~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Wednesday, March 10, 2010

Mewujudkan Kebahagiaan keluarga melalui penghayatan Asmaul Husna (18)


MENCARI KELAPANGAN HIDUP DENGAN BANTUAN ALLAH YA BASITH



Wanita yang disayangi,

Kehidupan ini telah diatur peraturannya oleh penciptanya iaitu Allah Ya Kholiq Yang Maha Mencipta. Perjalanan hidup manusia digariskan Allah melalui Islam, Iman dan Ihsan. Namun ramai manusia yang tidak mampu mengikuti peraturan yang ditetapkan Allah. Tetapi sifat Allah Ya Rahman Yang Maha Pemurah dan Ya Rahim Yang Maha Penyayang akan sentiasa menjaga dan memelihara orang-orang yang beriman daripada tergelincir daripada landasan Islam, Iman dan Ihsan. Diantara cara Allah mengingatkan hamba2Nya ialah ketika hamba2 yang diberikan kelapangan hidup, mereka lalai terhadap tanggungjawab yang diberikan Allah kepada mereka iaitu ingat dan bersyukur sentiasa kepada Allah, membantu golongan susah dan yang memerlukan, maka Allah Ya Qobidh Yang Maha Menyempitkan akan memberi teguran dan peringatan dengan kesempitan hidup dan diambil kembali kelapangan dan pemberian yang diberikanNya. Sebab itulah seringkali ketika kita lalai, Allah menyempitkan hidup kita agar dengan kesempitan Allah ya Qobidh itu akan membuat kita ingat kepada Allah dan kembali mendekatkan diri dengan Allah sambil bermohon kelapangan dari Allah kerana Dia bersifat dengan sifat Al-Basith Yang Maha Melapangkan. Sesungguhnya apabila Allah Ya Qobidh menyempitkan, tiada siapa yang mampu melapangkan hidup seseorang kecuali Allah Ya Basith Yang Maha Melapangkan.

Ayat di atas menunjukkan bahawa sesiapa yang tidak mempedulikan peringatan Allah, ayat-ayat Allah, larangan Allah, maka dijanjikan kesempitan hidup bagi mereka. Oleh itu wanita sekalian, marilah kita meneliti dan merenungi apakah selama ini kita mengikuti peringatan Allah atau sebaliknya. Sekiranya kita merasa kesempitan hidup, renungilah solat kita, kebajikan yang kita lakukan, kerja-kerja da’wah yang kita sumbangkan untuk penerusan perjuangan Rasulullah s.a.w. dan perbaikilah sambil bermohon kepada Allah Ya Basith Yang Maha Melapangkan agar dilapangkan hidup kita dan juga dilapangkan hati kita untuk menjadi hambaNya yang taat kepadaNya.


Wanita yang dikasihi,

Berikut adalah beberapa tips untuk mendapatkan kelapangan hidup daripada Allah Ya Basith:


1) Banyakkan menyebut nama Allah Ya Basith Yang Maha Melapangkan sambil berbicara dengan Allah:

“Ya Allah Ya Qobidh Yang Maha Menyempitkan, daku sedar akan kesilapanku kepadaMu kerana kejahilanku dan kerana daku mengikut hawa nafsuku. Smpunilah dosa-dosaku Allah Ya Affuw, Ya Ghaffar, Ya Tawwab, sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha Pemaaf, Maha Pengampun dan Maha Menerima Taubat. Daku ingin mengadu kepadaMu Ya Allah Ya Sami’ yang maha mendengar yang maha Engkau mendengar setiap aduan, keluhan, rintihan dan permohonan akan kesempitan jiwa yang ku rasakan yang teramat sangat, dan daku sedar ini adalah ujian, hukuman dan keadilanMu Ya Allah Ya Qobidh Yang Maha Menyempitkan, Ya Hakam Yang Maha Menghukum dan Engkau Ya Adl Yang Maha Adil. Daku rela dan redha di atas ketentuan takdirMu Allah Ya Muqtadir Yang Maha Menentukan. Daku sedar tiada siapa mampu melapangkan jiwa ini melainkan Engkau Ya Basith Yang Maha Melapangkan. Daku merayu, merintih dan memohon kepadaMu Allah Ya Basith agar Engkau melapangkan jiwa dan hidup ini agar daku mampu bersyukur kepadaMu, mengagumi akan kebesaran dan kehebatanMu dan seterusnya menyembahMu dengan penuh kerendahan dan mampu menjadi khalifah di bumiMu ini.”


