~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Tuesday, February 2, 2010

Mewujudkan Kebahagiaan keluarga melalui penghayatan Asmaul Husna (7)


KEAMANAN RUMAHTANGGA AKAN TERWUJUD DENGAN WANITA YANG BERIMAN KEPADA ALLAH

Wanita yang dihormati,

Cabaran rumahtangga hari ini sangat hebat. Suasana kehidupan yang sudah lari daripada landasan Islam, Iman dan Ihsan telah menyebabkan keadaan rumahtangga yang tidak aman dan serting berlaku pergaduhan sehingga membawa kepada perceraian. Begitu juga cabaran membesarkan anak-anak dengan suasana kemungkaran yang berleluasa dan mengakibatkan kehidupan yang tidak aman. Beberapa tips untuk mewujudkan keamanan rumahtangga ialah:

1) Meningkatkan keimanan kepada Allah.

Sesungguhnya keamanan itu adalah milik Allah Ya Mu’min Yang Maha Mengamankan. Hanya dengan menguatkan hubungan dengan Allah dengan menyakini Allah lah satu-satunya Ilah yang selayaknya disembah dan tidak ada Ilah lain selain daripada Allah s.w.t, hati akan menjadi tenang dan hidup akan bahagia. Hati yang beriman akan menjadikan seluruh solat, ibadah, hidup dan mati hanya untuk Allah semata-mata dan bukan untuk kepentingan diri. Hati yang beriman juga akan meyakini akan kewujudanNya, meyakini sifat-sifatNya yang Maha Hebat, menyedari semua makhluq di dunia ini dibawah pengawasanNya serta meyakini akan hari perhitungan dan pembalasan dan meyakini bahawa Dial ah Raja dan Pemilik alam serta seluruh isinya.

2) Sentiasa menjaga batas-batas hokum yang ditetapkan oleh Allah Ya Hakam yang Maha Menghukum.

Kekeliruan dan kekusutan rumahtangga hari ini berlaku ketika suami dan isteri sudah lari daripada tanggungjawab masing-masing. Keadaan hidup yang menuntut kita mencari material bagi menyara kehidupan menyebabkan banyak tanggungjawab terabai. Suami yang begitu banyak menghabiskan masa diluar rumah menyebabkan isteri dan anak-anak terabai perasaan dan pendidikannya. Begitu juga isteri yang ramai bekerja hari ini yang kadang kala lebih sibuk daripada suami seringkali terpaksa mengabaikan proses pembesaran dan pendidikan anak-anak serta tanggungjawab kepada suami. Allah mengingatkan manusia bahawa kehidupan dunia yang terlalu sedikit berbanding dengan kesenangan di akhirat supaya manusia jangan lalai dan mudah tertipu. Firman Allah:


Kepenatan bekerja seringkali menjadikan kita tidak bertenaga untuk melayan suami kerana yang tinggal hanyalah sisa-sisa masa yang sudah tidak berkualiti lagi.Pergaulan yang bebas di tempat kerja juga tanpa batas-batas Islam telah membuka ruang kepada syaitan menggoda suami dan isteri untuk berlaku curang.

Oleh itu wanita sekalian, fikirkan dan renungkan adakah kehidupan kita hari ini mampu mewujudkan keluarga bahagia dan aman. Marilah sama-sama kita renungkan cara hidup yang sebenarnya yang harus kita lalui agar sentiasa mendapat rahmat Allah Ya Rahman Ya Rahim. Galilah kehidupan para isteri-isteri nabi dan itulah contoh tauladan yang terbaik.

“Ya Allah Ya Mu’min Yang Maha Mengamankan, kurniailah keamanan buat keluargaku agar dengan keamanan ini kami mampu untuk mengabdikan diri kepadaMu dengan sebenar-benar pengabdian.”

