~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Thursday, February 14, 2013

ALLAH MAHA MELIHAT



ALLAH AL-BASIIR (البصير)
YANG MAHA MELIHAT

Allah Al-Basiir Maha Melihat. Dia melihat setiap perbuatan manusia dan menghitung setiap perbuatan tersebut. Tiada sesuatupun yang boleh lari daripada pandangan dan    perhatian Allah. Manusia yang mengenali    Allah Al-Basiir akan sentiasa berwaspada atas apa sahaja tindakan dan aktiviti yang ingin  dilakukan kerana sudah pasti Allah melihat walaupun manusia lain tidak melihat.      

Manusia yang mengamalkan sifat Al-Basiir akan sentiasa melihat nasib dan masalah orang lain dan membantu manusia            menyelesaikan masalah hidup.

Tuesday, February 12, 2013

Kenali lah Allah Al - Hakam



ALLAH AL-HAKAM (الحكم)
YANG MAHA MENETAPKAN

Allah Al-Hakam mempunyai ketetapan hukum terhadap manusia. Allah menetapkan hukum untuk kebaikan manusia dan agar manusia mengikut jalan yang benar. Tiada siapa yang boleh menghalang dan mengengkari hukuman Allah. Manusia harus menerima apa sahaja hukum Allah sebagai anugerah dan nikmat, bukan    bencana.

Manusia harus membaca keputusan Hukuman Allah   sebagai satu ujian sebagai proses pembersihan dosa-dosa manusia, menerima penderitaan sebagai pengubatan dan redha di atas segala ketentuan Allah. Penghayatan kepada sifat

Allah Al-Hakam akan melahirkan manusia yang redha, tenang dan berusaha tanpa putus asa bagi mengatasi segala kesulitan dan bencana yang dikurniakan oleh  Allah Al-Hakam.

Monday, February 11, 2013

ALLAH MAHA 'ADIL



ALLAH AL-'ADLU (العدل)
YANG MAHA ADIL

Allah Al-Adl bersifat Maha Adil kepada makhluqNya. Seseorang tidak akan dirugikan dan dibalasi mengikut apa yang kita kerjakan. Jalan keburukan yang dilalui oleh manusia akan dibalas dengan adil oleh Allah Al-Adl. Manusia harus menerima pengadilan Allah    dengan penuh rasa nikmat kerana kasih sayangNya menyelamatkan kita daripada bencana. Keadilan     Allah tidak mampu ditafsirkan oleh manusia.           

Seringkali apa yang disukai Allah tidak disukai   manusia dan apa yang dibenci Allah disukai manusia. Oleh itu sentiasa ingat bahawa setiap pengadilan    Allah itulah yang paling adil dan baik untuk manusia dan terima dengan redha penuh rasa nikmat. 

Manusia harus menghayati sifat Al-Adl agar berlaku adil kepada semua orang tanpa memilih atau     memihak kepada orang-orang tertentu serta tidak mengikut hawa nafsu dalam memberi keadilan.

Thursday, February 7, 2013

Siapakah ALLAH AL-LATHIIF?



ALLAH AL-LATHIIF (اللطيف)
YANG MAHA LEMBUT

Allah Maha Lembut membawa erti hasil ciptaanNya maha halus, setiap takdir keatas manusia penuh kebaikan dan hikmah dan Allah melihat sesuatu dengan penuh lembut dan halus. Allah Al-Latif juga melayan hamba-hambaNya dengan penuh kelembutan dan kasih sayang.           Kelembutannya dapat dirasai ketika dimaafkan segala   kesalahan kita ketika kita memohon ampun, dimakbulkan segala keperluan ketika kita memohon, diselamatkan dari bala bencana ketika kita memohon perlindungan, kata-kata yang lembut oleh manusia sekeliling kita apabila    dialirkan kelembutanNya.

Penghayatan di dalam diri sebagai seorang khalifah mampu menjadikan seseorang itu bersikap lemah lembut sesama manusia kerana fitrah manusia sukakan       kelembutan dan tidak selesa dengan kekasaran.      Kelembutan itu dapat digambarkan melalui kata-kata yang sopan, tingkah laku yang sopan dan sikap suka   memaafkan, menerima kelemahan dan bertolak ansur.

Wednesday, February 6, 2013

Kenalilah Allah Al Khobiir



ALLAH AL-KHOBIIRالخبير))
YANG MAHA WASPADA

Allah Al-Khobiir  Yang Maha Waspada sentiasa      berwaspada terhadap tingkahlaku manusia. Sekiranya manusia terseleweng, maka akan diperbetulkan ke jalan yang benar. Penghayatan kepada sifat Al-Khobir akan melahirkan manusia yang sentiasa berwaspada dengan kehadiran, penglihatan dan kewaspadaan   Allah.

Mereka akan mengelakkan diri daripada perkara-perkara dosa, kemaksiatan dan kemarahan Allah. Khalifah Al-Khobir juga akan waspada dengan       kemaksiatan anak-anaknya, suaminya, sahabat-sahabatnya dan orang-orang sekelilingnya dengan mengingati serta menasihati mereka agar kembali ke jalan yang benar ketika mereka melakukan kesalahan dan dosa.

Tuesday, February 5, 2013

Jom kenal Allah Al-Haliim



ALLAH AL-HALIIM (الحليم)
YANG MAHA PENYANTUN

Allah Al-Halim Yang Maha Penyantun sentiasa bersifat santun kepada hamba-hambaNya walaupun hamba-hambaNya tidak santun kepadaNya. Dia santun dalam memberikan nasihat dan teguran, santun dalam layanan, santun dalam perkataan, santun dalam tindakbalas kasar hambaNya. Kesantunan Allah dapat dilihat dengan mata hati dalam diri wakil-wakilNya Al-Halim yang bersifat santun kepada sesama manusia.

Menghayati sifat Al-Halim, seseorang itu harus         menunjukkan kesantunan sesama manusia bagi         mengalirkan sifat kesantunan Allah kerana dengan     menyebarkan sifat santun Al-Halim akan melembutkan hati yang keras, menundukkan kesombongan orang yang sombong dan merendahkan orang- orang yang suka   meninggi diri dan berbangga dengan kehebatan diri. Manusia dilarang bersikap kasar kerana jiwa manusia itu inginkan dan sukakan kelembutan.

Tuesday, January 22, 2013

Doa Pencegah sihir



Ampunlah dosa-dosaku selama ini kerana lalai kepadaMu Ya Allah, aku bertaubat kepadaMu dan tunjukilah aku yang yang benar Ya Haadi. Ya Allah Ya Qahhar, Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Menundukkan, tundukkan ego dan sifat kejahatan pensihir yang mensihirkan ku agar pensihir mampu keluar daripada genggaman sihir dan syaitan. Ya Allah Ya Latif, Sesungguhnya Engkau Maha Lembut yang mampu melembutkan hati yang keras, lembutkan hati pensihir yang mensihirkanku agar dia mampu mengeluarkan sihir tersebut. Ya Allah ya Malik, yang maha Membalik-balikkan hati manusia, balik-balikkan hati pensihir agar menarik balik sihir ini. Ya Allah ya Haadi Yang Maha Memberi Petunjuk, berilah petunjukMu kepada pensihir itu agar kembali ke jalan yang benar dan bertaubat kepadaMu. Sesungguhnya kami tidak mampu menghadapi ujian ini dan keluar dari penyakit ini melainkan izin dan pertolonganMu. Engkaulah Ya Salam yang maha menyembuhkan, sembuhkanlah penyakit ini kerana aku ini beribadat kepadaMu dan menyembahMu.