2) Renungi pertolongan Allah Ya Basith dengan melihat dengan mata hati setiap perkara yang berlaku. Seringkali kelapanganNya diberikan dengan kemudahan melaksanakan sesuatu tugas sehingga dimurahkan rezeki oleh Allah Ya Razaq. Seringkali juga datang bantuan daripada orang yang membayar hutang dan seringkali juga datang kelapangan yang tidak disangka-sangka daripada punca yang tidak disangka-sangka.


3) Setelah mendapat kelapangan dan ketenangan, maka banyakkan bersyukur kepada Allah dan banyakkan amalan ibadah yang mendekatkan diri kepadaNya dan lakukan dengan bersungguh-sungguh. Dan ingatlah untuk melakukan kebaikan dan menolong orang lain yang memerlukan ketika berada dalam kelapangan.


Wanita yang disayangi,

Sedarilah bahawa setiap masalah hidup ini hanya mampu diselesaikan oleh Allah kerana Dialah yang Maha Berkuasa di atas segala apa yang berlaku, setiap manusia berada di dalam genggamanNya kerana Dia Ya Malik Yang Maha Memiliki dan yang Maha Menggenggam. Dia juga Ya Jabbar Yang Maha Berkuasa lagi Maha Pemaksa. Dia juga Ya Qohhar Yang Maha Menundukkan lagi Maha Mengalahkan. Seringkali Allah ingin memperkenalkan kepada hamba2Nya akan kehebatan kekuasaanNya yang mana tiada siapa yang mampu mengatasinya. Tetapi sifat pengasih dan penyayangNya Allah Ya Rahman Ya Rahim mengatasi segala-galanya, kasih sayangNya yang akan membuka jalan penyelesaian kepada segala masalah sekiranya kita kembali kepadaNya dan memohon denganNya dengan menginsafi akan kelemahan diri dan kehebatan Allah.

Tuesday, March 9, 2010

Mewujudkan Kebahagiaan keluarga melalui penghayatan Asmaul Husna (17)


BERGURU DENGAN ALLAH YA ALIM, YA HAKIM DAN YA RASHID MAMPU MENCIPTA KEAJAIBAN


Wanita yang disayangi,

Menjalani hidup di atas dunia ini memerlukan kepada ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan kepintaran. Sekiranya hidup dalam keadaan jahil, tentulah kita akan melalui jalan yang sesat dan salah dan sekiranya melakukan sesuatu tanpa ilmu dan kebijaksanaan, jadilah hasil kerja itu tidak sepertimana yang dikehendaki dan selalunya rosak dan mendatangkan masalah, begitu juga dalam kita melakukan ibadah kepada Allah, tanpa ilmu tentang ibadah itu sendiri dan bagaimana Rasulullah melakukannya, tentulah kita akan tersalah dan seringkali memasuki dalam perkara bidaah yang dilarang Allah. Begitu juga dalam membuat perubahan dan mentadbir dunia ini, manusia sudah dibekalkan dengan aqal yang mampu meresapi ilmu dan kebijaksanaan Allah yang dialirNya setiap saat dan ketika, Cuma manusia tidak menyedari dan tidak menyediakan diri untuk dialirkan ilmu Allah Ya Alim dan kebijaksanaan Allah Ya Hakim. Sesungguhnya manusia yang merasa diri sudah cukup, tidak mampu menambah ilmu lagi dan dia tidak mampu untuk merendah diri belajar dari orang lain. Hanya orang yang mampu merendah diri dengan Allah Ya Alim, Ya Hakim dan Ya Rashid dengan mengakui akan kejahilan diri serta rela dan redha untuk dialirkan ilmu Allah Ya Alim, Kebijaksanaan Allah Ya Hakim dan Kepintaran Allah Ya Rashid akan dialirkan ilmu dan kebijaksanaan Nya.


Ayat di atas menunjukkan manusia tidak mengetahui apa-apapun selain daripada apa yang diajar oleh Allah ya Alim ya Hakim dan dengan ayat ini Allah mengajar kita untuk merendah diri, menginsafi diri dan mengakui bahawa diri manusia ini sesungguhnya amat jahil dan tidak mengetahui tanpa ilmu yang dialirkan Allah.

