~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Monday, March 19, 2012

Bicara hati ketika wudhu'


BICARA HATI UNTUK HADIR HATI SEMASA SOLAT

MELALUI PENGHAYATAN ASMA UL HUSNA

1.0 Pendahuluan

Panduan ini bertujuan untuk menangani masalah ketidakkusyukan didalam solat. Bicara ini adalah tambahan kepada kaedah-kaedah lain yang diterangkan di dalam pelbagai buku dan kuliah berkaitan dengan hadir hati di dalam solat. Semoga mendapat manafaat daripada sedikit ilmu dari Ya Alim Yang Maha Berilmu.

2.0 WUDUK - Membersihkan Jiwa Sebelum Mengadap Ya Quddus Yang Maha Suci dan Ya Jalil Yang Maha Jernih Melalui Wuduk.

2.1 Membasuh Tangan

Ya Allah Ya Quddus, Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Suci dan Ya Jalil, sesungguhmya Engkaulah Yang Maha Jernih, sucikanlah dosa-dosa yang dilakukan oleh tanganku (mengambil hak orang lain tanpa ku sedari, memukul orang yang tidak bersalah, terlebih menulis tuntutan, mengambil barang-barang yang haram kerana mengikut nafsuku). Sesungguhnya hanya Engkau Ya Quddus Ya Jalil yang mampu mensucikan dosa-dosa yang melekat ditanganku ini dan menjernihkan jiwaku, daku memohon kepada mu bersihkan, sucikanlah dan jernihkan Ya Allah Ya Quddus Ya Jalil agar daku mampu mengadapmu dalam keadaaan jiwa yang bersih.

2.2 Membasuh Mulut

Ya Allah Ya Quddus, Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Suci dan Ya Jalil, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Jernih, sucikanlah dosa-dosa yang dilakukan oleh mulutku (memakan yang haram, mengumpat orang, menfitnah orang, bercakap dusta, mengadu domba, bercakap kasar, merendahkan orang, menghina orang samada yang daku sedar atau tidak). Sesungguhnya hanya Engkau Ya Quddus yang mampu mensucikan dosa-dosa yang melekat dimulutku ini, daku memohon kepada mu bersihkan, sucikanlah dan jernihkan Ya Allah Ya Quddus agar daku mampu mengadapmu dalam keadaaan jiwa yang bersih.

2.3 Membasuh Muka

Ya Allah Ya Quddus, Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Suci dan Ya Jalil, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Jernih sucikanlah dosa-dosa yang dilakukan oleh mukaku kerana seringkali daku menghadap dan menyembah hawa nafsuku selain daripadaMu, sucikanlah dosa-dosa yang dilakukan oleh mataku yang seringkali melihat perkara-perkara yang haram samada sedar atau tidak. Sesungguhnya hanya Engkau Ya Quddus yang mampu mensucikan dosa-dosa yang melekat dimuka dan mataku ini, daku memohon kepada mu bersihkan, sucikanlah dan jernihkan Ya Allah Ya Quddus Ya Jalil agar daku mampu mengadapmu dalam keadaaan jiwa yang bersih.

Friday, March 9, 2012

Kuliah Penghayatan Asmaul Husna di Balok


Penceramah - Prof Madya Dr. Wan Maseri bt Wan Mohd sedang menyampaikan kuliahnya





Antara peserta yang hadir. Kebanyakannya daripada penduduk sekitar. Lebih kurang 30-40 orang yang hadir pada majlis ini.



Penceramah sedang melayan tetamu. Menandatangani buku tulisan beliau yang diminta 0leh peserta.

Terima kasih kepada tuan rumah kerana sudi menginfakkan rumah beliau untuk digunakan pada hari kejadian, juga juadah selepas tamat kuliah yang amat menyelerakan. Semoga Allah membalas jasa kalian dengan sebaik-baiknya.

Terima kasih juga buat para hadirin yang sanggup meluangkan masa untuk mendengar sedikit perkongsian untuk panduan hidup di dunia dan di akhirat. Semoga kita akan menjadi hamba Allah yang sentiasa berusaha untuk mengenalNya.


