesungguhnya hari kebangkitan itu benar, Ya Hakam, Yang Maha Menghukum, balasan kubur itu benar, timbangan amal itu benar, syurga dan nerakaMu adalah benar sekali, tidak ada sedikit keraguan sekalipun ya Allah.



Ya Allah Ya Rahman, Ya Rahim, yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, kami sedar kebaikan dan kebajikan kami terlalu sedikit untuk melayakkan kami kesyurga Mu, namun Ya Allah Ya Muntaqim yang Maha Keras SiksaanNya, sesungguhnya kami tidak mampu menanggung siksa azab neraka Mu yang tidak terperi yang mana azab paling ringan adalah apabila dipakaikan selipar neraka, maka menggelegak otak kami ya Allah. Ampunilah, ampunilah, ampunilah ya Allah, ya Affuw, Tuhan yang Maha Pengampun. Berilah kami rahmat dan kasihsayangMu dan izinkanlah kami berjumpa dengan Mu disyurgaMu ya Allah kerana itulah saat-saat yang paling bahagia yang dikurniakan kepada seorang hamba apabila kami dapat dipertemukan dengan Engkau ya Allah, Ya Majid, Tuhan yang Maha Mulia, ya Aziz, Yang Maha Berkuasa, Ya Hafiz, Yang Maha Pelindung, lagi Ya Rahman, Maha Pengasih, Ya Rahim, Yang Maha Penyayang dan Ya Ghofur, Maha Pengampun.



Ya Allah Ya Malik, Ya Hakim, Tuhan Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana, sesungguhnya segala yang berada dilangit dan dibumi adalah milikMu, hatta kami juga adalah milikMu, ibubapa kami adalah milikMu, rakan-rakan kami adalah milikMu, segala apa yg ada pada tubuh badan kami adalah milikMu semuanya Ya Allah, kepandaian yang Engkau anugerahkan, udara yang kami sedut, bumi yg teguh tempat kami berpijak, matahari yg sentiasa bersinar memberikan tenaga cahaya, buah-buahan yang lazat, wang ringgit yang Engkau berikan dan kemudahan yang telah Engkau sediakan buat kami sebagai amanah yang seharusnya kami gunakan untuk beribadat kepada Mu, menjadi hamba Mu yang taat, semuanya milik Mu dan hak Mu semata-mata.



Namun ya Allah, kadang-kadang kami terlanjur kerana mengikut hawa nafsu kami, kami tertipu dengan bisikan syaitan yang berupa jin dan manusia yang banyak membuatkan kami lupa dan lalai, lupa dari mana kami datang, siapa yang menciptakan kami, untuk apa kami dicipta oleh Mu ya Allah dan kemana kesudahan kehidupan ini. Sesungguhnya ya Allah, kami sedar kami hanya hambaMu yang tidak punya apa kecuali yang Engkau kurniakan kepada kami untuk kami taat kepada perintah Mu dan menjauhi daripada larangan Mu. Ya Allah, Ya Qowiy, Ya Matin, Tuhan Yang Maha Kuat dan Sempurna KekuatanNya, sesungguhnya kami amat lemah dan selalu lalai dan memerlukan bantuan dan bimbingan Mu, maka bimbinglah kami ya Allah, Ya Basith, Ya Nafi’, Tuhan yang Maha Melapangkan, Yang Maha Pembimbing dan Penolong, tolonglah kami ya Allah, jadikanlah kami ini hamba Mu yang taat, anak yang soleh, pekerja yang cemerlang, guru yang bertanggungjawab dan cemerlang dunia dan akhirat dan manusia yang berguna dan beramanah.