Seringkali kita begitu susah untuk menghadiri majlis-majlis ilmu terutama ilmu agama yang mampu menunjuk jalan yang benar kepada kita. Kesibukan dunia seringkali menyebabkan kita tidak mampu menjadikan pencarian ilmu sebagai agenda hidup kita kerana ada yang lebih utama yang dikejar iaitu dunia, jawatan dan wang ringgit. Tidak dinafikan jiwa yang dalam sering meronta inginkan ilmu dan kebijaksanaan Allah, tetapi hafsu tidak menyukainya kerana sifat nafsu itu sukakan kesenangan, keselesaan dan kemalasan. Kita seringkali kalah dengan hawa nafsu dan bisikan syaitan kerana hati belum benar-benar suci dan tulus kepada Allah. Oleh itu wanita yang dikasihi, untuk menjadikan jiwa cintakan ilmu, hendaklah jiwa ini dibersihkan oleh Allah Ya Affuw, Ya Ghaffar, Ya Tawwab, Ya Quddus dan Ya Jalil. Amalkan bicara dengan Allah seperti berikut:

“Ya Allah Ya Affuw Yang Maha Pemaaf, Ya Ghaffar Yang Maha Pengampun, Ya Tawwab Yang Maha Menerima Taubat, daku ini hambaMu yang banyak melakukan dosa dan kesalahan kepadaMu, kini mengakui dan menginsafi kesalahan dan kehinaan serta kekotoran diri dan dengan sifat Maha PengampunMu Ya Allah, daku kini menadah tangan memohon, merayu dan merintih kepadaMu akan keampunanMu dari segala dosa dan kemaksiatan yang daku lakukan selama ini. Sekiranya Engkau tidak memaafkan dan mengampuni daku, tentulah daku ini termasuk hambaMu yang rugi di dunia dan akhirat. Daku juga ingin memohon kepadaMu Allah Ya Quddus Yang Maha Suci dan Ya Jalil Yang Maha Jernih agar kekotoran jiwa ini disuci dan dibersihkan, dan seterusnya Allah Ya Nuur, pancarkanlah cahayaMu dan alirkan kelembutanMu Ya Latif kepada jiwa ini agar ia mampu melihat dan menerima petunjukMu, bimbinganMu dan ilmuMu.”

Wanita yang dikasihi,

Marilah kita merenungi beberapa tips dalam kita belajar dengan Allah Ya Alim Yang Maha Berilmu dan Ya Hakim Yang Maha Bijaksana:

1) Sebutlah nama Allah Ya Alim, Ya Hakim dan Ya Rashid sebanyak-banyaknya sambil berbicara dengan Allah:

“Ya Allah Ya Alim Yang Maha Berilmu, Ya Hakim Yang Maha Bijaksana dan Ya Rashid Yang Maha Pintar, seluruh ilmu, kebijaksanaan dan kepintaran yang ada pada makhluqMu seluruhnya adalah sesungguhnya ilmu, kebijaksanaan dan kepintaranMu. Daku ini hambaMu yang jahil dan tidak mengetahui kecuali sedikit yang Engkau ajarkan kepadaku. Daku ingin memohon kepadaMu akan ilmuMu Ya Alim, KebijaksanaanMu Ya Hakim dan KepintaranMu Ya Rashid kerana semuanya itu milikMu, agar dengan ilmu, kebijaksanaan dan kepintaranMu, daku mampu mengenaliMu dengan lebih dekat dan merasa kagum denganMu dan dengan itu mampu untuk menyembahMu dengan sebenar-benar merasa kerendahan diri. Daku juga perlukan ilmu dan kebijaksanaanMu Ya Allah Ya Alim Ya Hakim untuk melaksanakan amanah khalifah yang Engkau berikan kepada diriku bagi mentadbir alam ini mengikut kehendakMu.”

2) Mohonlah berulang-ulang dengan diiringi solat dan sabar. Sesungguhnya Allah akan mengajarkan ilmuNya dengan pelbagai cara. Diantaranya dibukakan jalan kemudahan bagi kita untuk pergi ke majlis-majlis ilmu, dianugerahkan kitab dan buku-buku yang mengandungi ilmu yang diperlukan, dihantar seseorang yang mempunyai ilmu tersebut kepada kita dengan tidak disangka-sangka. Dan seringkali juga Allah mengilhamkan ilmu tersebut kepada seseorang hamba yang dipilihNya.