Monday, March 5, 2012

DOA MUNAJAT KEMERDEKAAN JIWA


DOA MUNAJAT KEMERDEKAAN JIWA

(Rintihan Jiwa yang Terpenjara)

Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Ya Allah, Ya Malik, Tuhan Yang Maha Memiliki segala apa yang ada di antara langit dan bumi, hatta diriku, diri suami/isteriku, diri anak2ku, diri ibubapaku, diri kawan2ku dan diri jiran tetanggaku, aku sedar ya Allah, aku hanya ciptaanMu, yang Kau ciptakan dari tanah yang hina dan kemudian kau pinjamkan kepadaku ilmuMu, hartaMu, wang ringgitMu, rumahMu, keretaMu serta suamu/isteri, anak2, kawan2 yang semuanya adalah ciptaanMu sebagai amanah dan pinjaman kepada aku agar aku dapat mengabdikan diri kepadaMu dan juga melaksanakan amanah KhalifahMu di dunia ini. Ampunilah aku kerana selama ini sering lupa asal usulku ya Allah, aku lupa aku dicipta dari tanah dan tiada apa2 kecuali apa yang diamanah dan dianugerahkan olehMu ya Allah. Ampunilah aku ya Allah kerana aku sering mengaku semuanya itu hakku, sedangkan semuanya itu hakMu semata-mata ya Allah.

Ya Allah, Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Suci, aku seringkali membaca ‘Laailaha illallah’ yang membawa erti ‘Tiada Tuhan Yang Layak di Sembah Melainkan Engkau Ya Allah’, namun aku sedar ianya hanya di bibir mulutku sahaja, ianya tidak mampu ku ucapkan dengan hatiku kerana sesungguhnya dalam hatiku ini masih banyak lagi tuhan2 lain selain Engkau Ya Allah. Aku selama ini bertuhankan nafsuku kerana aku lebih menurutkan nafsuku daripadaMu ya Allah, ampunkan aku ya Allah. Selama ini aku bertuhankan dunia, wangringgit dan hartabenda ya Allah dan seringkali aku mengabaikan perintahMu dan melanggar laranganMu ya Allah. Aku juga ya Allah lebih mengutamakan kata-kata manusia, kehendak manusia, makhluq ciptaanMu jua ya Allah dan tidak mengutamakan Engkau ya Allah. Ampunilah, ampunilah, ampunilah ya Allah segala dosa2 aku selama ini kerana bertuhankan lain daripadaMu ya Allah. Sesungguhnya jiwaku selama ini menjadi hamba nafsu, hamba dunia dan hamba manusia ya Allah. Jiwaku tersepit, terpenjara dan menderita kerana mengabdikan dan menghambakan diri kepada mahkluqMu yang lemah dan tidak kekal ya Allah. Selama ini jiwaku dikurung, tidak bebas melakukan apa yang jiwaku inginkan iaitu mengabdikan diri semata-mata kepadaMu ya Allah. Aku sering melakukan sesuatu untuk manusia dan mengharapkan ganjaran dan pujian manusia, tetapi sebaliknya ya Allah aku hanya mendapat kekecewaan dan penderitaan. Sesungguhnya kasih dan cinta manusia itu tidak kekal, tidak abadi dan tidak suci.

Ya Allah, kini kami sedar cintaMu ya Allah Ya Waddud, Allah Yang Maha Pencinta, cintaMu kekal abadi, tak pernah padam dan Engkau sentiasa mengasihiku dan memeliharaku serta memberi rezeki kepadaku. Engkau sentiasa berada disampingku ketika orang lain meninggalkanku, Engkau sentiasa memberi kepadaku ketika orang lain tidak mempedulikanku, Engkau sentiasa melindungiku ketika orang lain sering menyakitiku. Ya Allah, kini jiwaku tenang dengan kesedaran dan hidayahMu ini ya Allah. Bimbinglah aku ya Allah ke jalanMu, kejalan taqwaMu ya Allah.