Ya Allah, sesungguhnya kami semua akan kembali mengadap Mu satu hari nanti dan sesungguhnya pertemuan dengan Mu adalah benar, syurga dan neraka itu benar, hari kiamat itu benar, kematian dan siksa kubur itu benar. Dan Ya Allah, sesungguhnya kami tidak mampu menanggung siksa azab Mu yang amat pedih dan kami juga sedar kami tidak layak menjadi ahli syurga Mu ya Allah, tetapi kami yakin dengan sifat Ya Ghofur dan Ya Rahman, Maha Pengampun dan Maha Penyayang Mu Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kami dan sesungguhnya kami bertaubat kepada Mu dengan sebenar-benar taubat. Ampunilah juga dosa kedua ibubapa kami, adik beradik kami, sanak saudara kami dan sabahat andai kami dan rahmatilah kami semua. Kami ingin mengucapkan terima kasih kami kepada Rasulullah yang telah berkorban agar kami dapat menikmati nikmat Islam dan Iman ini pada hari ini.



Ya Allah, Ya sami’, Ya Bashir, Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat, hari ini kami benar-benar insaf dan sedar akan siapa diri kami, kenapa kami berada disini dan kemana akhirnya kehidupan ini. Oleh itu ya Allah, Ya Haadi, Tuhan Yang Maha Memberi Petunjuk, Engkau kekalkanlah hidayah dan petunjuk Mu ini didalam hatiku sehingga Akhir hayat kami, dan Engkau berilah kekuatan kepada kami untuk kembali melaksanakan ketaatan kepadaMu dan menjadi hambaMu yang sejati serta melaksanakan perintahMu sebagai anak yang soleh/solehah yang menghormati ibubapa kami, pelajar yang baik yang menghormati guru-guru kami, mengasihi adik-beradik kami, saudara mara kami, rakan-rakan kami dan masyarakat kami.



Monday, December 8, 2008

DOA SEMPENA SEMBELIHAN QURBAN



Ya Allah..Ya Quddus kau yang Maha Suci, Kau sahaja yang mampu menyucikan jiwa yang dikotori dengan sifat2 kebinatangan yang sering menghinggapi jiwaku. Sucikan dan bersihkan Ya Quddus sifat tamak berlumba-lumba inginkan dunia, ingin mendapatkan sesuatu walau apa cara sekalipun sama ada haram atau halal. Sehingga seringkali daku mengambil hak orang lain menindas orang lain dan menzalimi orang lain demi kepentingan diri ku. Umpama lembu yang sedang disembelih di hadapanku. Hidupnya hanya tahu makan dan minum tanpa mengira sama ada ianya haknya atau tidak. Yang ia tahu hanya kekenyangan perut dan nafsu. Tiada akal untuk memikirkan haram dan halal. Hak orang atau hak sendiri. Tiada perasaan untuk belas kasihan atas penderitaan orang lain.


Ampunilah daku Ya Affuw Ya Ghaffar Ya Tawwab..Kau lah Yang Maha Mengampuni. KeampunanMu sangat bererti buatku, tanpa keampunanMu sia-sialah hidupku di dunia ini. Umpama lembu dan kerbau, yang tidak tahu arah dan tuju. Berjalan tanpa arah mengikut kaki dan tuannya. Sempena sembelihan ni daku ingin berikrar kepadaMu Ya Allah Ya Mutakabbir Yang Maha Besar dan Hebat. KepunyaanMu lah seluruh isi langit dan bumi. Ya Malik, Pada hari ini daku ingin menyembelih bantulah daku menyembelih sifat-sifat kebinatangan yang menghinggapi jiwaku. Yang disebabkan oleh bisikan syaitan dan hawa nafsuku. Sembelihlah juga cintaku kepada manusia dan dunia sepertimana nabi Allah Ibrahim sanggup menyembelih cinta terhadap anaknya. Demi perjuangan menegakkan agamaMu.