3) Kemudian, belajarlah bersungguh-sungguh ilmu tersebut dan fikirkan bersungguh-sungguh berbekalkan kebijaksanaan dan kepintaran Allah sehingga faham, mampu beramal dan mampu menyebarkan kepada orang lain.

4) Setelah mendapat ilmu yang ingin dipelajari, lakukanlah khidmat kepada masyarakat bagi membantu golongan yang memerlukan dengan mengajar mereka ilmu tersebut. Ingatlah sentiasa bahawa ilmu itu bukan ilmu kita tetapi ilmu Allah Ya Alim Ya Hakim, kita ini hanyalah khalifahNya dalam menyebarkan ilmu tersebut kepada hamba-hamba pilihanNya.

5) Amalkan tips di atas untuk mendapatkan ilmu tentang bagaimana menjadi isteri solehah, ibu mithali, anak yang bertanggungjawab, jiran yang baik dan prihatin, ahli masyarakat yang prihatin dan seterusnya bagaimana untuk memainkan peranan menyebarkan islam kepada masyarakat bagi meneruskan tugas Ar-Rasul s.a.w.

Wanita yang dihormati,

Sesungguhnya bergantung kepada Allah Ya Alim, Ya Hakim dan ya Rashid merupakan penyelesaian kepada masalah kejahilan, ketidaktahuan dan kebuntuan. Allah pasti akan mengalirkan ilmu dan kebijaksaanNya bagi sesiapa yang memohon kepadaNya dan yaqin bahawa Dia Memiliki apa sahaja ilmu yang diperlukan di dunia ini dan mampu memberikan kepada sesiapa sahaja. Dan akhirnya bersyukurlah kepada Allah kerana dengan ilmuNya itu kita semakin hampir denganNya dan mampu berjalan di atas jalan yang lurus yang dikehendaki oleh Allah.

Monday, March 8, 2010

Mewujudkan Kebahagiaan keluarga melalui penghayatan Asmaul Husna (16)


MEMBUKA KEKUSUTAN DAN KESEMPITAN HIDUP DENGAN BANTUAN ALLAH YA FATAH


Wanita yang disayangi,
Kehidupan ini penuh dengan ujian samada ujian kesenangan atau ujian kemiskinan.

Ini mengingatkan manusia tentang ujian itu ada yang berbentuk kesenangan dan ada yang berbentuk kesempitan dan kemiskinan. Ketika diuji dengan kesenanangan, hendaklah seseorang itu jangan lupa mengucapkan syukur kepada Allah Ya Wahhab Ya Razaq Ya Rahman Ya Rahim iaitu Dia Yang Maha Memberi Pertolongan, Yang Maha Memberi Rezeki, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Begitu juga ketika dalam kesusahan, kemiskinan dan kesempitan, masih ada harapan daripada Allah Ya Fatah Yang Maha Membuka Jalan, Yang Maha Membuka Kekusutan, Yang Maha Membuka jalan penyelesaian kepada segala masalah. Sentiasalah menadah tangan memohon kepada Allah Ya Fatah agar dibukakan pintu penyelesaian dan pintu kelapangan serta pintu rezeki kepada kita. Dan ingatlah Allah Ya Mujib Yang Maha Mengabul doa tidak pernah mengsia-siakan permohonan dan rintihan hamba2Nya yang memohon dan merintih.


Wanita yang dikasihi,
Marilah kita merenungi bahawa kemiskinan dan kesempitan yang kita lalui merupakan ujian sementara yang mana Allah ingin mengetahui siapakah diantara hambaNya yang beriman dan sabar dalam menanggung ujianNya. Sesungguhnya kesempitan yang paling dahsyat adalah ketika Allah melemparkan hamba2Nya yang derhaka ke nerakaNya yang penuh dengan azab dan siksa.


Kita mohon dijauhi kesempitan api neraka yang amat dahsyat itu. Semoga Allah melapangkan kita di akhirat kelak dengan ganjaran syurgaNya Yang Nikmatnya tidak mampu dibayangkan oleh aqal fikiran. Kita juga perlu merenungi selain daripada kesempitan hidup, ada lagi kesempitan yang amat merugikan.


Wanita yang disayangi,
Sesungguhnya kelapangan rezeki yang paling baik adalah syurga di akhirat kelak kerana ianya merupakan nikmat yang teramat hebat dan kekal abadi, sedangkan nikmat dunia ini terlalu sedikit dan tidak kekal, semuanya akan musnah dan ditinggalkan.