Ya Allah, merdekakan jiwaku daripada menjadi hamba kepada dunia, manusia dan nafsu ya Allah. Sesungguhnya jiwaku ingin kembali kepada fitrah kejadianku yang sebenar iaitu menjadi hamba kepadaMu Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pencinta. Semoga kemerdekaan jiwaku ini akan membuahkan satu kehidupan yang berlandaskan kehendakMu dan semoga jiwaku merdeka dan damai serta bahagia dunia dan akhirat.

Wednesday, August 3, 2011

Keluarga Bahagia (18)


MENCARI KELAPANGAN HIDUP DENGAN BANTUAN ALLAH YA BASITH

Wanita yang disayangi,

Kehidupan ini telah diatur peraturannya oleh penciptanya iaitu Allah Ya Kholiq Yang Maha Mencipta. Perjalanan hidup manusia digariskan Allah melalui Islam, Iman dan Ihsan. Namun ramai manusia yang tidak mampu mengikuti peraturan yang ditetapkan Allah. Tetapi sifat Allah Ya Rahman Yang Maha Pemurah dan Ya Rahim Yang Maha Penyayang akan sentiasa menjaga dan memelihara orang-orang yang beriman daripada tergelincir daripada landasan Islam, Iman dan Ihsan.


Diantara cara Allah mengingatkan hamba2Nya ialah ketika hamba2 yang diberikan kelapangan hidup, mereka lalai terhadap tanggungjawab yang diberikan Allah kepada mereka iaitu ingat dan bersyukur sentiasa kepada Allah, membantu golongan susah dan yang memerlukan, maka Allah Ya Qobidh Yang Maha Menyempitkan akan memberi teguran dan peringatan dengan kesempitan hidup dan diambil kembali kelapangan dan pemberian yang diberikanNya. Sebab itulah seringkali ketika kita lalai, Allah menyempitkan hidup kita agar dengan kesempitan Allah ya Qobidh itu akan membuat kita ingat kepada Allah dan kembali mendekatkan diri dengan Allah sambil bermohon kelapangan dari Allah kerana Dia bersifat dengan sifat Al-Basith Yang Maha Melapangkan. Sesungguhnya apabila Allah Ya Qobidh menyempitkan, tiada siapa yang mampu melapangkan hidup seseorang kecuali Allah Ya Basith Yang Maha Melapangkan. Peringatan Allah s.w.t. melalui FirmanNya:


Ayat di atas menunjukkan bahawa sesiapa yang tidak mempedulikan peringatan Allah, ayat-ayat Allah, larangan Allah, maka dijanjikan kesempitan hidup bagi mereka. Oleh itu wanita sekalian, marilah kita meneliti dan merenungi apakah selama ini kita mengikuti peringatan Allah atau sebaliknya. Sekiranya kita merasa kesempitan hidup, renungilah solat kita, kebajikan yang kita lakukan, kerja-kerja da’wah yang kita sumbangkan untuk penerusan perjuangan Rasulullah s.a.w. dan perbaikilah sambil bermohon kepada Allah Ya Basith Yang Maha Melapangkan agar dilapangkan hidup kita dan juga dilapangkan hati kita untuk menjadi hambaNya yang taat kepadaNya.

Wanita yang dikasihi,

Berikut adalah beberapa tips untuk mendapatkan kelapangan hidup daripada Allah Ya Basith:

1) Banyakkan menyebut nama Allah Ya Basith Yang Maha Melapangkan sambil berbicara dengan Allah:

“Ya Allah Ya Qobidh Yang Maha Menyempitkan, daku sedar akan kesilapanku kepadaMu kerana kejahilanku dan kerana daku mengikut hawa nafsuku. Smpunilah dosa-dosaku Allah Ya Affuw, Ya Ghaffar, Ya Tawwab, sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha Pemaaf, Maha Pengampun dan Maha Menerima Taubat. Daku ingin mengadu kepadaMu Ya Allah Ya Sami’ yang maha mendengar yang maha Engkau mendengar setiap aduan, keluhan, rintihan dan permohonan akan kesempitan jiwa yang ku rasakan yang teramat sangat, dan daku sedar ini adalah ujian, hukuman dan keadilanMu Ya Allah Ya Qobidh Yang Maha Menyempitkan, Ya Hakam Yang Maha Menghukum dan Engkau Ya Adl Yang Maha Adil. Daku rela dan redha di atas ketentuan takdirMu Allah Ya Muqtadir Yang Maha Menentukan.