Daku sedar, cinta terhadapMu Ya Wadud yang layak bertakhta dijiwaku. Begitu juga cinta terhadap kekasihMu, Habibullah, Rasulullah S.A.W. seharusnya yang ku utamakan lebih daripada cintaku terhadap ibubapa, anak, suami/ isteri, rakan-rakan, saudara-mara dan kata-kata manusia yang kadang-kadang sering melalaikan daku kepada tanggungjawabku sebenar terhadapMu Ya Allah. Bantulah daku Ya Wahhab agar daku sentiasa didampingi oleh pejuang-pejuang agamaMu yang sentiasa akan mengingatkanku dari mana ku datang, siapakah diriku, untuk apa ku ada di dunia ini dan ke manakah akhirnya perjalanan hidupku ini.


Aku menyerahkan seluruh jiwa ragaku Ya Barii. Agar Kau agendakan dengan agendaMu kerana diriku tidak layak untuk menagendakan hidupku. Kerana daku hanya hamba dan ciptaanMu. Jadikanlah aku orang yang sentiasa memohon petunjukMu Ya Haadi dalam melakukan setiap perkara di dunia ini dan cukupkanlah keperluanku Ya Hasiib agar dapat aku laksanakan arahanmu dengan cara terbaikMu. Kekalkan hidayah ini sehingga ke akhirn hayatku dan kurniakanlah hidayahMu Ya Haadi kepada ibubapa, anak, suami/ isteri, rakan-rakan, saudara-mara.


Friday, December 5, 2008

Tips Menjadi anak cemerlang (17)


Bagaimana Diriku Menggapai Kecemerlangan Hidup


Diriku sedar, diriku hanyalah seorang hamba kepada Yang Maha Esa dan Khalifah kepada yang Maha Agung, Maha Kaya dan Maha Bijaksana. Kebijaksanaan, kecerdasan dan Yang Maha Perancang itu adalah Miliknya Ya Baari’ Yang Maha Perancang, Ya Musowwir Yang Maha Kreatif, Ya Alim Yang Maha Berilmu, Ya Hakim ya Maha Bijaksana dan Ya Rashid Yang Maha Cerdas.

Diriku sedar pada diri setiap manusia yang berjaya itu, ada kurniaan Allah dari sifat Ya Baari’Nya. Ya AlimNya, Ya HakimNya dan Ya RasyidNya. Sesungguhnya kehebatan seseorang itu bukanlah milik dirinya, tetapi milik Allah semuanya dan Dia mengurniakan kepada sesiapa yang dia mahu dan Dia jua boleh mengambilnya pada bila-bila yang Dia mahu.

Oleh itu diriku akan sentiasa bermohon kepadaNya agar diberikanku sedikit ilmuNya, kebijaksaanNya dan kecerdasanNya, sifat perancangNya dan sifat kreatifNya agar diriku mampu mencipta idea dan perkara baru dalam hidup ini bagi berbakti kepadaNya dan kepada manusia seluruhnya.

Diriku juga akan terus bergantung kepada Ya Haadi yang sentiasa memberi petunjuk kepada diriku jalan terbaik dan Ya Ba’its yang sentiasa membakar semangatku agar diriku mampu mengharungi cabaran kehidupan bagi menempa kejayaan dan kecemerlangan. Dan sudah tentu diriku akan sentiasa mendampingi Ya Aziz agar semangatku sentiasa kuat, ya Matin agar jiwaku sentiasa teguh.

Thursday, December 4, 2008

Tips Menjadi anak cemerlang (16)


Bagaimana Diriku Menggapai Kemuliaan



Kemuliaan itu adalah hak milik Ya Dzal Jalali Wal Ikram Yang Maha Memiliki Kemuliaan dan Kebesaran, Ya Majid Yang Maha Mulia, Ya Adzim Yang Maha Agung dan Ya Kabir yang Maha Besar. Dialah Yang Maha Mulia, dan segala kemuliaan yang dirasakan oleh manusia semuanya milikNya dan beruntunglah orang-orang yang menggunakan kemuliaan dan harga diri ini untuk melakukan kebaikan kepada Allah dan kepada manusia dan rugilah yang menggunakan untuk memuaskan nafsu demi kebahagiaan dunia yang sementara.