Thursday, January 21, 2010

Mewujudkan Kebahagiaan keluarga melalui penghayatan Asmaul Husna (6)


SENTIASA MENJADI PELINDUNG DAN PEMELIHARA KEPADA KELUARGA AGAR TIDAK MENDAPAT MURKA ALLAH

Wanita yang dikasihi,
Keadaan kehidupan yang begitu mencabar memerlukan wanita yang mampu menjadi pelindung dan pemelihara kepada kesejahteraan keluarga daripada mendapat murka Allah. Anak-anak tidak boleh dibiarkan melakukan apa yang mereka suka tanpa batasan. Allah mengingatkan bahawa anak-anak adalah ujian. Firman Allah s.w.t:

Seringkali pujuk rayu anak-anak untuk melakukan perkara yang bercanggah dengan Islam seperti menampakkan kecantikan diri dan tidak mahu menutup aurat, ingin keluar dengan kawan-kawan lelaki, ingin bermain internet tanpa had, ingin membaca majalah-majalah yang melalaikan atau seumpamanya. Sesungguhnya perbuatan ini akan membawa anak-anak kea rah kemungkaran yang lebih besar, dan setiap larangan Allah sudah tentu mempunyai kebaikan kepada manusia dan sudah tentu untuk melindungi manusia itu sendiri daripada bahaya dan bencana. Wanita yang menjadi pelindung dan pemelihara keluarga merupakan wanita yang mempunyai cirri-ciri berikut:
1) Tegas
Wanita yang tegas dalam menegakkan prinsip kebenaran mampu melindungi keluarga daripada bahaya dan bencana. Sifat yang tegas dengan diiringi dengan cara yang lembut mampu membuatkan hati anak-anak untuk mengikut nasihat. Namun cara yang keras akan membuatkan mereka lari. Firman Allah s.w.t.:



2) Berani, cekal dan kuat semangat
Keberanian dalam menghadapi risiko apabila cuba berpegang diatas prinsip kebenaran sangat-sangat penting, kerana tanpa keberanian, sudah tentu jiwa akan lemah dan takut untuk menghadapi akibatnya. Seringkali seorang yang tegas tidak digemari oleh orang lain, akan dipulau dan akan dibenci kerana hawa hafsu sememangnya tidak menyukai akan kebenaran. Walaubagaimanapun, sekiranya keberanian diiringi dengan pendidikan dan hujjah-hujjah yang jelas dan penuh keikhlasan, insyaAllah anak-anak akan dapat menerima juga walaupun kadang-kadang mengambil masa.

3) Sentiasa berlindung kepada Allah
Sesungguhnya hanya Allah Ya Hafiz yang maha memelihara dan ya Muhaimin yang Maha melindungi sahaja yang mampu melindungi manusia daripada keengkaran dan kemurkaan Allah serta bahaya bencana. Sebut-sebutlah namaNya sambil berbicara :

“ Ya Allah Ya Hafiz Ya Muhaimin, yang Maha Memelihara lagi Maha Melindungi, pelihara dan lindungilah anak-anakku daripada perkara yang mendatangkan kemarahanMu. Sesungguhnya daku tidak berdaya dan tidak mampu melainkan dengan pertolonganMu.”

4) Sentiasa bermohon kepada Allah Ya Ba’its agar dibakarkan semangat
Kekuatan dan semangat hanya mampu dialirkan oleh Allah Ya Ba’its kerana Dia yang mempunyai kekuatan dan semangat itu. Sebut-sebutlah namaNya selalu sambil berbicara denganNya:

“Ya Allah Ya Ba’its Yang Maha Membakar Semangat, bakarkan semangatku agar daku sentiasa bersemangat dan kuat untuk mengharungi ujian dan rintangan dalam mendidik anak-anakku. Sesungguhnya tanpa semangatMu tentulah jiwa ini merasa sangat berat dan sukar untuk melakukan apa sahaja usaha demi kebaikan anak-anakku.”