Daku sedar tiada siapa mampu melapangkan jiwa ini melainkan Engkau Ya Basith Yang Maha Melapangkan. Daku merayu, merintih dan memohon kepadaMu Allah Ya Basith agar Engkau melapangkan jiwa dan hidup ini agar daku mampu bersyukur kepadaMu, mengagumi akan kebesaran dan kehebatanMu dan seterusnya menyembahMu dengan penuh kerendahan dan mampu menjadi khalifah di bumiMu ini.”

2) Renungi pertolongan Allah Ya Basith dengan melihat dengan mata hati setiap perkara yang berlaku. Seringkali kelapanganNya diberikan dengan kemudahan melaksanakan sesuatu tugas sehingga dimurahkan rezeki oleh Allah Ya Razaq. Seringkali juga datang bantuan daripada orang yang membayar hutang dan seringkali juga datang kelapangan yang tidak disangka-sangka daripada punca yang tidak disangka-sangka.

3) Setelah mendapat kelapangan dan ketenangan, maka banyakkan bersyukur kepada Allah dan banyakkan amalan ibadah yang mendekatkan diri kepadaNya dan lakukan dengan bersungguh-sungguh. Dan ingatlah untuk melakukan kebaikan dan menolong orang lain yang memerlukan ketika berada dalam kelapangan.

Wanita yang disayangi,

Sedarilah bahawa setiap masalah hidup ini hanya mampu diselesaikan oleh Allah kerana Dialah yang Maha Berkuasa di atas segala apa yang berlaku, setiap manusia berada di dalam genggamanNya kerana Dia Ya Malik Yang Maha Memiliki dan yang Maha Menggenggam. Dia juga Ya Jabbar Yang Maha Berkuasa lagi Maha Pemaksa. Dia juga Ya Qohhar Yang Maha Menundukkan lagi Maha Mengalahkan.


Seringkali Allah ingin memperkenalkan kepada hamba2Nya akan kehebatan kekuasaanNya yang mana tiada siapa yang mampu mengatasinya. Tetapi sifat pengasih dan penyayangNya Allah Ya Rahman Ya Rahim mengatasi segala-galanya, kasih sayangNya yang akan membuka jalan penyelesaian kepada segala masalah sekiranya kita kembali kepadaNya dan memohon denganNya dengan menginsafi akan kelemahan diri dan kehebatan Allah.

Wednesday, July 13, 2011

Keluarga Bahagia (17)


BERGURU DENGAN ALLAH YA ALIM, YA HAKIM DAN YA RASHID MAMPU MENCIPTA KEAJAIBAN

Wanita yang disayangi,

Menjalani hidup di atas dunia ini memerlukan kepada ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan kepintaran. Sekiranya hidup dalam keadaan jahil, tentulah kita akan melalui jalan yang sesat dan salah dan sekiranya melakukan sesuatu tanpa ilmu dan kebijaksanaan, jadilah hasil kerja itu tidak sepertimana yang dikehendaki dan selalunya rosak dan mendatangkan masalah, begitu juga dalam kita melakukan ibadah kepada Allah, tanpa ilmu tentang ibadah itu sendiri dan bagaimana Rasulullah melakukannya, tentulah kita akan tersalah dan seringkali memasuki dalam perkara bidaah yang dilarang Allah. Begitu juga dalam membuat perubahan dan mentadbir dunia ini, manusia sudah dibekalkan dengan aqal yang mampu meresapi ilmu dan kebijaksanaan Allah yang dialirNya setiap saat dan ketika, Cuma manusia tidak menyedari dan tidak menyediakan diri untuk dialirkan ilmu Allah Ya Alim dan kebijaksanaan Allah Ya Hakim.