Wanita yang dihormati,
Dalam kita menerima dan menikmati rezeki Allah juga, hendaklah kita jangan lupa dan kikir mengeluarkan sebahagian untuk disedekahkan kepada golongan yang memerlukan temasuk fakir miskin, anak yatim, jihad fil sabilillah dan sebagainya tanda rasa syukur. Firman Allah s.w.t:

Wanita yang dikasihi,
Marilah kita sentiasa menadah tangan mengharapkan mengharapkan Allah Ya Fatah membuka jalan hidup menuju kepadaNya, membuka jalan agar kebaikan dan kemuliaan Allah dapat masuk dan mengalir ke dalam jiwa serta membuka jalan penyelesaian kepada seluruh masalah kehidupan. Beberapa tips bergantung kepada Allah Ya Fatah:
1) Sebutlah nama Allah Ya Fatah sebanyak-banyaknya sambil berbicara dengan Allah Ya fatah:
“Ya Allah Ya Fatah, Engkaulah sesungguhnya yang Maha Membuka, daku ini hambaMu yang mengharapkan pertolonganMu dan ingin mendekatkan diri kepadaMu. Daku memohon kepadaMu agar Dikau buka jalan meuju kepadaMu, hanya ketika Engkau membuka jalanMu Ya Fatah, barulah daku mampu melihat dan melaluinya, sekiranya Engkau menutup pintu jalan menujuMu, tentulah daku tidak mampu untuk mendekatiMu dan sekiranya Engkau menjauhi dariku tentulah hidupku dalam keadaan yang sukar dan tidak berdaya. Bukakanlah jalan menuju kepadaMu dan tunjukilah dan sinarilah jalan itu Allah Ya Haadi agar daku mampu melaluinya dengan mudah untuk sampai dekat kepadaMu.”

2) Sebutlah nama Allah Ya Fatah sebanyak-banyaknya sambil berbicara dengan Allah Ya fatah:
“Ya Allah Ya Fatah Yang Maha Membuka, bukakanlah pintu hatiku agar kebaikanMu Ya Rahman Yang Maha Pemurah, Ya Rahim Yang Maha Penyayang, Ya Barr Yang Maha Baik dan KemuliaanMu Ya Majid Yang Maha Mulia, Ya Karim Yang Maha Mulia dan Ya Dzal Jalalil Walikram Yang Maha Mempunyai Kemuliaan dan Kebesaran mampu masuk dan mengalir ke dalam jiwa ini sehingga jiwa ini mampu melihat akan kebesaran dan kekuasaanMu dan mampu merasa kasih sayangMu yang sangat hebat, tidak tergambar oleh fikiran manusia itu dan seterusnya daku mampu mengalirkan kebaikan dan kemuliaanMu ini kepada manusia lain sebagai memunaikan tugas dan amanah khalifah di atas muka bumi ini.”


3) Sebutlah nama Allah Ya Fatah sebanyak-banyaknya sambil berbicara dengan Allah Ya fatah:
“Ya Allah Ya Fatah Yang Maha Membuka, bukakanlah jalan penyelesaian kepada masalah hidupku ini yang penuh dengan ujianMu yang sememangnya Engkau bentangkan kepadaku demi mengujiku samada daku ini benar2 taat dan beriman kepadaMu. Ya Allah, daku ini tidak mampu, sangat lemah dan tidak berdaya dan sudah buntu untuk keluar daripada masalah hidupku ini, oleh itu tiada siapa lagi yang daku harapkan selain dariMu Allah Ya Fatah yang Maha Membuka Jalan Keluar dari segala masalah hidupku, daku memohon kepadaMu Ya Fatah, bukakanlah keluar bagiku agar daku mampu meneruskan hidup di dunia ini sebagai hambaMu dan khalifahMu.”


4) Mohonlah berulang-ulang dengan diiringi solat dan sabar. Sesungguhnya Allah membuka jalan mengikut cara dan waktu yang sesuai yang hanya Allah yang menentukan dan mengetahuinya kerana Dia lebih tahu yang terbaik buat hambaNya. Jangan sesekali putus asa, teruskan memohon sambil membuat kebaikan dan perintahNya dengan hati yang ikhlas dan sabar.