Wanita yang dihormati,

Semoga dengan ketegasan dan keberanian serta diiringi dengan kaedah lembut serta bijaksana dan penuh hikmah, kita akan mampu melindungi keluarga kita daripada pelanggaran kepada perintah Allah dan seterusnya mengelakkan diri daripada azab Allah. Maka akan wujudlah keluarga yang terpelihara dan terlindung daripada kemurkaan Allah dan seterusnya mendapat kasihsayang Allah dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Thursday, December 31, 2009

MEWUJUDKAN KEBAHAGIAAN KELUARGA MELALUI PENGHAYATAN ASMA’UL HUSNA (5)


JIWA YANG TENANG MAMPU MELAHIRKAN WANITA BERPEMIKIRAN RASIONAL, INOVATIF DAN PRODUKTIF

Wanita yang dikasihi,

Seorang wanita sering dikaitkan dengan sifat tergopoh-gapah, mudah panik dan tidak sabar. Ini akan membuatkan fikiran berserabut dan tidak tenang, dan akan melahirkan tindakan-tindakan yang kurang rasional.


Oleh itu kita harus cuba sedaya upaya bertahan, bertenang dan bersabar ketika dalam keadaan bermasalah terutama ketika dilanda gelombang rumahtangga. Hanya jiwa yang tenang sahaja mampu membantu kita berfikir dengan baik mengikut landasan Islam, Iman dan Ihsan yang telah ditetapkan oleh Allah. Sesungguhnya Allah itu mempunyai nama Ya Salam Yang Maha Sejahtera dan tenang dan Dia mampu mengalirkan ketenangan kepada jiwa-jiwa yang risau dan runsing.


Berikut adalah beberapa Tips untuk mencapai jiwa yang sentiasa tenang:

1) Sentiasa Patuh kepada Perintah Allah dan Menjauhi LaranganNya

Setiap kesalahan dan dosa seorang hamba akan diiringi dengan rasa gelisah dan runsing. Ini adalah diantara cara Allah ingin menimbulkan penyesalan keatas dosa yang dilakukan serta balasan Allah diatas dunia ini untuk membawa manusia bertaubat kepada Allah. Oleh itu untuk mengelakkan diri daripada kerunsingan,, hendaklah kita menjauhi dosa dan larangan Allah dan sentiasa melakukan ibadah kepadaNya dengan bersungguh-sungguh.


Selain daripada mengelak diri daripada melakukan dosa terhadap Allah, sentiasalah lakukan kebaikan sesama manusia, nescaya disitu ada ketenangan yang menanti kita.

2) Sentiasa Bermohon kepada Allah Ya Salam agar dialirkan ketenanganNya

Hanya Allah Ya Salam yang mampu mengalirkan ketenangan ke dalam jiwa hamba-hamba yang dipilihNya. Sebut-sebutlah NamaNya sambil berbicara denganNya:.

“Ya Allah Ya Salam, Engkaulah Yang Maha Sejahtera lagi Tenang, alirkan ketenangan dan kesejahteraan ke dalam jiwaku yang sentiasa gelisah ini. Hanya Engkau yang mampu mengalirkan ketenangan itu.”

3) Bermohon Kekuatan daripada Allah Ya Aziz, Ya Qowiy dan Ya Matin Jiwa yang Kuat

Hanya Allah Ya Aziz, Ya Qowiy Ya Matin yang Mampu mengalirkan kekuatan ke dalam jiwa hamba-hambaNya ketika berada dalam kelemahan atas kesulitan yang dialaminya.

Sebut-sebutlah NamaNya sambil berbicara denganNya:

Ya Allah Ya Aziz yang Maha Perkasa, ya Qawwiy yang Maha Kuat dan Ya Matin ya Maha Teguh dan Sempurna KekuatanMu, tiada yang lebih perkasa dan kuat melainkan Engkau Ya Allah. Diriku ini hanyalah hamba kepadaMu dan kerana itulah diri ini sentiasa merasa lemah dan tidak berdaya. HambaMu ini memohon kepadaMu Ya Aziz, ya Qawwiy dan Ya Matin kekuatan jiwa untuk ku hadapi segala rintangan dan ujian hidup ini kerana dengan kekuatanMu sahajalah daku dapat mengatasi segala masalah dan kesulitan didalam hidup ini.”