Sesungguhnya manusia yang merasa diri sudah cukup, tidak mampu menambah ilmu lagi dan dia tidak mampu untuk merendah diri belajar dari orang lain. Hanya orang yang mampu merendah diri dengan Allah Ya Alim, Ya Hakim dan Ya Rashid dengan mengakui akan kejahilan diri serta rela dan redha untuk dialirkan ilmu Allah Ya Alim, Kebijaksanaan Allah Ya Hakim dan Kepintaran Allah Ya Rashid akan dialirkan ilmu dan kebijaksanaan Nya. Allah mengajar kita dalam FirmanNya:


Ayat di atas menunjukkan manusia tidak mengetahui apa-apapun selain daripada apa yang diajar oleh Allah ya Alim ya Hakim dan dengan ayat ini Allah mengajar kita untuk merendah diri, menginsafi diri dan mengakui bahawa diri manusia ini sesungguhnya amat jahil dan tidak mengetahui tanpa ilmu yang dialirkan Allah.

Seringkali kita begitu susah untuk menghadiri majlis-majlis ilmu terutama ilmu agama yang mampu menunjuk jalan yang benar kepada kita. Kesibukan dunia seringkali menyebabkan kita tidak mampu menjadikan pencarian ilmu sebagai agenda hidup kita kerana ada yang lebih utama yang dikejar iaitu dunia, jawatan dan wang ringgit.


Tidak dinafikan jiwa yang dalam sering meronta inginkan ilmu dan kebijaksanaan Allah, tetapi hafsu tidak menyukainya kerana sifat nafsu itu sukakan kesenangan, keselesaan dan kemalasan. Kita seringkali kalah dengan hawa nafsu dan bisikan syaitan kerana hati belum benar-benar suci dan tulus kepada Allah. Oleh itu wanita yang dikasihi, untuk menjadikan jiwa cintakan ilmu, hendaklah jiwa ini dibersihkan oleh Allah Ya Affuw, Ya Ghaffar, Ya Tawwab, Ya Quddus dan Ya Jalil. Amalkan bicara dengan Allah seperti berikut:

“Ya Allah Ya Affuw Yang Maha Pemaaf, Ya Ghaffar Yang Maha Pengampun, Ya Tawwab Yang Maha Menerima Taubat, daku ini hambaMu yang banyak melakukan dosa dan kesalahan kepadaMu, kini mengakui dan menginsafi kesalahan dan kehinaan serta kekotoran diri dan dengan sifat Maha PengampunMu Ya Allah, daku kini menadah tangan memohon, merayu dan merintih kepadaMu akan keampunanMu dari segala dosa dan kemaksiatan yang daku lakukan selama ini.


Sekiranya Engkau tidak memaafkan dan mengampuni daku, tentulah daku ini termasuk hambaMu yang rugi di dunia dan akhirat. Daku juga ingin memohon kepadaMu Allah Ya Quddus Yang Maha Suci dan Ya Jalil Yang Maha Jernih agar kekotoran jiwa ini disuci dan dibersihkan, dan seterusnya Allah Ya Nuur, pancarkanlah cahayaMu dan alirkan kelembutanMu Ya Latif kepada jiwa ini agar ia mampu melihat dan menerima petunjukMu, bimbinganMu dan ilmuMu.”

Wanita yang dikasihi,

Marilah kita merenungi beberapa tips dalam kita belajar dengan Allah Ya Alim Yang Maha Berilmu dan Ya Hakim Yang Maha Bijaksana:

1) Sebutlah nama Allah Ya Alim, Ya Hakim dan Ya Rashid sebanyak-banyaknya sambil berbicara dengan Allah:

“Ya Allah Ya Alim Yang Maha Berilmu, Ya Hakim Yang Maha Bijaksana dan Ya Rashid Yang Maha Pintar, seluruh ilmu, kebijaksanaan dan kepintaran yang ada pada makhluqMu seluruhnya adalah sesungguhnya ilmu, kebijaksanaan dan kepintaranMu.