5) Kemudian, renungi setiap pembukaan yang dibukakan oleh Allah ya Fatah samada melalui diri kita sendiri atau melalui orang lain yang menjadi wakil Allah Ya Fatah. Jalanilah jalan yang dibuka itu bersungguh-sungguh juga dengan pertolonganNya dan syukuri setiap pembukaanNya walaupun tidak sepertimana yang kita harap dan gambarkan. Setiap pembukaanNya sudah pasti ada kebaikan dan hikmah untuk diri kita.


Wanita yang dihormati,
Sesungguhnya bergantung kepada Allah Ya Fatah Yang Maha Membuka ketika semua jalan sudah tertutup adalah lebih utama dan lebih baik dari meminta-minta dengan makhluq yang juga merupakan hamba seperti kita yang sama-sama bergantung kepada Allah jua. Sekiranya bantuan datang dari seseorang tanpa diminta-minta, itulah bantuan dan pembukaan jalan yang dbuka oleh Allah Ya Fatah Yang Maha membuka jalan. Jangan lupa kunci menjadi seorang hamba terletak pada rasa redha dan syukur kepada Tuhan yang Maha menciptakan dan Maha memberi, yang akhirnya membuat jiwa merasa cukup dan merasa kaya kerana rasa bahagia yang dialirkan Allah ke dalam jiwa kita.

Saturday, March 6, 2010

Mewujudkan Kebahagiaan keluarga melalui penghayatan Asmaul Husna (15)

YAKIN DAN REDHA DENGAN REZEKI ALLAH YA RAZAQ MEMBUAT JIWA KAYA


Wanita yang disayangi,

Dalam kehidupan yang mencabar pada hari ini, kita seringkali merasakan tidak cukup dengan apa yang ada yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Keperluan harian makin bertambah, tetapi rezeki Allah seringkali dirasakan tidak mencukupi menampung keperluan hidup. Sesungguhnya rezeki itu hanya datang dari Allah Ya Razaq dan pasti mencukupi keperluan kita, cuma kadang-kadang rezekiNya tidak sepertimana yang dikehendaki oleh hawa nafsu kita.


Wanita yang dikasihi,

Sesungguhnya hidup kita pada hari ini sudah banyak dibentuk oleh orang-orang kafir. Keperluan hidup seringkali dicipta oleh orang-orang kafir yang akan membuatkan hati kita sesak jika tidak memilikinya. Seperti television, kereta, perabot rumah dan sebagainya sudah dianggap sebagai satu keperluan hidup umpama sudah wajib dipunyai, jika tidak tidak dapat hidup atau merasa gelisah dan merasa sangat susah. Sesungguhnya wanita sekalian, keperluan kebendaan itu tidaklah sepenting keperluan ibadah kepada Allah dan melakukan kebaikan kepada manusia kerana benda atau material itu akan ditinggalkan ketika kita mati, tetapi amal ibadah dan amal soleh akan berterusan pahalanya hingga ke akhirat. Oleh itu sekiranya merasa tidak cukup kebendaan, didiklah hati untuk redha, didiklah jiwa untuk menerima cara hidup sederhana dan didiklah jiwa untuk sentiasa bersyukur kepada Allah atas nikmatNya yang melimpah ruah yang seringkali kita lupa iaitu nikmat menjadi orang Islam, nikmat mengenali iman dan nikmat udara dan nikmat kesihatan yang kurniakan Allah sehingga kita mampu bernafas lagi. Seringkali sifat membanding-bandingkan antara kita menjadikan diri sentiasa rasa tidak cukup dari segi material dan seringkali jiwa ini kesal dengan ketidakcukupan pemberian Allah sehingga lupa segala pemberian yang tidak nampak dengan mata kepala kita. Oleh itu sentiasalah melihat dengan mata hati agar hati akan redha, syukur dan tenang dalam menerima ketentuan Allah Ya Muqtadir dan rezeki Allah Ya Razaq.


Wanita yang disayangi,

Sesungguhnya rezeki yang paling baik adalah syurga di akhirat kelak kerana ianya merupakan nikmat yang teramat hebat dan kekal abadi, sedangkan nikmat dunia ini terlalu sedikit dan tidak kekal, semuanya akan musnah dan ditinggalkan.


Wanita yang dihormati,

Dalam kita menerima dan menikmati rezeki Allah juga, hendaklah kita jangan lupa dan kikir mengeluarkan sebahagian untuk disedekahkan kepada golongan yang memerlukan temasuk fakir miskin, anak yatim, jihad fil sabilillah dan sebagainya tanda rasa syukur.


