~Asmaul Husna~

asmaul husna Pictures, Images and Photos

Tuesday, November 18, 2008

Doa harian Asma Ul Husna

Assalamualaikum sahabat2 yang dikasihi, semoga hari ini Ya Alim memberikan kita sedikit lagi ilmuNya, sesungguhnya ilmuNya tidak bertepi...

Doa rintihan 1:
Bangkitlah sahabatku dengan bantuan Ya Ba'its ya Maha Membangkitkan Semangat. Serahkan dirimu untuk diagendakan oleh ya Baari’ yang maha Mengatur agenda manusia. Terangi jiwamu dengan An Nur Allah agar mampu melihat petunjuk dari Ya Haadi yang maha Memberi hidayah dan Petunjuk agar diri sentiasa berada diatas orbit ihsan-iman-islam.

Doa rintihan 2:
Ya Allah Ya Rahman ya Rahim,alirkan rasa kasih sayang sesama kami kerana kami ingin menyintai kebenaran dan berbuat baik di jalanMu,wahai sebaik-baik pemberi ganjaran, berkatilah setiap kebaikan kami sebagai ‘ibadah’, rahmatilah kami semua dengan syurgaMu. Ya Wasi’. Limpahi kami dengan kurniaan Mu yang meluas kemudahan dan kesenangan dunia kerana kami akan meninggikan syiarMu. Makbulkan lah sega doa-doa dan hajat kami, berkati hidup kami semua agar sentiasa dalam ihsan-iman-islam, Jadikanlah amal kami cahaya,di hari pertemuan denganMu Ya Allah. Ya Allah Ya ‘Aliy yang Maha Tinggi, tinggikanlah darjat kami di sisiMu dan kumpulkan kami juga bersama seluruh insan yang kami sayangi bersama kekasihMu Nabi Muhammad s.a.w. dan seluruh AbidMu dan orang-orang yang mendapat kecintaanMu serta pejuangMu. PadaMu kami berserah dan bakal kembali.
Merintihlah, merayulah kepada Dia Ya Sami', sesungguhnya Dia Maha MendengarMu walaupun tiada siapa yang ingin mendengarmu, Dia Ya Sami' akan sentiasa mendampingi hamba-hambaNya yang ingin berbicara denganNya, merayu dan merintih dengan penuh kerendahan hati...

Monday, November 17, 2008

Tips menjadi anak cemerlang (11)


Ketika Diriku Merasa Terlalu Sibuk dan tidak mampu mengurus masa..


Ya Allah Ya Baari’ Yang Maha Perancang, Engkau sesungguhnya adalah Perancang yang terbaik dan sudah pasti Engkau akan membantuku membuat perancangan yang terbaik. Sifat Ya AwalMu sudah pasti akan membantuku menyiapkan kerja tepat pada masanya dan sifatMu Ya Akhir akan pasti akan membantuku ketika aku sudah terlewat dalam melaksanakan kerja-kerjaku. Engkau Ya Mubdi’ Yang Maha Memulakan, sudah pasti akan membantukan membuat permulaan yang terbaik dalam apa-apa saja kerja yang ku lakukan. Engkau Ya Fattah Yang Maha Pembuka, sudah pasti akan membuka jalan-jalan kemudahan bagiku dalam apa sahaja rintangan yang ku tempuhi sepanjang hidup ini.


Friday, November 14, 2008

Tips menjadi anak cemerlang (10)


Ketika Diriku Merasa Buntu, Tidak Pandai dan Kehabisan Idea..


Ya Allah Ya Alim Yang Maha Memiliki Ilmu, ilmuMu terlalu luas tidak bertepi, Engkau pasti akan memberi daku ilmuMu agar daku akan mampu keluar dari kebuntuanku. Engkau Ya Hakim Yang Maha Bijaksana tentu mampu memberiku kebijaksanaan yang tidak ada tolok bandingnya agar daku mampu memikirkan dengan begitu mendalam ilmu yang Engkau kurniakan dan Engkau Ya Rasyid Yang Maha Pandai dan Cerdas, Engkau pasti akan membantuku memproses dan menganalisa ilmu yang Engkau berikan agar daku mampu menghasilkan sesuatu yang terbaik dan Engkau Ya Musowwir Yang Maha Kreatif akan memberikanku keupayaan mencipta sesuatu yang baru dengan sifat kreativitiMu dan Engkau Ya Badi’ Yang Maha Pencipta Keindahan akan memberiku sifat keindahan agar setiap apa yang ku lakukan pasti yang terbaik disisimu dan mampu memberi manafaat kepada manusia.