4) Bermohon Perlindungan dari godaan nafsu dan syaitan daripada sifat terburu-buru

Syaitan merupakan musuh manusia yang nyata dan sering menjadikan hawa nafsu sebagai tunggangannya dalam menyesatkan manusia. Mohonlah perlindungan Allah dari syaitan dan hawa nafsu agar hati tidak mudah gelisah, panic dan terburu-buru. Sebut-sebutlah NamaNya:

Sesungguhnya tipudaya syaitan itu tidak pernah mengenal erti putus asa, dia akan terus mengganggu hambaMu ini, oleh itu bantulah daku Ya Allah Ya Hafiz Yang maha Melindungi, Ya Muhaimin Yang Maha Memelihara, lindungi dan peliharalah jiwaku ini daripada dimasuki syaitan yang sentiasa membisikkan perkara-perkara yang tidak baik.”

5) Berusaha menggunakan potensi aqal yang dikurnai Allah dengan bimbingan Allah bagi menyelesaikan apa sahaja kerunsingan yang ada.

Allah mengurniakan aqal kepada manusia untuk berfikir apakah yang baik dan apakah yang buruk sambil mengambil pengajaran atas apa yang berlaku kepada diri sendiri dan manusia disekeliling kita. Kita harus membuat perhitungan berdasarkan hukum yang digariskan oleh Islam atas setiap tindakan kita. Fikirkanlah akibat diatas setiap perbautan kita dengan melihat akibat-akibat yang telah Allah turunkan kepada golongan-golongan yang terdahulu.

Oleh itu wahai wanita sekalian, marilah kita bersama-sama mencapai jiwa yang tenang dengan mendekatkan diri kepada Allah, melakukan perintahNya, meninggalkan laranganNya, bermohon kepadaNya dengan menyebut-nyebut NamaNya serta sentiasa memikirkan dan mengambil pelajaran atas akibat setiap perkara yang berlaku yang akan melahirkan wanita inovatif dan produktif, sesungguhnya itulah ilmu Allah Ya Alim yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, semoga kita mencapai ketenangan yang abadi dan mampu melahirkan rumahtangga yang cemerlang.

Saturday, December 26, 2009

MEWUJUDKAN KEBAHAGIAAN KELUARGA MELALUI PENGHAYATAN ASMA’UL HUSNA (4)


HATI YANG BERSIH DAN SUCI MAMPU MENJANA KEBAHAGIAAN RUMAHTANGGA

Wanita yang dirahmati Allah sekalian,

Sesungguhnya semua manusia ingin melakukan kebaikan kerana sememangnya kita dilahirkan dengan fitrah yang baik dan bersih.


Namun, kita menghadapi kehidupan yang penuh ujian kerana iman, cinta dan kasih kepada Allah s.w.t. itu harus dibuktikan Oleh itu sekiranya jiwa dikotori dengan dosa dan kemungkaran, mohonlah keampunan daripada Allah Yang Maha Pengampun dan Menerima Taubat.

Dalam mengharungi bahtera rumahtangga, hati yang bersih dan suci sangat perlu bagi melahirkan suasana positif, kasih sayang, menghargai dan menghormati antara ahli keluarga. Apabila hati kotor, maka kita akan berprasangka negative kepada suami dan anak-anak, maka akan timbullah syak wasangka dan bibit kebencian sesame ahli keluarga. Diantara tips untuk menjadikan hati yang bersih dan suci ialah:

1) Berprasangka positif

Hati yang bersih akan menjadikan kita mampu memikirkan kebaikan kepada suami dan anak-anak. Walaupun seringkali datang bisikan syaitan yang sering membisikkan perkara negatif terhadap suami dan anak-anak, tetapi tolaklah dengan memikirkan kebaikan mereka. Fikirkan juga kemungkinan-kemungkinan masalah yang sedang mereka hadapi dan bertanyalah dengan penuh kasihsayang dan kata-kata yang lembut agar kita mampu membantu mereka. Janganlah mudah membuat andaian-andaian tanpa berbincang dan usul periksa kerana prasangka buruk itu sesungguhnya daripada syaitan dan hawa nafsu.