Wanita yang dikasihi,

Marilah kita sentiasa menadah tangan mengharapkan rezeki Allah Ya Razaq semata-mata. Sesungguhnya yang memberikan rezeki itu hanyalah Allah Ya Razaq Yang Maha Memberi Rezeki. Makhluq hanyalah wakilNya dalam menyampaikan pemberianNya itu. Beberapa tips untuk mudah mendapat rezeki Allah Ya Razaq adalah seperti berikut:


1) Sebutlah nama Allah Ya Razaq sebanyak-banyaknya sambil berbicara dengan Allah Ya Razaq:


“Ya Allah Ya Razaq Yang Maha Memberi Rezeki, Engkaulah yang memberi rezeki kepada setiap yang berada di langit dan di bumi ini sesungguhnya. RezekiMu tidak pernah berhenti dan tidak bertepi. Namun kamilah hambaMu yang jarang kali merenungi dan mensyukuri setiap rezekiMu yang Kau alirkan buat diri kami sejak kami kecil hingga dewasa ini. Kami ingin memohon kepadaMu ya Allah hati yang sentiasa mensyukuri setiap nikmatMu, hati yang redha dengan setiap pemberianMu, hati yang mampu merenungi akan setiap anugerahMu walaupun ianya tidak mampu dilihat dengan mata kepala kami. Kami juga ingin memohon kepadaMu Ya Allah Ya Razaq Ya Muqitt, Allah Yang Maha Memberi Rezeki dan Maha Mencukupkan, cukupkanlah rezekiMu buat kami di dunia ini agar kami mampu mensyukuri nikmatMu, agar kami mampu mengabdikan diri kepadaMu dan kami mampu untuk menjalankan amanahMu di dunia ini. Kami juga ingin memohon kepadaMu rezekiMu yang di akhirat yang mana rezekiMu di akhiratlah yang lebih baik dan kekal abadi.”


2) Mohonlah berulang-ulang dengan diiringi solat dan sabar. Sesungguhnya Allah mengurniakan setiap rezeki dan kebaikan mengikut waktu yang sesuai yang hanya Allah yang mengetahuinya. Jangan sesekali putus asa, teruskan memohon sambil membuat kebaikan dan perintahNya dengan hati yang ikhlas dan sabar.

3) Kemudian, renungi setiap pemberian Allah samada melalui diri kita sendiri atau melalui orang lain yang menjadi wakil Allah Ya Razaq. Syukuri setiap pemberianNya walaupun tidak sepertimana yang kita harap dan gambarkan. Setiap pemberianNya sudah pasti ada kebaikan dan hikmah untuk diri kita.


Wanita yang dihormati,

Sesungguhnya bergantung kepada rezeki Allah Ya Razaq lebih utama dan lebih baik dari meminta-minta dengan makhluq yang juga merupakan hamba seperti kita yang sama-sama bergantung kepada Allah jua. Sekiranya bantuan datang dari seseorang tanpa diminta-minta, itulah bantuan dan rezeki Allah Ya Razaq Yang Maha memberi rezeki dan bantuan Allah Ya Wahhab Yang Maha Memberi bantuan. Jangan lupa kunci menjadi seorang hamba terletak pada rasa redha dan syukur kepada Tuhan yang Maha menciptakan dan Maha memberi, yang akhirnya membuat jiwa merasa cukup dan merasa kaya kerana rasa bahagia yang dialirkan Allah ke dalam jiwa kita.

Friday, March 5, 2010

Mewujudkan Kebahagiaan keluarga melalui penghayatan Asmaul Husna (14)


BERTEMANKAN ALLAH YA WAHHAB MENJADIKAN HIDUP MUDAH DAN SENANG


Wanita yang disayangi,
Sesungguhnya kehidupan ini dicipta Allah penuh dengan ujian dan ianya datang dan dibentangkan satu persatu sehinggalah kita menemui kematian yang merupakan penghujung kehidupan di dunia dan permulaan kehidupan yang kekal abadi di akhirat. Ujian-ujian ini dibentangkan dan disusun oleh Allah demi untuk mengetahui siapakah diantara hambaNya yang berjihad, bersyukur dan bersabar.