Thursday, November 13, 2008

Tips menjadi anak cemerlang (9)


Ketika Diriku Merasa Ditinggalkan, Tidak disayangi dan dihargai..


Diriku sedar, Ya Allah Ya Muhaimin, Ya Wadud dan Ya Syakur akan sentiasa memeliharaku, menyayangiku dan menghargaiku walaupun ibubapa, adik beradikku dan rakan-rakanku meninggalkanku dan sudah tidak menyayangi dan menghargaiku. Engkau ya Rahman dan ya Rahim sentiasa akan sentiasa menjagaku dan mencurahkan kasih dan sayangMu kepada diriku melimpah ruah dan tidak ada tolok bandingnya. Engkau Ya Majid Yang Maha Mulia yang akan sentiasa memuliakanku walaupun orang lain menghinaku.


Ya Wadud, curahkanlah sedikit sifat WadudMu, SyakurMu dan MajidMu kepada ibubapaku dan orang-orang di kelilingku agar mereka mampu mencintaiku, menyayangiku dan menghargaiku kerana dengan cinta dan penghargaan dan penghormatan itulah menjadikan kami sentiasa berkasih sayang dan menghormati satu sama lain.

Wednesday, November 12, 2008

Tips Menjadi anak cemerlang (8)



Ketika diriku merasa lemah dan tidak berdaya

Ketika diriku merasa lemah dan tidak berdaya, diriku sedar diriku mempunyai Ya Aziz yang Maha Perkasa, ya Qawwiy yang Maha Kuat dan Ya Matin ya Maha Teguh dan Sempurna KekuatanNya. Dia Ya Aziz tentu akan menguatkanku dan membangkitkan semangatku. Dia ya Wahhab ya Maha Pemberi, Ya Mujib yang Maha Mengabulkan pasti akan memberi dan mengabulkan segala permintaanku.


Ketika diriku merasa kesempitan hidup, kekurangan rezeki dan merasakan sedikit ujian kemiskinan, diriku pasti tidak perlu bimbang kerana diriku mempunyai Ya Basith yang akan pasti mengeluarkanku dari kesempitan hidup dan melapangkan hidupku dan Ya Razzaq akan pasti melimpahkan rezeki kepada diriku tanpa henti dan ya Ghoniy yang memiliki seluruh kekayaan langit dan bumi akan pasti mencurahkan sedikit kekayaanNya kepada diriku agar diriku mampu bersyukur dan mengabdikan diri kepadaNya denga penuh ikhlas dan yakin.


Sunday, November 9, 2008

Tips menjadi anak cemerlang (7)


Siapakah Guru-guruku?


Guru-guru yang ku hormati dan kasihi, kalian diciptakan oleh Ya Alim Yang Maha Berilmu, Ya Hakim Yang Maha Bijaksana dan Ya Rasyid Yang Maha Cerdas, yang dengan sifat-sifat inilah dikau memberikanku dan mengajariku ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan kecerdasan agar daku dapat menjadi seorang hamba yang patuh kepada Ya Rabb dan dapat melaksanakan tugas khalifah di dunia ini yang Engkau telah tugaskan.


Guru-guru yang ku hormati dan kasihi, kalian juga dicipta oleh Ya Barr Yang Maha Baik, Ya Latif Yang Maha Lembut, Ya Halim Yang Maha Penyantun, Ya Hamid Yang Maha Terpuji Budi Pekerti, yang dengan sifat-sifat inilah kalian mampu mendidikku menjadi seorang manusia yang baik, penyantun, lemah lembut dan mempunyai akhlaq terpuji yang akan menjadikan diriku mampu hidup bersama manusia lain dengan harmoni dan sejahtera.