2) Menerima kelemahan seorang manusia sebagai hamba yang tidak sempurna dan memaafkan kesalahan

Sifat insan itu tidak sempurna, yang sempurna itu hanyalah Allah Ya Quddus Yang Maha Suci yang menjadikan sesuatu dengan penuh kesempurnaan. Insan itu lemah dan sering melakukan dosa dan kesalahan dan kekuatan itu hanyalah milik Allah.


Oleh itu manusia semua perlu bergantunglah kepada kekuatan dan pertolongan Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah Maha Kuat (Ya Qowiy) dan Maha Memberi Pertolongan (Ya Wahhab). Apabila manusia tidak bergantung kepada Allah, maka akan terserlahlah kelemahan manusia, maka berilah peringatan kepada suami dan anak-anak kita untuk memohon ampun dan maaf serta bertaubat diatas kesilapan yang dilakukan dan nasihatilah mereka untuk tunduk dan patuh kepada Allah dan sentiasa ingat kepada Allah s.w.t. InsyaAllah dengan hati yang bersih ini, kita mampu member peringatan yang baik untuk suami dan anak-anak dan mereka akan menerimanya dengan baik.

3) Percaya dan yakin manusia boleh dibimbing dengan bantuan Allah s.w.t.

Sesungguhnya Allah Maha Memberi Petunjuk (Ya Haadi) kepada hambaNya yang sering melakukan kesalahan. Oleh itu mohonlah bimbingan dan petunjukNya agar dibimbing suami dan anak-anak kita ke jalan yang lurus dan yakinlah bahawa mereka mampu dibimbing dan diberi petunjuk oleh Allah. Serahlah kepada Allah untuk membimbing mereka, kerana hanya Allah sahaja yang mampu member petunjuk dan bimbingan, kita hanya memberikan nasihat semata-mata.


4) Fikirkan kebaikan yang banyak yang telah dilakukan oleh suami

Hati yang bersih juga adalah hati yang sentiasa merenungi dan ingat akan kebaikan-kebaikan yang banyak dan sudah sekian lama diberikan oleh suami atau anak-anak. Manusia sering lupa akan kebaikan sesama manusia apabila hati sedang marah atau sesuatu hajat tidak dapat ditunaikan. Syaitan akan mendekati seseorang ketika dia marah. Oleh itu disamping cuba sedaya upaya untuk mengatasi marah, seorang isteri dan ibu harus banyak berfikir tentang kebaikan dan jasa mereka terhadap kita. Suami juga banyak jasa dan kebaikan menjaga kita, memberikan nafkah dan cinta kasihsayang kepada kita selama ini. Begitu juga anak-anak, pandanglah kebaikan dan kekuatan potensi dirinya dan pupuk potensi itu. Janganlah hanya menunding jari kepada kelemahan-kelemahan mereka sahaja. Mereka juga ingin dihargai dan dihormati. Kesilapan dan kelemahan adalah proses pembelajaran kepada anak-anak dan perlukan nasihat dan bimbingan ibu dan bapa.

InsyaAllah dengan membersihkan hati dan jiwa, seseorang wanita mampu mengharungi ombak dan gelombang rumahtangga dengan penuh ketenangan dan ketabahan dan akhirnya lahirlah keluarga yang mempunyai jiwa yang tenang dan bahagia.

Saturday, December 19, 2009

MEWUJUDKAN KEBAHAGIAAN KELUARGA MELALUI PENGHAYATAN ASMA’UL HUSNA (3)


HIDUP UNTUK MENJALANKAN AMANAH ALLAH – MERASAI SEMUANYA MILIK ALLAH

Wanita yang dikasihi dan dihormati,

Cabaran kehidupan hari ini yang terlalu mementingkan material sebagai survival kehidupan secara tidak langsung mewujudkan suasana cintakan dunia dan mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan masalah orang lain. Keperluan hidup yang berteraskan kepada kemewahan dunia telah memerangkap manusia ke dalam penyakit cinta dunia dan lupa peringat Allah tentang hakikat dunia.