Daku ini hambaMu yang jahil dan tidak mengetahui kecuali sedikit yang Engkau ajarkan kepadaku. Daku ingin memohon kepadaMu akan ilmuMu Ya Alim, KebijaksanaanMu Ya Hakim dan KepintaranMu Ya Rashid kerana semuanya itu milikMu, agar dengan ilmu, kebijaksanaan dan kepintaranMu, daku mampu mengenaliMu dengan lebih dekat dan merasa kagum denganMu dan dengan itu mampu untuk menyembahMu dengan sebenar-benar merasa kerendahan diri.


Daku juga perlukan ilmu dan kebijaksanaanMu Ya Allah Ya Alim Ya Hakim untuk melaksanakan amanah khalifah yang Engkau berikan kepada diriku bagi mentadbir alam ini mengikut kehendakMu.”

2) Mohonlah berulang-ulang dengan diiringi solat dan sabar. Sesungguhnya Allah akan mengajarkan ilmuNya dengan pelbagai cara. Diantaranya dibukakan jalan kemudahan bagi kita untuk pergi ke majlis-majlis ilmu, dianugerahkan kitab dan buku-buku yang mengandungi ilmu yang diperlukan, dihantar seseorang yang mempunyai ilmu tersebut kepada kita dengan tidak disangka-sangka. Dan seringkali juga Allah mengilhamkan ilmu tersebut kepada seseorang hamba yang dipilihNya.

3) Kemudian, belajarlah bersungguh-sungguh ilmu tersebut dan fikirkan bersungguh-sungguh berbekalkan kebijaksanaan dan kepintaran Allah sehingga faham, mampu beramal dan mampu menyebarkan kepada orang lain.

4) Setelah mendapat ilmu yang ingin dipelajari, lakukanlah khidmat kepada masyarakat bagi membantu golongan yang memerlukan dengan mengajar mereka ilmu tersebut. Ingatlah sentiasa bahawa ilmu itu bukan ilmu kita tetapi ilmu Allah Ya Alim Ya Hakim, kita ini hanyalah khalifahNya dalam menyebarkan ilmu tersebut kepada hamba-hamba pilihanNya.

5) Amalkan tips di atas untuk mendapatkan ilmu tentang bagaimana menjadi isteri solehah, ibu mithali, anak yang bertanggungjawab, jiran yang baik dan prihatin, ahli masyarakat yang prihatin dan seterusnya bagaimana untuk memainkan peranan menyebarkan islam kepada masyarakat bagi meneruskan tugas Ar-Rasul s.a.w.

Wanita yang dihormati,

Sesungguhnya bergantung kepada Allah Ya Alim, Ya Hakim dan ya Rashid merupakan penyelesaian kepada masalah kejahilan, ketidaktahuan dan kebuntuan. Allah pasti akan mengalirkan ilmu dan kebijaksaanNya bagi sesiapa yang memohon kepadaNya dan yaqin bahawa Dia Memiliki apa sahaja ilmu yang diperlukan di dunia ini dan mampu memberikan kepada sesiapa sahaja. Dan akhirnya bersyukurlah kepada Allah kerana dengan ilmuNya itu kita semakin hampir denganNya dan mampu berjalan di atas jalan yang lurus yang dikehendaki oleh Allah.

Monday, July 11, 2011

Ya Rahman...Yang Maha Pengasih


Allah Ya Rahman yang Maha Pengasih, Pemurah atau Yang Maha Belas Kasihan (rahmat). Dia menaburkan kasih kepada semua makhluq di dunia ini walaupun manusia tidak menyembahNya dan tidak mengucapkan terima kasih kepadaNya atau tidak meminta kepadaNya. Rahmat Allah meliputi segala-galanya.



Ar-Rahman adalah vitamin jiwa. Setiap manusia memerlukan kasih sayang. Kasihsayang mampu melahirkan kekuatan luar biasa. Alirkan kasihsayang Ar-Rahman kepada manusia sekeliling kita, pasti kebahagiaan menunggu kita.



Sedetikpun tidak pernah memperlihatkan perasaan benci.Setiap kata2nya mengeluarkan mutiara2 kasih. Setiap tatapan matanya memancarkan kasih. Gerakan kaki dan tangannya hanya bertujuan menolong atas dasar kasih dan bukan kepentingan diri