Guru-guruku yang dihormati dan disayangi, kalian bersama keluargaku diciptakan oleh Allah Yang Maha Pencegah, Maha Melindungi dan Maha Mengawasi diriku agar kalian boleh menegurku, melindungi dan mencegahku daripada melakukan dosa dan mendapat kemarahan Allah Yang Maha Berkuasa dan melindungiku daripada bahaya dunia dan akhirat. Segala nasihat, bimbingan dan teguran kalian sesungguhnya adalah nasihat dan teguran Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang yang ingin agar aku tidak tergelincir daripada jalanNya. Aku sebagai hamba kepadaNya sewajarnya mengambil segala teguran dan nasihat Allah ini sebagai panduan hidup.


Walaupun begitu guru-guruku, ketika dikau tidak mendidikku dengan baik, tidak lagi mengajariku dengan ajaran yang berguna dan tidak mencurahkan ilmu yang Allah kurniakan kepadaku, Dia Ya Alim, Ya Hakim dan Ya Rasyid akan tetap memberiku ilmu kerana ilmuNya terlalu banyak dan luas tidak bertepi. Ketika kalian tidak lagi menegurku, mempedulikanku, tidak lagi melindungiku, Dia Ya Hafiz Yang Maha Pelindung dan Ya Muhaimin Yang Maha Pemelihara akan tetap menegurku, melindungi dan memeliharaku. Walaupun dikau tidak lagi mengasihi dan menyayangiku serta berbuat baik denganku, Dia Dia Ya Rahman dan Ya Rahim tetap kan memberikan layanan yang istimewa buatku dengan penuh sifat Pengasih dan PenyayangNya yang begitu luas tidak bertepi. Aku tetap akan bergantung sepenuhnya dengan Tuhanku kerana Dia Ya Aziz Yang Maha Perkasa, Ya Qawiy Yang Maha Memiliki Kekuatan dan Ya Matin yang Maha Sempurna KekuatanNya yang denganNya daku tidak akan kecewa, tidak akan ditinggalkanNya dan hatiku pasti akan sentiasa tenteram.


Friday, November 7, 2008

Tips Menjadi anak cemerlang (6)


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Siapakah Rakan-rakanku?


Rakan-rakanku sayang, kalian bersama keluargaku diciptakan oleh Allah Yang Maha Pencegah, Maha Melindungi dan Maha Mengawasi sebagai cermin diriku agar kalian boleh menegurku, melindungi dan mencegahku daripada melakukan dosa dan mendapat kemarahan Allah Yang Maha Berkuasa dan melindungiku daripada bahaya dunia dan akhirat. Segala nasihat dan teguran kalian sesungguhnya adalah nasihat dan teguran Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang yang ingin agar aku tidak tergelincir daripada jalanNya. Aku sebagai hamba kepadaNya sewajarnya mengambil segala teguran dan nasihat Allah ini sebagai panduan hidup.


Rakan-rakanku yang disayangi, kalian diciptakan oleh Ya Barr Yang Maha Baik, Ya Latif Yang Maha Lembut, Ya Halim Yang Maha Penyantun, Ya Hamid Yang Maha Terpuji Budi Pekerti, yang dengan sifat-sifat inilah kalian mampu membina diri kalian menjadi seorang rakan yang baik, penyantun, lemah lembut dan mempunyai akhlaq terpuji yang akan menjadi contoh tauladan dan panduan buat diriku.


Walaupun begitu Rakan-rakanku, ketika dikau tidak mempedulikanku, tidak lagi melindungiku, Dia Ya Hafiz Yang Maha Pelindung dan Ya Muhaimin Yang Maha Pemelihara akan tetap melindungi dan memeliharaku. Walaupun dikau tidak lagi mengasihi dan menyayangiku serta berbuat baik denganku, Dia Ya Rahman dan Ya Rahim tetap akan memberikan layanan yang istimewa buatku dengan penuh sifat Pengasih dan PenyayangNya yang begitu luas tidak bertepi. Aku tetap akan bergantung sepenuhnya dengan Tuhanku kerana Dia Ya Aziz Yang Maha Perkasa, Ya Qawiy Yang Maha Memiliki Kekuatan dan Ya Matin yang Maha Sempurna KekuatanNya yang denganNya daku tidak akan kecewa, tidak akan ditinggalkanNya dan hatiku pasti akan sentiasa tenteram.