Kecintaan kepada dunia melupakan manusia bahawa setiap pemberian Allah adalah amanah dan ujian samada ianya berbentuk harta, pangkat, wang ringgit, anak-anak, suami, rumah, kenderaan, perhiasan, barang kemas hatta tubuh badan seluruhnya. Manusia sering merasai semua nikmat yang mereka kecapi adalah hasil daripada kehebatannya dan usahanya semata-mata. Tetapi sesungguhnya setiap apa yang ada pada kita adalah kepunyaan Allah Ya Malik, Yang Maha Memiliki.


Dengan merenungi dan merasai semua yang ada pada kita adalah milik Allah Ya Malik dan Dia memberikan sebagai amanah dan ujian, sudah tentulah kita akan menjaga amanah ini dengan baik sebelum diambil kembali oleh tuannya iaitu Allah s.w.t. Dan setiap jiwa akan ditanyai akan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Oleh itu marilah kita sebagai seorang wanita merenungi akan amanah-amanah ini. Diantaranya ialah:

1) Suami – suami merupakan amanah dan milik Allah kepada seorang isteri. Suami perlu diberikan hak-haknya, dijagai harta bendanya, maruah dan nama baiknya serta anak-anaknya. Menjaga amanah ini menuntut kita taat kepada suami selagi tidak bercanggah dengan syara’. Binalah keluarga bahagia bersama suami dengan memperingatkannya tentang Allah, tujuan kita hidup diatas dunia ini, Islam dan Iman sebagai landasan hidup manusia.Suami juga adalah amanah Allah untuk bersama-sama melahirkan zuriat yang diciptakan oleh Allah Ya Kholiq Yang Maha Mencipta. Dan isteri juga harus menyedari suami itu milik Allah Ya Malik, bukanlah miliknya. Oleh itu hendaklah redha ketika Allah mengambil suami daripada kita samada melalui kematian, perceraian dan sebagainya.

2) Anak-anak – anak-anak merupakan amanah Allah yang akan dipersoalkan oleh Allah tentang pendidikannya dan agamanya. Adakah kita memperkenalkan Allah, Islam, Iman, matlamat kehidupannya didunia ini kepada anak-anak kita. Adakah kita membimbing anak-anak kita menjadi hamba kepada Allah, atau membiarkannya menjadi hamba kepada hawa nafsu dan dunia. Dan seorang ibu harus menyedari bahawa anak-anaknya bukan miliknya tetapi milik Allah Ya Malik Yang Maha Memiliki. Kita harus redha ketika dia mengambil anak-anak kita melalui kematian dan sebagainya.

3) Tubuh-badan – tubuh badan adalah amanah Allah s.w.t. yang akan ditanya apakah yang kita lakukan dengan aqal, penglihatan, pendengaran, tangan dan kaki. Adakah aqal dan penglihatan digunakan untuk merenungi ciptaan dan kehebatan Allah dalam mengatur ala mini? Adakah pendengaran kita gunakan untuk mendengar ayat-ayat Allah serta menghayatinya? Adakah tangan dan kaki digunakan untuk beribadah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh? Ataukah semuanya digunakan untuk melanggar perintah Allah, mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan. Gunakan sebaik mungkin tubuh badan yang dikurniakan sebelum Allah Ya Malik mengambilnya kembali.

Oleh itu wanita yang dikasihi sekalian, renungilah apa sahaja yang kita miliki dan syukurilah semua pemberian Allah itu dan sentiasa ingat bahawa semuanya itu milik Allah Ya Malik dan pasti akan diambil kembali olehNya, dan tunaikan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin agar kita terselamat di hari akhirat ketika tiada siapa yang mampu menyelamatkan kita melainkan Allah s.w.t.