Wanita yang dikasihi,
Sesungguhnya kita ini hamba yang lemah dan tidak berdaya dan sangat bergantung harap kepada Allah yang Maha Kaya dan Maha Berkuasa. Dalam menempuh ujian-ujian kehidupan yang sangat mencabar, kita harus bergantung harap dan memohon pertolongan dari Allah Ya Wahhab Yang Maha Menolong dan Membantu. Sudah tentu sebagai seorang hamba, kita tidak akan mampu melakukan sendiri dengan keupayaan yang sangat terhad yang seringkali membawa kepada kegagalan. Oleh itu memohon pertolongan Allah sangat penting dan sangat perlu dan dengan sifatnya Yang Maha Membantu, sudah tentu pertolongannya akan datang dengan tidak disangka-sangka pada masa yang sesuai yang telah ditentukanNya.


Wanita yang dikasihi,
Marilah kita merendah diri di hadapan Allah dan mengakui akan lemah dan tidak berdayanya kita seperti diajar Allah kepada kita “Laa haulawala quwwata illa billa hil alim lil adzim” yang bermaksud tidak ada daya upaya melainkan dengan kekuatan, ketinggian dan keagungan Allah. Dengan mengakui akan diri ini hanyalah hamba yang tidak berupaya dan sentiasa menadah tangan memohon pertolongan Allah Ya Wahhab, sudah pasti Allah akan mendengar dan memakbulkan kerana Dia Allah Ya Sami’ Yang Maha Mendengar dan Allah Ya Mujib Yang Maha Mengabulkan. Allah juga mengajar kita agar kita bermohon diiringi dengan solat dan sabar.

Wanita yang dihormati,
Beberapa tips penghayatan Asmaul Husna yang boleh digunakan dalam mendapatkan pertolongan Allah.


1) Bacalah nama Allah Ya Wahhab sebanyak-banyaknya ketika ingin memohon pertolongan sambil berbicara dengan Allah:

“Ya Allah Ya Wahhab, sesungguhnya Engkau yang Maha Membantu dan Maha Penolong, daku ini hambaMu yang sangat lemah dan tidak berdaya merintih, merayu dan memohon kepadaMu akan pertolonganMu. Daku yakin dengan kekuasaanMu Allah Ya Jabbar, Kasih SayangMu Allah Ya Rahman Ya Rahim, kemuliaanMu Allah Ya Karim dan KekayaanMu Allah Ya Ghoniy dan seluruh jiwa berada di dalam genggamanMu Ya Malik, sudah tentu Engkau akan membantuku dalam menghadapi masalah hidupku ini.”


2) Renungilah pertolongan Allah yang datang samada melalui hamba2Nya atau melalui ilham ke dalam hati kita dan ikutlah petunjuk Allah dan lakukan arahanNya, nescaya akan datanglah bantuanNya tanpa disangka-sangka. Seringkali juga Allah Ya Wahhab menghantar wakilNya sebagai pembantu kita yang terdiri daripada manusia yang suka membantu dan dialirkan semangat ingin membantu dengan disertakan keupayaan untuk membantu. Tetapi sesungguhnya lihatlah dengan mata hati yang membantu itu adalah Allah Ya Wahhab, manusia hanyalah wakilNya sahaja. Pertolongan Allah juga seringkali tidak seperti yang kita minta dan sangka, kerana Dia lebih mengetahui yang terbaik untuk kita, sedangkan kita tidak mengetahuinya.


3) Setelah mendapat pertolongan Allah, ucaplah kesyukuran kepadaNya dengan cara menambahkan amal ibadah kepadaNya dan melakukan kebaikan kepada orang lain. Redhalah dengan pertolonganNya walaupun tidak seperti mana yang kita inginkan. Fikirkan kebaikan dan hikmah disebalik semua pertolongan Allah Ya Wahhab.



Wanita yang dihormati,
InsyAllah dengan sentiasa bergantung kepada Allah Ya Wahhab sambil menyebut-nyebut namaNya, bantuan Allah pasti akan tiba pada masa dan bentuk yang sesuai yang hanya Dia yang mengetahuinya dan menentukannya. Tugas kita sebagai seorang hamba hanyalah bermohon kepadaNya dengan bersungguh-sungguh dan penuh yakin ianya akan dimakbulkan. Susuli setiap permohonan dengan solat dan sabar demi mematuhi arahanNya dan tanda kita beradab dengan Allah s.w.t.