Diriku akan bermohon kepadaNya agar diriku ini dimuliakan, dihargai dan dihormati oleh seluruh manusia di dunia ini. Dengan kemuliaan dan harga diri inilah diriku mampu mengharungi perjuangan hidup ini yang begitu mencabar dan penuh duri dan ranjau demi mencari redhaMu Ya Ilahi.


Tuesday, December 2, 2008

Tips Menjadi anak cemerlang (15)


Bagaimana Diriku Menggapai Cinta


Dengan menyerahkan seluruh cintaku buat Ya Wadud, diriku akan pasti mendapat cintaNya, cinta yang tidak ada tolok bandingnya. Ya Wadud akan pasti memasukkan perasaan cinta ini kedalam orang-orang di sekelilingku termasuklah ibubapaku dan bakal suami/isteriku kerana Dia ingin diriku merasai betapa indahnya cintaNya, walaupun sedikit. Apatah lagi cintaNya di akhirat nanti, sudah tentu tidak terjangkau oleh akalku yang cetek ini. Oleh itu diriku menggapai cintaNya dengan menanamkan cintaNya jauh dihati sanubariku dan diriku keluarkan cinta-cinta selain Allah dari hatiku, cinta manusia, makhluq, dunia dan nafsu itu diriku genggam sekuat-kuatnya di genggamanku sebagai amanah Allah. Diriku sedar cinta makhluq digenggamanku ini akan pergi meninggalkanku pada bila-bila masa dan ketika dia meninggalkanku, diriku akan melepaskannya dengan penuh rasa redha dan syukur kepada Tuhanku kerana kehilangan cinta sementara itu ada kebaikan buatku. Dan cinta Allah dihati akan ku jaga sebaik-baiknya yang akan menyuluh hatiku dengan An-Nurnya dan akan menyalakan bintang-bintang di hatiku umpama bintang-bintang di langit yang akan menjadi petunjuk jalan kepada diriku disepanjang kehidupan ini. Dengan cara ini, jiwaku pasti tenang kerana diriku pasti tidak akan kehilangan cinta yang begitu tulus, suci dan abadi daripada Ya Wadud, Ya Jalil dan Ya Quddus.


Monday, December 1, 2008

Tips Menjadi anak cemerlang (14)

Ketika Diriku Merasa Bosan Dengan Pelajaran dan Kehidupan..

Ya Allah Ya Alim Yang Memiliki Ilmu Yang Maha Luas, kurniakanlah daku pengetahuan tentang tujuan kehidupanku ini, Ya Haadi Yang Maha Pemberi Petunjuk, tunjukkan daku jalan kehidupan yang harus kulalui. Ya Nur Yang Maha Bercahaya, terangilah jiwaku ini agar mampu melihat jalan dan petunjukMu agar daku mampu memahami pelajaran yang diberikanMu melalui guruku dan daku mampu menggunakan pelajaran itu untuk kebaikan manusia. Daku juga sedar dengan ilmuMu Ya Alim kami mampu melaksanakan tugas sebagai hamba kepada Mu dan khalifah diatas dunia ini bagi berbuat baik kepada seluruh manusia. Daku juga sedar Ya Mu’id Yang Maha Mengembalikan, Engkau akan mengembalikan kami kepadaMu dan Engkau Ya Adil Yang Maha Adil akan mengadili daku dan memberikan daku balasan yang setimpal dengan perbuatan dan amalanku di dunia. Daku sedar Engkau Ya Mumit akan mematikanku bila-bila masa dan daku sesungguhnya tidak punya cukup masa untuk bermain dan berseronok kerana Dia akan memanggilku mengadapnya pada masa yang ku sendiri pun tidak mengetahuinya. Daku harus mempersiapkan diri untuk mengadapnya dengan melaksanakan segala arahanNya dan meninggalkan segala perintahNya.